Wednesday, December 19, 2007

Motivasi dan Keunikan Ibadah Haji





Sempena dengan Bulan Zuhijjah atau bulan Haji ini penulis terpanggil untuk kita bersama merenungi motivasi dan keunikan ibadah Haji untuk panduan bersama. Tulisan ini disesuaikan daripada artikel H.M. Nasir, Lc. Semoga bermanfaat.

Ibadah Haji adalah ibadah yang unik, di antara keunikan ibadah Haji adalah mendatangkan kebaikan yang bukan hanya pada orang-orang melaksanakan Haji tersebut tetapi dapat “memanjangkan” kebaikan kepada orang lain, sehingga dengan melaksanakan ibadah Haji dapat memberi motivasi kepada orang lain untuk melaksanakannya. Sering sekali kita mendengar orang yang memanjatkan doa di tempat-tempat yang mustajab agar hajatnya di ijabah oleh Allah SWT, bahkan Rasulullah SAW.pun mengingatkan Umar bin Khattab ketika pergi untuk menunaikan umrah: “Jangan engkau lupakan kami dalam doa mu wahai Umar”. Seakan-akan dalam pelaksanaan ibadah Haji dan umrah ini ada daya tarik tersendiri dalam memotivasi orang untuk memperbaiki diri atau untuk menambah kebaikan.

Lain halnya dengan ibadah solat sangat jarang sekali kita mendengar orang minta doakan kepada orang-orang yang akan pergi ke masjid ketika masuk waktu solat, saya tidak mengatakan bahawa ibadah solat, puasa, dan lain-lain tidak ada daya tarik orang untuk berbuat baik, akan tetapi di sinilah letak salah satu keunikan ibadah Haji dan umrah, bila dibandingkan dengan ibadah lainnya. Paling tidak dengan pemergian seseorang melaksanakan Haji, ada bibit kebaikan yang terlontar pada orang lain, dan suatu ketika akan tumbuh dan berkembang menjadi kebaikan. Dengan kata lain pemergian seorang bakal Haji sudah pasti meninggalkan pesan moral bagi orang lain untuk memperbaiki diri walaupun sekadar angan-angan “aku ingin seperti dia”. Atau niat untuk mengikutinya itu sudah bernilai ibadah, kerana niat yang baik sahaja sudah mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Keunikan lain yang tidak kurang pentingnya adalah doa restu daripada ramai orang, sama ada daripada keluarga, jiran tetangga, dan sebagainya di mana ianya melibatkan ramai orang di dalam proses pelaksanaannya. Sudah menjadi amalan biasa di negara kita, ketika hampirnya hari-hari pemergian bakal Haji, Walimatussafar” (kenduri musafir) pun diadakan, jamuan makan, cenderamata, bahkan air matapun mengalir hanya untuk pemergian seseorang demi mencapai kesolehan peribadi.Bila tradisi seperti ini dilestarikan akan terjalinlah silaturrahim yang erat, keprihatinan sosial saling menghargai yang pada gilirannya ibadah Haji bukan saja membentuk kesolehan peribadi, tapi juga akan melahirkan kesolehan sosial.

Doa-doa restu yang mengalir daripada berbagai pihak tadi, tidak hanya sekadar memohon keselamatan pergi dan pulang tetapi dia sekaligus merupakan sokongan moral bagi bakal Haji untuk mengubah keperibadiannya, dan nasibnya menjadi baik atau lebih baik kerana untuk mengubah keperibadian dan nasib bukan suatu perkara yang mudah, tidak ada universiti di dunia ini yang dapat mengubah keperibadian atau nasib seseorang dalam waktu secara relatifnya singkat. Dalam perkara ini merupakan jelas keunikan ibadah Haji yang mana dalam waktu yang singkat lebih kurang 5 hari bermula daripada 08 Zulhijjah sehingga 13 Zulhijjah, seorang Haji akan berubah total keperibadiannya menjadi lebih baik, tentunya ini semua tidak terlepas daripada memelihara syarat, rukun, dan wajib Haji itu sendiri.

Barangkali inilah yang dimaksud oleh sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang berHaji ke Baitullah tidak berbuat rafas (perkataan kotor) dan fasik, maka dia akan keluar daripada dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan dari kandungan ibunya. (HR. Bukhari, Muslim, Ahmad, dan lain-lain). Keluar daripada dosa yang dimaksudkan di dalam hadis ini meliputi seluruh dosa baik kecil maupun dosa-dosa besar. Keterangan hadis di atas diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Dosa manusia yang paling besar ialah dosa seseorang yang berada di Arafah dan dia menduga bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosanya.

Bukan saja sekadar mengubah keperibadiannya, tapi juga dapat mengubah nasib hidupnya, kerana hakikat yang kita lihat seseorang yang pulang dari Haji tidak akan melarat, malah apa yang telah dibelanjakan untuk perbelanjaan mengerjakan Haji diganti oleh Allah SWT. Sebagaimana di dalam firman-Nya : Apa saja yang kamu infaqkan (untuk jalan Allah), Dia akan menggantinya dan Dialah yang sebaik-baik pemberi rezeki. (QS. as-Saba: 39). Senada dengan ayat di atas, Sabda Rasulullah SAW. : Iringilah antara Haji dengan umrah, sesungguhnya keduanya dapat menolak kefakiran dan dosa-dosa sebagaimana besi peniup api tukang besi menghilangkan karat-karat besi, emas dan perak, dan tidak ada balasan Haji mabrur melainkan syurga. HR. Turmuzi).




Perubahan keperibadian dan jaminan Rasulullah SAW. terhindar daripada kesusahan dan kefakiran merupakan keunikan yang hanya pada ibadah Haji saja, kalaupun ada yang tidak berubah keperibadian dan nasibnya setelah pulang daripada mengerjakan Haji itu hanya merupakan kes-kes terpencil sahaja. Masih dalam keunikan ibadah Haji, iaitu perkataan mabrur yang hanya ada pada ibadah Haji, tidak pernah didengar bahawa ada solat mabrur, puasa mabrur, atau zakat mabrurah. Ini bererti kebaikan yang ada pada Haji adalah kebaikan yang merata, sesuai erti dari mabrur itu sendiri diambil daripada perkataan “Birrun” iaitu baik, perkataan yang sama digunakan untuk daratan yang luas iaitu “Barrun” demikian juga untuk jenis makanan pokok yang banyak manfaatnya iaitu gandum, dalam Bahasa Arab disebut “Burrun”.

Maka kata “Mabrur” bererti kebaikan yang merata dan luas, bila dihubungkan dengan “Haji Mabrur” bererti kebaikan yang ada pada Haji adalah kebaikan yang menyeluruh dan merata manfaatnya yang dapat dirasakan oleh semua orang baik yang terlibat langsung melaksanakan ibadah Haji ataupun yang tidak mengerjakan Haji bahkan orang-orang kafir sekalipun ikut merasakan manfaat dari ibadah yang unik ini, agaknya inilah yang dimaksud oleh Allah di dalam firman-Nya: Supaya mereka mempersaksikan berbagai manfaat bagi mereka. (QS. al-Hajj : 28).

Akhirnya, bila ditelusuri rahsia dan keunikan ibadah Haji ini tidak ada habis-habisnya, semakin diselami semakin banyak manfaat yang didapati, amat betepatan Allah SWT. memerintahkan sebelum pergi Haji lebih dahulu mempersiapkan bekal dan sebaik-baik bekal adalah yang dibawa ke sana adalah Taqwa (QS. al-Baqarah: 197). Kerana hanya orang yang bertaqwalah yang dapat merasakan manfaat daripada seluruh amal ibadahnya, dan Allah SWT. hanya menerima amal orang-orang yang bertaqwa. (QS. al-Maidah : 27), dan yang terakhir ini juga termasuk keunikan ibadah Haji, kerana ibadah-ibadah yang lain seperti solat dan puasa melahirkan taqwa tetapi ibadah Haji datang membawa taqwa, pulang membumikan taqwa. Jadi ibadah Haji tidak seperti mesin basuh, masuk pakaian kotor keluar pakaian bersih, tapi ibadah Haji ibarat universiti yang mengijazahkan para sarjananya yang sudah menyempurnakan “tesis Taqwa”nya. Wallahua’lam.

Tuesday, December 18, 2007

SALAM AIDILADHA


Assalamualaikum,

Agak lama penulis menyepi daripada dunia maya lantaran kesibukan dan mood menulis yang sedikit menurun akhir-akhir ini. Pada kesempatan ini penulis sekadar ingin mengucapkan Salam Aidil Adha kepada semua pengunjung. Hayatilah falsafah di sebalik ibadah Haji dan Umrah dan ibadat korban yang akan dilaksanakan. Semoga ianya semakin menambah keimanan dan ketaqwaan kita semua. Insya Allah.