Monday, October 22, 2007

DUA KEPULANGAN

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri. Kali terakhir penulis membuat posting ialah pada hari pelancaran Soyuz ke angkasa lepas yang membawa Angkasawan pertama negara, dan hari ini Dr Sheikh Muszaphar telah pun pulang ke bumi dengan selamat dan telah menjayakan misi tersebut dengan cemerlang. Sesungguhnya kepulangan beliau adalah sangat bererti kepada catatan sejarah negara. Pergi dan pulang adalah putaran kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap insan. Begitu juga dengan kehidupan, ketika roh meninggalkan alamnya untuk berkelana di bumi, pengembaraan itu juga pasti akan tiba ke titik penghujungnya dan kita akan pulang semula ke tempat asalnya.

Berapa lama tempoh pengembaraan manusia di bumi telah ditentukan oleh Maha Pencipta, begitulah takdir kehidupan seorang manusia yang kami panggil Abah, manusia yang menjadi penyebab kewujudan kami anak-anaknya di dunia ini telah sampai kepada hari terakhir perjalanan hidupnya di dunia pada 03 Syawal 1428 bersamaan Hari Isnin 15 Oktober 2007. Setelah menderita sakit hampir 4 bulan, beliau telah kembali untuk bersama emak di alam barzah. Hajat beliau untuk dikebumikan bersebelahan pusara emak akhirnya menjadi kenyataan. Bagi pihak seluruh keluarga, penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam urusan pengkebumian serta turut sama berkongsi kesedihan dan kehilangan beliau, marilah kita sama-sama bermohon ke hadrat Allah SWT semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah Amin.

No comments: