Wednesday, October 3, 2007

TIDUR BERKUALITI DAN QIAMULLAIL


Hari ini masuk hari ke 21 Ramadan, bermakna kita telah berada pada 10 akhir Ramadhan yang merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam al qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Alqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Maksudnya 10 malam terakhir ini kita perlu mengurangkan tidur dan menghidupkan malam dengan amalan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Persoalannya mampukah kita mengurangkan tidur kerana menurut kajian sains perubatan tidur yang tidak mencukupi akan membawa kepada masalah kesihatan pula.

Berdasarkan kajian tersebut, manusia dewasa memerlukan antara enam hingga lapan jam tidur sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Untuk itu marilah kita melihat kepada fakta mengenai tidur berdasarkan kajian sains perubatan. Tidur mempunyai beberapa tahap. Umumnya, kajian mendapati tidur terbahagi kepada dua iaitu Peringkat bukan REM (REM adalah Rapid Eye Movement atau pergerakan mata laju) dalam istilah biasa disebut tidur ayam, dan Peringkat REM tidur nyenyak (deep sleep). Tahap tidur ini berputar dalam putaran dan setiap kitaran mengambil masa selama 60 minit hingga 90 minit. Mimpi biasanya berlaku dalam tahap tidur REM. Inilah yang dikatakan tidur berkualiti. Untuk membolehkan kita tidur nyenyak, kita perlu melatih diri supaya mampu mendapatkannya. Tempoh masa maksimum bagi tidur yang berkualiti ini hanyalah selama 2-3 jam sahaja.

Terdapat teknik bagaimana melatih diri untuk mendapat tidur berkualiti ini. Ianya berdasarkan kajian saintifik dan juga berdasarkan daripada amalan Rasulullah SAW.

Melalui kajian didapati, pada permulaan tidur, kita akan menempuhi Peringkat bukan REM(NREM) terlebih dahulu. Peringkat ini terbahagi kepada empat tahap, bergantung kepada tahap kenyenyakan tidur. Tahap 1 dan 2 adalah keadaan dimana proses tidur baru bermula, jantung mula perlahan dan suhu badan mula menurun. Pada ketika ini, bunyi perlahan masih boleh mengejutkan kita daripada tidur. Tahap 3 tidur kita lebih nyenyak. Ketika ini, tiada apa-apa yang kelihatan walaupun kelopak mata dibuka. Bunyi yang kuat sahaja boleh mengejutkan kita. Tahap 4 fungsi badan lebih direhatkan. Pernafasan kita perlahan dan terkawal sehingga kita masuk ke tahap tidur paling nyenyak (REM).


Dalam peringkat permulaan ini, individu yang sedang tidur tidak membuat pergerakan mata yang jelas, anggota badan boleh digerakkan manakala aktiviti otak pula adalah perlahan.

Apabila tidur menjadi lebih nyenyak dan mula memasuki peringkat REM, mata akan mula bergerak-gerak, sedangkan otot-otot kecuali jantung akan menjadi lumpuh untuk sementara dan aktiviti otak menjadi aktif. Mimpi biasanya terjadi di dalam tahap ini. Tahap 5 REM (rapid eye movement) - Tahap inilah dipanggil MIMPI. Mata mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak. Walaupun mata bergerak, badan kita tidak bergerak seolah-olah lumpuh. REM mengambil masa di dalam 10 minit untuk kitaran pertama dan semakin lama setelah beberapa kitaran berlalu. Biasanya seseorang mengambil masa 2 jam untuk keseluruhan tahap REM.

Latihan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu boleh membiasakan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Secara ringkas latihan untuk tidur malam adalah seperti berikut:

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Makan sedikit dengan kunyahan yang baik akan mengurangkan tugas organ pemerosesan penghadaman bekerja dan ini akan menurangkan rasa mengantuk dan mudah bangun daripada tidur.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur daripada lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Latihan ini mengambil masa hampir lima bulan dan sudah tentu jika kita mahu menghidupkan malam dengan amalan qiamullail pada bulan Ramadhan, kita mesti memulakan langkah melatih tidur bermula daripada bulan Jamadil’awal lagi. Dengan latihan yang bersungguh-sungguh Insya Allah kita tidak akan merasa letih lesu walaupun hanya mendapat tidur selama 2-3 jam sehari.

Satu lagi permasalahan yang sering kita hadapi ialah badan kita sering menjadi letih walaupun kita merasakan tidur kita mencukupi. Kita sebenarnya perlu mempunyai maklumat yang betul agar kesihatan dan akhirnya cara hidup kita menjadi suatu yang paling baik untuk diri kita. Sebenarnya ramai di kalangan kita yang bangun awal setiap hari untuk pergi bekerja. Tetapi pada hujung minggu ataupun pada hari cuti kita tidur berlebihan daripada biasa. Sebahagian kecil daripada kita akan tidur hingga ke tengahari dengan alasan untuk memperolehi kerehatan sepenuhnya yang tidak di perolehi pada hari-hari bekerja.

Sebenarnya tindakan ini adalah salah. Menurut Timothy Rogers, Pengarah Pusat Kajian Masalah Tidur dari Hospital Henry Ford di Detroit, cara tidur sedemikian rupa mengganggu pusingan Biologi ataupun Biological Clock. Pusingan biologi dalam badan kita ini sebenarnya mempengaruhi kesihatan dan kerehatan kita. Lantas andaikata cara tidur kita seperti yang disebutkan tadi iaitu pada hari-hari bekerja kita bangun awal secara rutin tetapi di hujung minggu atau cuti umum kita tidak lagi mengikut jadual itu, kita bangun tidur lewat sebagai contohnya. Maka cara tidur begitu merosakkan jam biologi yang terdapat dalam badan kita. Natijah atau hasilnya ialah badan kita menjadi letih walaupun tidur kita mencukupi.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam diri kita ialah jika kita bangun tidur tidak mengikut rutin biasa, pengeluaran hormon yang bernama Cortisol terganggu. Hormon cortisol ini ialah hormon kecergasan. Bila kita bangun dari tidur kemudian bergerak dan kita aktifkan diri kita, kita sebenarnya di pengaruhi oleh hormon cortisol. Hormon ini di keluarkan oleh badan pada waktu-waktu tertentu sebagai contoh jika kita bangun tidur pada pukul 6 pagi, maka hormon ini akan dikeluarkan oleh badan lebih kurang pada pukul 3 pagi iaitu 3 jam lebih awal sebagai persiapan untuk kita bangun dan aktif.

Jika rutin ini kita hormati insyaAllah kita akan cergas dan tidak akan letih. Sebaliknya andaikata kita tidak bangun tidur pada pukul 6 pagi sedangkan hormon kita menjangkakan kita akan bangun tidur pukul 6 pagi dan ia telah mengeluarkan hormon pada pukul 3 pagi. Apabila kita tidak mengikut rutin itu misalnya kita bangun tidur pada pukul 10 pagi, akan berlaku gangguan pada badan kita. Justeru kita akan rasa keletihan.

Oleh itu marilah kita berusaha mendapatkan tidur yang berkualiti seterusnya mampu menghidupkan malam kita dengan amalan dianjurkan oleh Rasulullah SAW, terutamanya dalam usaha kita mencari malam yang kebaikan menyamai 1000 bulan. Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." (Surah az-Zariyat ayat 15-18 )


Berikut adala tiga amalan Nabi pada 10 malam terakhir untuk menjadi panduan kita bersama:-

DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu.”

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:


Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”


Memperbanyakkan doa.
Rasulullah bersabda, “Doa adalah otak segala ibadat”. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyakkan doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.” Semoga bermanfaat.

1 comment:

ari - prihatin said...

Tun Razak ketika menyampaikan ucapan Ulang tahun kemerdekaan pada tahun 1971 lagi telah menyatakan keyakinan beliau kepada kebolehan rakyat negara ini termasuk pergi keangkasa lepas