Monday, August 27, 2007
MINDA, MENJADI TUAN ATAU HAMBA?
”Minda adalah pelopor kepada segala sesuatu, minda adalah pemimpin, minda adalah pembentuk” - Gautama Buddha
Minda merupakan hamba yang sangat berguna namun merupakan majikan yang paling kejam. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan minda anda. Berita baiknya, sebelum penulis menjelaskan maksud kenyataan di atas, adalah bahawa manusia adalah satu-satunya mahluk di dunia ini yang memiliki kemampuan berfikir mengenai proses berfikir. Istilah teknikalnya adalah metakognitif. Berita buruknya adalah bahawa sangat ramai orang yang tidak sedar, tidak tahu, pura-pura tidak tahu, atau bahkan tidak mahu tahu bahawa mereka sebenarnya memiliki kemampuan ini. Dan oleh sebab itu mereka tidak pernah sedar bahawa seumur hidup mereka telah menjadi budak atau hamba dari minda mereka sendiri.
Apapun yang terjadi di dalam hidup kita merupakan realisasi daripada minda kita yang dominan. Semakin kita memikirkan perkara yang tidak kita kehendaki, maka kita semakin cenderung mendapatkannya. Ada seorang gadis remaja, yang tidak suka dengan tingkah laku ibunya dan berkata, ”Nanti, kalau aku dewasa, aku tidak akan jadi seperti ibu aku.” Apa yang terjadi bila dia dewasa? Dia menjadi sama seperti ibunya. Mengapa? Kerana semakin dia fikirkan bahawa dia tidak mahu menjadi seperti ibunya, maka minda ini menjadi semakin dominan, semakin menguasai dirinya, dan dengan demikian mengarahkan dia untuk menjadi seperti ibunya.
Demikian juga orang gagal, yang pencapaian prestasi hidupnya rendah. Cuba anda tanyakan pada mereka, ”Apa yang mahu anda capai dalam hidup?” Mereka akan selalu berkata, ”Aku ingin agar hidup aku tidak kekurangan, tidak miskin, tidak susah, tidak menderita, tidak ini...., tidak itu.....” Yang mereka katakan selalu apa yang tidak mereka ingini terjadi pada diri mereka. Namun yang tidak mereka sedari adalah semakin mereka fokus untuk menghindari apa yang tidak mereka kehendaki maka minda mereka akan semakin membuat perkara itu menjadi kenyataan.
Sebaliknya kalau orang berjaya ditanya, ”Apa yang anda ingin capai dalam hidup?” maka mereka pasti akan menjawab, ”Aku ingin menjadi pengusaha berjaya, aku ingin membantu orang yang tidak mampu dengan kekayaan aku, aku ingin mendirikan rumah anak yatim, aku ingin menyekolahkan anak ke luar negara, aku ingin......., aku ingin........” Semua jawaban itu selalu yang positif. Anda boleh lihat bezanya sekarang?
Anda mungkin akan bertanya, ”Mengapa terjadi perbezaan hasil antara orang gagal dan orang berjaya, padahal mereka memikirkan tujuan yang sama?” Sebelum penulis jawab, penulis perlu membetulkan pertanyaan anda. Mereka memang kelihatan memikirkan perkara yang sama, tetapi sebenarnya tidak sama. Bukankah tidak mahu hidup miskin sama dengan hidup dalam kekayaan? Bukankah hidup tidak menderita sama dengan hidup senang atau bahagia? Secara bahasa, apa yang mereka nyatakan memang ertinya sama. Tapi secara operasi minda, kedua pernyataan itu jelas bertentangan.
Sekarang penulis ingin bermain dengan minda anda sejenak. Cuba anda lakukan perkara berikut ini. Penulis ingin anda untuk tidak memikirkan seekor harimau warna hijau. Sekali lagi, penulis minta anda tidak memikirkan harimau warna hijau. OK! Berhenti sejenak. Lakukan ujikaji kecil ini. Setelah itu baru anda boleh meneruskan membaca.
Bila anda melakukan dengan betul apa yang penulis minta maka minda anda malah memikirkan seekor harimau warna hijau. Mengapa boleh terjadi demikian? Bukankah arahannya tadi adalah anda diminta tidak memikirkan harimau warna hijau?
Inilah perbezaan operasi bahasa dan operasi minda. Secara struktur perkataan, arahan yang penulis berikan sudah betul. Namun tidak demikian bila arahan ini mahu dilaksanakan oleh minda. Bahasa mengenal kata nafi. Minda tidak. Perkataan ”tidak memikirkan” secara kaedah bahasa memang bererti ”tidak boleh memikirkan atau jangan memikirkan”. Namun di minda, untuk menafikan suatu pernyataan maka yang terjadi adalah perlu terlebih dahulu muncul ”sesuatu” untuk kemudian dinafikan.
Dalam contoh yang penulis berikan, untuk membolehkan ”tidak memikirkan harimau warna hijau”, maka yang terjadi di minda adalah:
1. minda akan membayangkan gambaran harimau warna hijau
2. setelah itu minda akan menafikan kewujudan harimau warna hijau
Namun, begitu apabila gambaran harimau warna hijau telah muncul di minda maka kesan kata nafi bahasa tidak berlaku di minda. Ertinya, gambaran harimau warna hijau itu akan tetap berada di dalam minda. Semakin dominan minda itu maka semakin kuat pengaruhnya pada diri seseorang.
Perkara ini sama kesannya dengan ibubapa yang ”memotivasi” anaknya, yang malas belajar, dengan perkataan, ”Nak, jangan malas. Kalau malas kamu tak akan berjaya”. Apa yang terjadi? Anaknya menjadi semakin malas dan semakin sukar untuk berjaya. Demikian juga ketika ibubapa mendorong anak untuk rajin bangun pagi dengan, ”Jangan selalu bangun lewat. Jangan suka bangun meninggi hari. Nanti lambat pergi sekolah.”Apa yang terjadi? Anaknya tetap bangun lewat. Mengapa terjadi demikian?
Komunikasi mengandungi tiga perkara. Pertama adalah idea, kedua adalah gambaran mental, dan yang ketiga adalah emosi. Ketika ibubapa berkata jangan bangun lewat, maka ini adalah idea. Seterusnya dalam minda akan muncul gambar orang yang bangun lewat. Setelah itu muncul emosi. Kalau emosi yang muncul adalah dia merasa seronok tidur meninggi hari, maka kebiasaan ini akan semakin kuat.
Untuk dapat betul-betul boleh mengendalikan minda, kita perlu menyedari bahawa kita dan minda kita adalah dua perkara yang berbeza. Dengan kata lain, kita menggunakan minda namun minda bukanlah diri kita. Diri kita adalah sebuah kesedaran yang menggunakan minda sebagai alat untuk menghasilkan buah fikiran. Kesedaran ini merupakan langkah awal untuk mengendalikan minda. Untuk memudahkan fahaman, cukup sekadar mengingati tiga hukum pengawalan minda berikut:
Hukum pengawalan minda yang pertama berbunyi: Buat minda anda memikirkan apa yang anda ingin fikirkan.
Minda selama ini telah dengan sangat bebas memikirkan apapun yang ”ia” kehendaki. Dengan demikian selama ini minda yang mengendalikan diri anda. Sekarang, setelah menyedari perkara ini, anda perlu menerbalikkan prosesnya, kenali bahawa minda hanyalah merupakan suatu aktiviti, yang dapat beroperasi sesuai dengan keinginan anda. Untuk dapat mengendalikan minda, anda perlu disiplin dalam menjalankan hukum pertama ini. Belajarlah untuk mengatur minda seperti anda menjalankan sebuah mesin. Anda dapat menghidupkan atau mematikan mesin menurut keinginan anda.
Hukum pengawalan minda yang kedua berbunyi: Buat minda anda berfikir ketika anda menghendakinya berfikir dan berhenti berfikir ketika anda menghendakinya berhenti.
Bagi kebanyakan orang, minda mereka dapat melakukan apa saja, meskipun tanpa persetujuan mereka, sehingga minda yang menentukan apa yang akan dia fikirkan. Akibatnya, minda yang muncul sering kali tidak terkawal dan mengakibatkan minda yang kacau. Untuk mengatasi perkara ini anda perlu boleh menjadi tuan kepada minda anda, bukan sebaliknya. Gunakan minda ketika anda ingin menggunakannya dan tidak menggunakannya ketika anda tidak ingin menggunakannya. Dengan kata lain, anda perlu belajar untuk boleh membuat minda menjadi tenang ketika anda menghendakinya tenang.
Hukum pengawalan minda yang ketiga berbunyi: Menjadi pemerhati daripada minda yang anda fikirkan.
Semakin cekap anda dalam memainkan peranan sebagai pemerhati dalam mengamati minda maka anda akan semakin mampu menguasai minda. Mainkan peranan pemerhati dalam setiap bentuk kegiatan mental yang anda lakukan. Jadikan perkara ini sebagai satu kebiasaan. Bila anda mampu menjadikan peranan pemerhati satu kebiasaan, maka kebiasaan ini akan benar-benar membantu mengembangkan kemampuan persepsi anda. Seterusnya anda akan mampu mengendalikan minda dan berfikir secara sedar.
Pada mulanya, keadaan minda orang pada umumnya relatif tidak terstruktur, objektif, fleksibel, dan terbuka terhadap pengalaman belajar yang baru. Seiring berjalannya waktu, keadaan ini perlahan tapi pasti berubah menjadi semakin kaku, bias, dan sukar menerima persepsi, pembelajaran, atau respon yang tidak dapat diterima oleh struktur sebelumnya. Pada akhirnya, seluruh ruang lingkup kesedaran minda sedar dilahirkan dan tunduk pada kerangka berfikir yang tadinya dibentuk sebagai landasan untuk mengembangkan kemampuan berfikir itu sendiri.
Minda sedar atau rasional sebenarnya merupakan minda yang paling tidak rasional. Mengapa begitu? Minda rasional, berdasarkan kesan yang diterimanya melalui perspektif yang terbatas, membentuk struktur-struktur yang kemudian menentukan apa yang akan diterima dan ditolaknya secara bebas. Mulai daripada itu ia tidak peduli bagaimana dunia berjalan, minda rasional akan mengikuti aturan yang diciptakannya sendiri dan mencuba memaksa dunia mengikuti aturan itu. Malangnya, kita menggunakan minda sedar untuk berfikir, menganalisis, mensistesis, dan menilai.
Penulis ingin mengakhiri artikel ini dengan satu petikan yang penulis minati seperti berikut:
”I think, therefore I am” -Descartes
Bila diterjemahkan secara bebas ertinya ”Aku berfikir, maka aku ada”. Sebaliknya ada pihak yang menentang pendapat Descartes dengan berhujah, “Aku ada, maka aku boleh berfikir”.
Sekarang, pertanyaan penulis pada anda, mana satukah yang betul ”Aku berfikir, maka aku ada” atau ”Aku ada, maka aku boleh berfikir”?
Selamat berfikir !!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment