Thursday, October 11, 2007

KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT

Hari ini seluruh media utama negara samada media cetak mahupun elektronik memberikan liputan paling utama di atas kejayaan negara menghantar angkasawan ke angkasalepas. Berikut penulis kutip laporan daripada http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20071011013007/Article/index_html untuk tatapan dan catatan sejarah negara. Sesungguhnya tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan kegembiraan, keharuan, keterujaan seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan ini.

Sejarah gemilang Malaysia
Oleh A Halim Yusof di Kazakhstan




SEJARAH NEGARA: Kapal angkasa Soyuz TMA-11 berlepas dari pangkalan Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, malam tadi.



Impian jadi realiti apabila Soyuz 15-S bawa angkasawan pertama negara dilancar malam tadi

IMPIAN Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, selamat dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome di sini, malam tadi.

Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tepat jam 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia), mencatat satu lagi kegemilangan dalam lipatan sejarah negara di peringkat antarabangsa.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, juga mencatat sejarah sebagai angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Selain Dr Sheikh Muszaphar Shukor, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Di Malaysia, seluruh rakyat menyaksikan detik bersejarah itu menerusi siaran langsung di semua saluran televisyen utama serta beberapa skrin yang ditempatkan di lokasi strategik di ibu negara dan beberapa bandar besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyaksikan kejayaan yang dicapai anak muda dari Seremban itu pada majlis khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, menteri Kabinet dan 280 pelajar.

MISI ANGKASAWAN: Imej dari NASA TV. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Yuri Malenchenko









Hadir sama ialah bekas angkasawan Amerika Syarikat, Kapten Robert Gibson, yang turut menjelaskan kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek teknikal pelancaran kapal angkasa itu.

Sebelum itu, majlis berbuka puasa, solat tarawih serta solat hajat diadakan bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan misi berkenaan.

Pelancaran bermula dengan pelepasan empat pelonjak utama roket yang dipadankan dengan bendera Malaysia dan 29 saat kemudian SoyuzTMA-11 membelah langit cerah Baikonur dan mempesonakan mereka yang menyaksikannya.

Sembilan minit selepas pelancaran, roket berkenaan mencapai ketinggian 200 kilometer dari bumi dan pegawai di pusat kawalan utama berhampiran Moscow berkata: “Kapal angkasa TMA-11 berada di orbit.”

Kakitangan di pusat kawalan itu berjabat tangan, manakala visual Dr Sheikh Muszaphar dengan Jalur Gemilang di lengannya mula dipancarkan dari kapal angkasa yang bergerak pada kelajuan lapan kilometer sesaat.

Ketiga-tiga angkasawan itu duduk dengan tenang sambil meneliti manual penerbangan. Visual dari kapsul kapal angkasa itu juga ditonton seluruh rakyat Malaysia dengan penuh bangga. Kapal angkasa itu akan berlegar di orbit selama dua hari sebelum bercantum dengan ISS pada ketinggian 360 kilometer.

Tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama 10 hari dengan Dr Sheikh Muszaphar mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi pada 21 Oktober ini.

Pelepasan angkasawan negara itu di tapak pelancaran di sini disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad.

Terdahulu, persediaan akhir untuk pelancaran kapal angkasa itu bermula sejak tujuh jam lebih awal di Baikonur Cosmodrome dengan Dr Sheikh Muszaphar bersama Whitson dan Malenchenko dibawa dari Kosmonaut Hotel menaiki bas ke Tapak Pelancaran 1 pada jam 2 petang.

Selepas melalui proses persediaan terakhir, empat jam sebelum pelancaran, Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos) mula memasang baju angkasa lepas 'Sukol' kepada angkasawan atau Kosmonaut dalam istilah Russia, diikuti upacara tabik hormat sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian angkasawan menempuh cabaran dalam misi itu.

Program angkasawan negara bermula pada 2003 apabila Russia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.42 bilion.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor dipilih untuk misi ini walaupun Roscosmos juga mengiktiraf seorang lagi angkasawan negara, Kapten Dr Faiz Khaleed, 26, yang menjadi angkasawan sokongan bagi misi ini.

Roskosmos juga bersetuju Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009 dan dibenarkan terus menjalani latihan di Pusat Latihan Angkawasan Yuri Gagarin, Star City, Russia. Pada 13 Oktober 2003, kerajaan secara rasmi membuka peluang kepada rakyat Malaysia menjadi calon angkasawan yang pertama.

Seramai 11,267 orang memohon dan selepas menjalani pelbagai ujian, Dr Sheikh Muszaphar yang juga pakar ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Kapten Dr Faiz Shukor, doktor gigi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dipilih menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin sejak September tahun lalu.

Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula pada April 1961 apabila angkasawan pertama Yuri Gagarin membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa 108 minit, menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat lima tan.

Seiring dengan kejayaan tersebut umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia juga akan merayakan kejayaan untuk kembali kepada fitrah. Lusa pada hari Sabtu umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan al Mubarak yang telah mendidik diri dan jiwa kita. Semoga kita benar-benar telah berjaya untuk kembali kepada fitrah yang dilahirkan dalam keadaan suci bersih jiwanya serta cenderung melakukan perkara-perkara kebaikan.

Justeru, sempena Aidil Fitri ini marilah kita sama-sama memperbanyakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan nikmat Allah yang tidak terhingga kepada kita semua. Sebaik-baik sambutan Hari Raya ialah dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW di mana diantara amalan Baginda menyambut Hariraya ialah seperti berikut. Pada pagi Syawal, Rasulullah menjamah sedikit makanan sebelum keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya. Kebiasaannya, Baginda memakan beberapa tamar dalam bilangan ganjil. Jadi wanita tidak perlu bersusah payah menyediakan juadah yang berlebihan. Disunatkan juga sebelum pergi solat hari raya, kita mandi sunat hari raya, memakai baju baru atau yang lebih elok.

Anas menceritakan: “Pada kedua-dua hari raya, Rasulullah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik daripada apa yang ada pada kami, memakai bauan paling wangi daripada apa yang ada pada kami, dan menyembelih binatang yang paling mahal daripada apa yang ada pada kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim). Maksud paling baik daripada apa yang ada adalah tidak semestinya kita bersusah payah berbelanja secara berlebihan untuk menyediakan pakaian baru. Pilih saja mana yang ada dirasakan lebih baik berbanding lain. Selepas itu, Baginda menuju ke tempat solat hari raya dengan berjalan kaki sambil memperbanyakkan takbir sepanjang perjalanan. Apabila pulang, Baginda akan memilih jalan lain daripada yang dilalui ketika pergi. Di kampung, mungkin sunnah ini masih berterusan tetapi di bandar, penghuninya lebih senang berkereta. Jika mereka dapat mengikuti sunnah ini, pasti sambutan hari raya akan lebih meriah. Baginda mengerahkan seluruh umat Islam keluar ke tempat solat, termasuk kaum wanita.

Ummu ‘Atiyyah Al-Ansoriyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya membawa bersama pada kedua-dua hari raya anak perempuan dan gadis remaja serta wanita yang sedang haid untuk bersama melakukan kebaikan. Wanita yang sedang haid duduk berjauhan dari tempat solat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menggambarkan Rasulullah begitu mengambil berat supaya wanita turut merasakan kemeriahan dan keberkatan hari raya. Bertemu sambil mengucap tahniah serta mendengar wasiat berguna daripada pemimpin secara terus dan langsung. Pada masa ini, kebanyakan wanita kita masih belum merasakan pentingnya keluar menyertai solat sunat hari raya. Ramai beranggapan menyediakan makanan untuk keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung itu adalah lebih penting. Suami pergi bersendirian tanpa membawa isteri. Ayah pergi bersama anak lelaki dan meninggalkan anak perempuan untuk membantu ibu memasak serta menghias rumah. Sedar atau tidak, wanita kita sudah terlepas daripada pahala ibadat menghayati sambutan hari raya yang sebenar kerana kemuncak sambutan hari raya dalam Islam adalah solat Aidilfitri.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mengeluarkan zakat, mengingati dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Sebahagian ulama berkata, maksud solat dalam ayat ini adalah solat hari raya. Jadi orang yang disebut sebagai beruntung ialah mereka yang mengerjakan solat, bukan yang memasak dan menghias rumah. Solat sunat hari raya dilakukan di tanah lapang. Baginda tidak solat di masjid kecuali jika hujan. Selain menambah kemeriahan hari raya, Baginda memilih tempat lain dari masjid untuk memberi peluang kepada wanita haid bersama-sama menyertainya. Jika solat diadakan di masjid, sudah pasti penyertaan wanita terbatas. Pada hari raya, Rasulullah dan sahabat saling mengucap tahniah antara satu sama lain dengan ucapan taqabbalallah minna wa minkum yang bermaksud: “Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kami dan juga anda.” Tiada riwayat yang menyatakan mereka saling bermaafan pada hari raya seperti yang dilakukan oleh umat Islam di tanah air kita. Sesungguhnya sikap bermaafan itu dituntut Islam sepanjang masa bukan pada hari tertentu. Ia wajib disegerakan dan dilakukan sepanjang tahun, bukan pada hari raya saja. Meminta maaf juga tidak memadai dengan bersalam saja. Ia mesti diiringi dengan taubat nasuha dan memulangkan atau menjelaskan hak kepada tuannya. Budaya meminta maaf sambil bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dihentikan kerana ia mencemari kesucian Aidilfitri yang mana pada hari itu, kita kembali kepada fitrah.

Rasulullah membenarkan umat Islam menjamu selera dan berhibur dengan hiburan yang diharuskan. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Bakar mengherdik dua kanak-kanak atau hamba perempuan yang sedang mendendangkan syair di rumah Aisyah pada hari raya. Lalu Rasulullah menegur Abu Bakar dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.” Kesimpulannya, hari raya dalam Islam mempunyai pengertian tersendiri. Ia adalah satu ibadat dan syiar yang murni. Oleh itu sambutannya juga mengandungi adab, etika dan sunnah tersendiri. Sebagai umat yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Rasulullah, kita tidak patut terikut-ikut dengan cara dan budaya orang lain dalam menyambut hari raya. Di sinilah, letaknya peranan wanita dalam menentukan corak sambutan yang terbaik berlandaskan agama. Lantaran itu, hari raya sebagai ibadat tidak seharusnya disambut dengan cara berlebihan, bercampur maksiat atau bercanggah dengan agama Islam. Hal ini kerana seperti ibadat lain, ia adalah satu ibadat syiar Islam yang suci. Perkataan fitri bermaksud ‘berbuka puasa’ iaitu hari di mana umat Islam selesai menjalankan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan. Ada pula yang berpendapat perkataan fitri berasal dari fitrah yang bermaksud naluri atau sifat semula jadi manusia yang bersih suci, tidak dicemari oleh sifat keji seperti syirik dan fasik.

Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam melawan nafsu, membersih diri daripada dosa dan kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37) Takbir ini diamalkan oleh Nabi, sahabat dan umat Islam selepasnya. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong yang bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia yang diciptakan dalam keadaan yang suci. Disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya. (sebahagian artikel ini dipetik daripada tulisan Prof Madya Maznah Daud)

Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SALAM AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua pengunjung blog ini.

2 comments:

ari - prihatin said...

Komen 1:
Pengembaraan Dr SMS ke angkasa lepas aungguh membanggakan. Lagi membanggakan jika Malaysia mengikut jejak langkah AS dan Rusia pada tahun 1960an menggunakan kemampuan minda anak watan sendiri mereka (cipta) roket dan perkara yang bersangkutan dengan pengembaraan keangkasa lepas. Tidak mengapa jika ketika ini kita dianggap 'menumpang' Rusia kerana lama-kelamaan mungkin timbul idea kita untuk melaksanakan misi keangkasa lepas secara bersendirian pula. Yang penting ekonomi negara mesti kukuh. Teknologi sains angkasa mesti maju dan nawaitu keangkasa itu hendaklah dengan niat yang baik seperti bagi melihat bukti kebesaran Allah dan untuk kesejahteraan hidup manusia. Kepada muda-mudi negara pula jangan terlalu taksub dengan kejayaan Dr SMS ini hingga anda semua lupa diri dan sombong hingga berpuas hati kerana dibahu anda sepatutnya diletakkan harapan agar kita mengikut jejak AS dan Rusia menguasai keseluruhan ilmu berkaitan sains dan teknologi angkasa lepas. Seperti contoh kelahiran kereta nasional kita pada tahun 1985, kita amat berbangga dan syok. Setelah 22 tahun, mujur kini kita dapat jadikan benar-benar kereta kita...jika tidak..malu.

KOMEN 2:
didoakan semoga kita dapat beribadat di Ramadhan lagi pada tahun-tahun akan datang. Insya Allah

ari - prihatin said...

Komen 1:
Pengembaraan Dr SMS ke angkasa lepas aungguh membanggakan. Lagi membanggakan jika Malaysia mengikut jejak langkah AS dan Rusia pada tahun 1960an menggunakan kemampuan minda anak watan sendiri mereka (cipta) roket dan perkara yang bersangkutan dengan pengembaraan keangkasa lepas. Tidak mengapa jika ketika ini kita dianggap 'menumpang' Rusia kerana lama-kelamaan mungkin timbul idea kita untuk melaksanakan misi keangkasa lepas secara bersendirian pula. Yang penting ekonomi negara mesti kukuh. Teknologi sains angkasa mesti maju dan nawaitu keangkasa itu hendaklah dengan niat yang baik seperti bagi melihat bukti kebesaran Allah dan untuk kesejahteraan hidup manusia. Kepada muda-mudi negara pula jangan terlalu taksub dengan kejayaan Dr SMS ini hingga anda semua lupa diri dan sombong hingga berpuas hati kerana dibahu anda sepatutnya diletakkan harapan agar kita mengikut jejak AS dan Rusia menguasai keseluruhan ilmu berkaitan sains dan teknologi angkasa lepas. Seperti contoh kelahiran kereta nasional kita pada tahun 1985, kita amat berbangga dan syok. Setelah 22 tahun, mujur kini kita dapat jadikan benar-benar kereta kita...jika tidak..malu.

KOMEN 2:
didoakan semoga kita dapat beribadat di Ramadhan lagi pada tahun-tahun akan datang. Insya Allah