Friday, July 13, 2007

TOKOH INSPIRASI MELAYU(3)

Tokoh seterusnya yang akan dibicarakan sebagai pencetus kemajuan bangsa Melayu ialah doktor perubatan Melayu yang dianggap sebagai yang terawal. Ungku Omar Ungku Ahmad juga meninggalkan kita dalam usia muda. Inilah posting terakhir sebagai bicara awal pencetus inspirasi. Selepas ini penulis berhasrat untuk memposting bahan yang berunsur motivasi ke arah menjana minda dan muhasabah diri, mudah-mudahan kita akan menjadi khalifah Allah sebenar-benarnya sebagaimana yang dituntut ajaran agama. Semoga ada manfaat jua.


Anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan ( IMR )

Allahyarham Ungku Omar dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Kepimpinannya berjaya menaikkan nama pusat itu. Hasil penyelidikannya mengenai kesihatan dan perubatan diterbitkan dan tersebar kepada masyarakat dalam dan luar negara. Semasa hayatnya beliau telah menghasilkan lebih 40 kertas kerja tentang bidang pengkhususannya.



Dato' Dr. Ungku Omar

ALLAHYARHAM DATO' DR. UNGKU OMAR UNGKU AHMAD bukan sahaja seorang ahli sains dan tokoh perubatan Melayu yang terkenal, malah beliau juga seorang inteligensia Melayu yang sentiasa memikirkan soal pembangunan bangsa dan agama. Ketokohannya dalam bidang sains dan perubatan terbukti melalui pencapaian akademiknya dan pengiktirafan yang diterimanya di peringkat antarabangsa, manakala semangat patriotiknya tergambar melalui agenda perjuangan meninggikan martabat ummah. Beliau bukan sahaja prihatin tentang kesihatan rakyat, malah turut terlibat membincangkan soal kemunduran bangsa dan ummah dan masyarakat terpinggir.

Dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor Bahru, Johor, Allahyarham Ungku Omar mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kluang, Segamat, Pontian dan Tangkak, Johor. Sebagaimana anak-anak Johor lain yang terdidik di sekolah agama, Allahyarham tidak terkecuali. Beliau mendapat pendidikan di sekolah agama Johor hingga tamat darjah enam.

Sebagai pelajar yang cemerlang, Allahyarham Ungku Omar tidak berhenti di sekolah rendah, sebaliknya beliau menyambung pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya memasuki Universiti Malaya, Singapura. Kemasukannya ke UM agak istimewa kerana beliau terus diterima masuk ke Tahun Dua. Setelah memperoleh ijazah M.B.B.S. pada tahun 1957, beliau menjadi doktor pelatih di Johor Bahru. Tamat latihan, Allahyarham Ungku Omar berkhidmat dengan Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur sebagai pegawai perubatan dan penyelidikan.

Pada tahun 1961, beliau berangkat ke England untuk menyambung pelajaran. Beliau memperoleh diploma dalam bidang Patologi daripada Royal College of Physicians London dan Royal College of Surgeons of England pada tahun 1962, dan pada tahun yang sama beliau diterima berkhidmat sebagai pendaftar di Jabatan Patologi, Royal Free Hospital, School of Medicine, London.

Kelulusan dan kebolehannya tidak dipersia-siakan oleh pihak yang tahu menilainya. Ternyata beliau dapat menarik kepercayaan pihak majikannya apabila dua tahun kemudian beliau menjadi Pendaftar Kanan di jabatan yang sama. Beliau juga diterima menjadi ahli College of Pathologist, London.

Allahyarham Ungku Omar menyambung pelajarannya di peringkat kedoktoran dan memperoleh ijazah PhD pada tahun 1965 dalam bidang 'Clinical Chemistry' dengan tesisnya yang bertajuk "Electrolytes in Isolated Human Leucocytes." Pada tahun itu juga beliau diterima menjadi ahli Institute of Biology, London dan dua tahun kemudian diterima menjadi ahli kehormat College of American Pathologist, Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke tanah air, Allahyarham Ungku Omar dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Kepimpinannya berjaya menaikkan nama pusat itu. Hasil penyelidikannya mengenai kesihatan dan perubatan diterbitkan dan tersebar kepada masyarakat dalam dan luar negara. Semasa hayatnya beliau telah menghasilkan lebih 40 kertas kerja tentang bidang pengkhususannya.

Profesionnya sebagai pegawai perubatan tidak terhad kepada tugas membuat diagnosis terhadap pesakit dan memberi preskripsi ubat. Beliau kerap melontarkan idea yan segar, hasil daripada analisisnya. Keunikan Allahyarham Dato'Dr. Ungku Omar terkesan pada ketajaman fikirannya membuat analisis dari sudut kesihatan lalu menghubungkaitkan hasil analisis itu dengan situasi sosial, pendidikan dan pembangunan negara.

Dalam setiap lontaran ideanya, beliau menyampaikan hujahnya berdasarkan fakta sains. Tentang belia, misalnya, pandangan beliau tidak dipengaruhi retorik politik. Negara ini, katanya, tidak akan berjalan dengan cepat kalau tenaga belianya tidak disalurkan dalam semua aspek dan bidang pembangunan. Bagi tujuan membangunkan belia, sebagai seorang doktor, beliau melihat aspek kesihatan sebagai faktor penting. Beliau menulis, Mens Sana in Copore Sano (Otak yang Waras dalam Badan yang Sihat) kertas kerjanya yang bertajuk "Kedudukan Belia di Masa Ini" yang dibentangkan dalam Seminar Pertanian dan Perusahaan di Kolej Pertanian, Serdang, pada Februari 1968.

Prinsipnya mudah: "Kesihatan itulah kemajuan-Tak sihat manakan maju." Hal ini ditegaskan oleh beliau ketika memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perubatan negara. Agak aneh bunyinya apabila soal bahasa dikaitkan dengan kesihatan: tetapi begitulah tajamnya pandangan Allahyarham Ungku Omar. Ketajaman visinya terpancar pada pandangannya bahawa bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam memajukan kesihatan rakyat. Menurutnya rakyat tidak akan maju jika sentiasa berhadapan dengan penyakit dan penyakit tidak dapat dibasmi jika rakyat tidak diberi ilmu tentang perubatan selain faktor kekurangan makan dan kekurangan pertolongan daripada penguasa perubatan.

Menurutnya, kekurangan makanan berzat disebabkan kekurangan wang, kekurangan wang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan mata pencarian. Ilmu untuk mendapatkan rezeki yang lumayan pula tersalut melalui bahasa Inggeris. Jadi, jalan penyelesaiannya ialah meluaskan penggunaan bahasa Melayu dan menaikkan tarafnya supaya rakyat luar bandar memperoleh maklumat yang betul tentang penjagaan kesihatan dan dapat pula mencari pendapatan yang lebih baik. ("Bahasa Melayu Dalam Lapangan Kesihatan, Perubatan dan Rumah Sakit," Dewan Bahasa, Vol.II No. II, 1958:530-35.)

Taraf kesihatan penduduk luar bandar menjadi agenda penting perjuangannya. Ini dapat dilihat dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Keadaan Kesihatan Di Luar Bandar Penting Untuk Proses Pembangunan Dalam Segala Bidang" (Simposium Masalah Pembangunan Penduduk Luar Bandar, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, September 1967). Hasil penyelidikannya dalam kertas kerja itu telah menggemparkan negara. Beliau mendedahkan senario taraf kesihatan penduduk luar bandar yang telah diabaikan : kadar kematian di luar bandar yang enam kali ganda lebih tinggi daripada di bandar; kadar kemiskinan yang berkait rapat dengan penyakit malaria, kepialu, untut, cacing, kekurangan makanan dan anaemia; dan penyakit-penyakit lain.

Beliau juga lantang menyarankan bahawa peruntukan kewangan yang lebih besar patut disalurkan kepada penduduk luar bandar bagi mengatasi masalah ini. Ini amat penting, katanya kerana jika penduduk bandar sahaja diberi keutamaan, keadaan pada masa hadapan akan menjadi tidak stabil apabila masyarakat luar bandar berasa kecewa. Dalam kertas kerja yang sama, beliau menampakkan buktikan keprihatinannya tentang pelajaran anak bangsa dengan mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam bagi menampung keperluan anak Melayu yang ketinggalan dalam perlumbaan mendapatkan tempat di UM ekoran masalah bahasa.

Gagasannya itu merupakan lanjutan daripada cetusan ideanya yang telah dibentangkan pada Seminar Organisasi Islam di Kolej Islam, Kuala Lumpur (Ogos 1967). Dalam seminar tersebut Allahyarham Ungku Omar telah dari awal lagi mencadangkan penubuhan Universiti Islam yang akhirnya terlaksana juga pada tahun 1980-an. Ideanya itu bertujuan meninggikan taraf kehidupan anak bangsa dan umat Islam kerana beliau kecewa melihat kemunduran dari segi pelajaran di kalangna orang Islam.

Peneguhan semangat memperjuangkan anak bangsa dan umat Islam dapat dilihat pada peranannya dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Malah, menurut sesetengah pihak, beliau antara orang penting dalam menyuarakan hasrat penubuhan UKM. Beliau kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pentadbiran yang turut dianggotai oleh Abdullah Salleh (Timbalan Pengerusi), Dr. Rashdan Baba, Prof. Hamzah Sendut, Hassan Ibrahim, Abdullah Sanusi Ahmad, Arshad Ayub, Abu Bakar Abdul Hamid dan Jonid bin Abu Saham.

Penubuhan UKM adalah titik penting perkembangan pendidikan Melayu kerana inilah institusi pengajian tinggi yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mengangkat mertabat bahasa Melayu. Daripada institusi inilah juga lahirnya sekian banyak intelektual, teknorat dan birokrat Melayu. Dan yang lebih penting bahasa Melayu terbukti berupaya menyampaikan ilmu, sebagaimana yang sentiasa diperingkatkan oleh Allahyarham Ungku Omar.

Beliau juga terkenal dengan panggilan "Doktor radio" kerana peranannya memberikan ceramah mengenai kesihatan dan sains melalui Radio Malaysia. Penglibatannya dalam bidang sastera dan budaya pula terkesan melalui keanggotaannya dalam ASAS 50.

Allahyarham Ungku Omar telah memegang pelbagai jawatan: Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan; Pengarah Perkhidmatan Membasmi Malaria, Kementerian Kesihatan Malaysia; menjalankan tugas Pengarah Makmal Perubatan dan Kesihatan Malaysia dan Pengarah Perkhidmatan Pemindahan Darah Kebangsaan; Pengerusi Majlis Kolej Islam; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Tengku Abdul Rahman; Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Pengerusi Rancangan Operasi, Jawatankuasa Membasmi Malaria; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membasmi Malaria; Pengerusi Jawatankuasa Standard Institutions of Malaysia, Biological and Medicinal Industry Standards; Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Istilah Perubatan, Johor Bahru dan diiktiraf oleh DBP; Ahli, Jawatankuasa Pakar, Kementerian Kesihatan Malaysia; Ahli Jawatankuasa Penyakit Kusta Kebangsaan; Ahli Lembaga Pembantu Hospital; Ahli Jumaah, UM; Ahli (pihak pegawai) Whitley Council, dan Pengerusi Institut Institut Penyelidikan Perubatan Whitley Council; Pensyarah, Pusat Sivik Kebangsaan, Kementerian Penerangan; Ketua Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa ASA Technical Cooperation dan Research (Filipina, Thailand dan Malaysia); Ahli Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMEC); Ahli Jawatankuasa Sains Sosial UNESCO; Ahli, Majlis Pengajian Tinggi Malaysia; Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri; Ahli, Lembaga Pengarah, Institut Piawaian Malaysia, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan; Ahli Jawatankuasa Penubuhan UKM dan Setiausaha Agung Persatuan Pegawai Kerajaan Kanan.

Beliau dikurniai Darjah Setia Mahkota (D.S.M.) oleh Yang di-Pertuan Agong pada bulan Jun 1967 dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati oleh Sultan Johor pada bulan Oktober 1967. Pada tahun 1968, beliau dianugerahi gelaran Profesor oleh Universitas Indonesia. Semasa menerima gelaran tersebut, beliau tidak ketinggalan mengutarakan gagasan tentang penubuhan sebuah universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau meninggal dunia pada 15 Februari 1969 dalam usia yang begitu muda, 38 tahun, tetapi jasanya kekal hingga kini, dinikmati oleh generasi demi generasi. Sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam dunia pendidikan dan pembangunan negara, namanya diabadikan pada sebuah pusat pengajian tinggi (Politeknik Ungku Omar, Ipoh).

Artikel ini diambil dari buku Profil Tokoh-tokoh Gemilang Universiti Malaya.

No comments: