Wednesday, August 1, 2007

MATI SEBAGAI MOTIVASI

Selepas seminggu tidak membuat posting, hari ini penulis kembali untuk membincangkan tajuk yang agak jarang dibincangkan dalam konteks sumber motivasi. Tajuk ini dipilih memandangkan sepanjang minggu lalu, penulis ketiadaan masa kerana pulangnya ke rahmatullah ayahanda mertua Hj Zainon bin Osman pada pagi Rabu 25 Julai 2007 yang lalu. Dalam kesibukan dan kesedihan kerana kehilangan beliau, penulis teringat betapa mati sebenarnya merupakan satu motivasi terutamanya bagi orang Islam untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Kepada Allah SWT dipohonkan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...Aminn.

Sepanjang minggu ini, penulis bercadang untuk bermuhasabah dan merenung tentang hakikat dan iktibar sebuah kematian. Pandangan dan bicara ini disesuaikan oleh penulis daripada beberapa pandangan dan tulisan ulama mengenai kematian, hakikat dan tanggapan manusia mengenainya. Semoga bermanfaat.

PENTINGNYA MENGINGAT KEMATIAN
Sesungguhnya kematian adalah haq(benar), pasti terjadi, tidak dapat disangkal lagi. Allah s.w.t berfirman, ertinya,
"Dan datanglah sakaratul maut yang sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari dari padanya." (QS. Qaaf:19)
Siapakah di antara kita yang meragui kematian dan sakaratul maut? Apakah ada orang yang meragui kubur dan azabnya? Siapakah yang mampu menunda kematiannya dari waktu yang telah ditentukan?

Mengapa manusia sombong padahal kelak akan dimakan ulat? Mengapa manusia melampaui batas padahal di dalam tanah kelak akan terbujur? Mengapa menunda-nunda amal dan taubat, padahal anda mengetahui kematian akan datang secara tiba-tiba?

Hakikat Kematian
Adalah salah bila ada orang yang menyangka bahawa kematian itu hanya kefanaan semata dan pengakhiran secara total yang tidak ada kehidupan, perhitungan, hari dikumpulkan, kebangkitan, syurga atau neraka padanya!! Sebab andaikata demikian, tentulah tidak ada hikmah dari penciptaan dan wujud kita. Tentulah manusia semua sama saja setelah kematian dan dapat beristirahat lega; samada mukmin dan kafir, samada pembunuh dan terbunuh, samada si penzalim dan yang dizalimi, samada yang taat dan maksiat, samada penzina dan yang rajin solat, samada ahli maksiat dan ahli takwa.

Pandangan tersebut hanyalah bersumber dari pemahaman kaum atheis yang mereka itu lebih buruk dari binatang sekali pun. Yang mengatakan seperti ini hanyalah orang yang telah tidak punya rasa malu dan menggelarkan dirinya sebagai orang yang bodoh dan 'gila.' (Baca: QS. At-Taghabun:7, QS. Yaasiin: 78-79)

Kematian adalah terputusnya hubungan roh dengan badan, kemudian roh berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dan seluruh lembaran amal ditutup, pintu taubat dan pemberian masa pun terputus.

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi belum sakaratulmaut." (HR. At-Turmuzi dan Ibn Majah, disahihkan Al-Hakim dan Ibn Hibban)


Kematian Merupakan Musibah Paling Besar!!
Kematian merupakan musibah paling besar, kerana itu Allah s.w.t. menamakannya dengan 'musibah maut' (Al-Maidah:106). Bila seorang hamba ahli taat didatangi maut, ia menyesal mengapa tidak menambah amalan solehnya, sedangkan bila seorang hamba ahli maksiat didatangi maut, ia menyesali atas perbuatan melampaui batas yang dilakukannya dan berkeinginan dapat dikembalikan ke dunia lagi, sehingga dapat bertaubat kepada Allah s.w.t. dan mula melakukan amal soleh. Namun! Itu semua adalah mustahil dan tidak akan terjadi!! (Baca: QS. Fushshilat: 24, QS. Al-Mu'minun: 99-100)

Ingatlah Penghancur Segala Kenikmatan!!
Nabi s.a.w. menganjurkan agar banyak mengingat kematian. Beliau bersabda, "Perbanyaklah mengingat penghancur kenikmatan (maut)," (HR. At-Tirmidzi, hasan menurutnya).

Imam Al-Qurthubi r.a. berkata, "Para ulama kita mengatakan, ucapan beliau, "Perbanyaklah mengingat penghancur kenikmatan", merupakan ucapan ringkas tapi padat, menghimpun makna peringatan dan amat mendalam penyampaian nasihatnya. Sebab, orang yang benar-benar mengingat kematian, pasti akan mengurangi kenikmatan yang dirasakannya ketika itu, mencegahnya untuk bercita-cita mendapatkannya di masa yang akan datang serta membuatnya menghindar dari mengangankannya, sekalipun hal itu masih mampu dicapainya.

Namun jiwa yang beku dan hati yang lalai selalu memerlukan nasihat yang lebih lama dari para penyuluh dan untaian kata-kata yang meluluhkan sebab bila tidak, sebenarnya ucapan beliau tersebut dan firman Allah s.w.t. dalam surat Ali 'Imran ayat 185, (ertinya, "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati) sudah cukup bagi pendengar dan pemerhati-nya.!!"

No comments: