Ungkapan yang sudah jarang kedengaran dewasa ini. Di awal tahun 70an, sewaktu semangat kebangsaan mula memuncak untuk mendaulatkan Bahasa Melayu(BM) sebagai bahasa rasmi dan utama negara kita, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ditubuhkan untuk menterjemahkan hasrat dan cita-cita sebuah perjuangan untuk melihat BM bukan sahaja menjadi 'lingua franca' malah menjangkau matlamat menjadikan ianya sebagai bahasa ilmu. Selepas 50 tahun merdeka, nampaknya kita bukan semakin maju, tetapi UKM terpaksa mengorbankan jatidiri penubuhannya atas prinsip komersial. Bahasa Inggeris(BI) yang pada masa ini dianggap sebagai bahasa antarabangsa, malah dalam konteks negara kita boleh dianggap sebagai bahasa ekonomi juga. Perjuangan mendaulatkan BM seakan sekadar retorik dalam wacana ilmu dan forum parti politik Melayu, hakikatnya pelaksanaanya semakin hanyut bersama arus kemajuan material yang berpaksikan budaya dan bahasa asing.
Kita tertanya-tanya kemanakah akhirnya kedudukan BM dalam masa 50 tahun akan datang? Amat ngeri sekali jika difikirkan orang Melayu hanya mampu mendakwa dirinya bangsa Melayu sedangkan jiwanya(BM) telah tiada. Bagaimana hendak mengenal sesuatu bangsa kalau bukan dengan bahasanya!. Apakah perasaan kita apabila satu hari nanti Melayu Malaysia akan menjadi seperti Melayu Sri Lanka dan Melayu Afrika Selatan. Mengaku diri Melayu dalam ungkapan " I am Malay, but my Malay and your Malay is different". Melayu yang tidak mampu bertutur dalam bahasanya sendiri? Mengerikan dan amat dahsyat sekali.
Barangkali imaginasi penulis terlalu jauh, namun pernahkah 50 atau 100 tahun dahulu Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan terfikir bahawa hari ini mereka sekadar mendakwa dirinya Melayu seperti kambing mendakwa dirinya lembu? Percayakah kita? Perjuangan untuk mengembalikan kedaulatan BM ke landasan benar perlu ditangani dengan serius dan berani. Keberanian ini memerlukan iltizam yang berterusan dan ikhlas. Bangunkanlah dalam setiap diri Melayu, bahawa tidak ada orang lain yang akan mengangkat bahasanya melainkan diri kita sendiri. Ayuh perkasakan kembali jatidiri kita, yakinlah bahwa kita suatu bangsa yang besar, BM punya penutur yang menjangkau lebih 250 juta jiwa. Kita menjadi kecil bukan kerana diperkecilkan tetapi kerana merasa diri kita kecil. Bangsa yang besar sentiasa mersa megah dan bangga dengan budaya dan bahasanya.
Menjelang 50 tahun kemerdekaan, ayuh kita sama-sama merdekakan diri dengan semangat cintakan bahasa kita. Patriotisme yang paling besar adalah mengekalkan bahasa, kerana ianya jiwa atau nyawa kepada bangsa. Bangsa yang hidup punya jiwa yang sihat dan cergas, BM adalah jiwa bangsa Melayu, jangan biarkan jiwa kita layu dan mati, kerana kitalah yang menentukan nasib bangsa kita sendiri. MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA.
1 comment:
mengikut fahaman sesetengah pihak atas nama memajukan negeri, penggunaan Bahasa Inggeris perlu menggantikan Bahasa Melayu(Malaysia)sebagai bahasa ilmu. Kalau pegangan(fahaman) ini diamalkan diJepun, Jerman, China, Mesir dan seluruh negara dalam dunia ini bererti dunia ini kelak akan mempunyai satu bahasa ilmu yang tunggal!. Soalnya adakah negara lain seperti China, Jepun, Jerman, Peranchis dan lain-lain itu bersetuju mengutamakan Bahasa Inggeris seperti Malaysia lakukan?. Hakikatnya Jepun dan Jerman itu lebih maju daripada Britain yang menjadi pangkalan bahasa itu. Pakar-pakar metametik dan sains di Jepun, Jerman, Peranchis, China dan Rusia dipercayai mencipta istilah dalam bahasa ibunda mereka jika terdapat penemuan-penemuan baru dalam kajian ilmiah mereka.
Post a Comment