Tuesday, May 5, 2009

PASCA FREUDIAN, PSIKOLOGI ISLAM?




Baru-baru ini, aku sempat menghadiri kursus asas kaunseling yang bertujuan nak melatih anggota Jabatan sebagai pembimbing rakan sekerja. Akronimnya AKRAM, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam. Peserta dari pelbagai latarbelakang akademik memang menjadikan kelas berwarna warni dengan soalan, pandangan dan kritikan. Walaupun aku memang punya asas dalam bidang psikologi, almaklumlah dah tinggalkan U lebih 10 tahun, ilmu yang ada dah berkarat dan hampir reput. Ilmu Tanpa Amal Macam Pokok Yang Tak Berbuah.

Antara yang paling hebat ialah kritikan terhadap Sigmund Freud. Bila penceramah menerangkan bahawa menurut doktrin Freud melaui teorinya, memperkenalkan satu konsep psikodinamik dikenali sebagai libido, iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa dilahirkan. Teori libido ini disebut dengan "hakikat (essence) dari doktrin psikoanalisis". Semua kehebatan budaya manusia, seperti seni, perundangan, agama dll. dipandang sebagai perkembangan libido. Pada bayi aktiviti libido itu ialah menghisap susu ibu, mengisap puting dan mengisap jari. Setelah dewasa libido itu terarah dalam hubungan seksual, atau berupa kreativiti seni, sastera, muzik yang disebut dengan "displacement". Naluri seksual libido ini menurut doktrin Freud adalah sumber dari karya kreatif.

Pengaruh libido ini menurut Freud, suatu doktrin spekulatif yang sangat kontroversial dari psikoanalisis, adalah pertumbuhan perasaan seksual anak terhadap orang tuanya. Bermula dari kenikmatan bayi mengisap puting susu ibunya, dalam diri anak laki-laki perasaannya berkembanglah hasrat seksual terhadap ibunya, membenci ayahnya sebagai saingan, yang disebut oleh Freud dengan Komplex Oedipus. Komplex Elektra pula, berlaku pada kanak-kanak perempuan, yang mempunyai perasaan berahi kepada bapa membenci ibunya sebagai saingan namun mereka terpaksa beridentifikasi dengan ibu atau bapanya. Perasaan ini dipendamkan dan di bawa ke tahap dewasa akan mengakibatkan berlakunya hubungan abnormal seperti sumbang mahram dll.

Bagi menenangkan suasana yang semakin panas, aku minta penceramah menjelaskan mengapa kita perlu belajar teori psikoanalisis Freud ini. Seperti biasa rasional mengapa seseorang kaunselor, psikologist, psikoterapist atau psikiatris perlu belajar teori ini ialah kerana Freud dianggap sebagai bapa kepada psikoterapi moden. Beliaulah orang yang mula-mula memperkenalkan teori topograrikal. Topografikal ialah bentuk akal fikiran yang dibahagikan kepada tiga. Iaitu alam sedar, alam separa sedar dan alam tidak sedar. Freud melalui psikoanalisis juga telah membahagikan personaliti manusia itu kepada tiga struktur iaitu Id, Ego dan Superego.

Dunia psikologi yang dipelopori dan dimonopoli oleh Barat telah menjadikan Freud sebagai titik mula kepada psikologi moden yang saintifik. Psikologi yang bermula sebagai disiplin falsafah di era Rene Descartes(1595- 1650). Ahli falsafah dan pakar matematik Perancis yg memperkatakan tentang manusia terdiri drp ‘gabungan pemikiran dan badan’ atau ‘jasad dan roh’. Menentang pendapat dualisme yg menyatakan manusia terdiri drp jasad yg terpisah drp roh, seterusnya John Locke(1632- 1704) dengan konsep ‘tabula rasa’, iaitu jiwa manusia kosong semasa dilahirkan, dan George Berkeley(1685-1753), akhirnya menemui sentuhan empirikal dan saintifik oleh Sigmund Freud. Justeru dunia psikologi sudah punya asas sama ada nak mengikut atau menentang Freud. Pilihan di tangan kita.

Sebagai seorang Islam, inilah masanya kita kembali mengkaji Psikologi Islam Farabi atau menggali Kaunseling Islam Al-Ghazali. Mutakhir, memang tuntutan menjadikan kaunseling Islam sebagai alternatif semakin jelas dan selari dengan fitrah kejadian manusia yang dijadikan oleh Khaliq yang telah pun menyediakan `manual’ untuk makhluknya sebagai panduan dan ikutan iaitu Al-Quran dan kekasihnya Muhammad SAW sebagai `prototaip’ menjadi manusia sebagai khalifah di dunia.