Wednesday, July 18, 2007

TOKOH INSPIRASI ISLAM



Sewaktu bersekolah rendah pada awal tahun 70an, salah satu subjek yang diajar ialah Tawarikh. Hari ini ianya disebut sejarah. Tawarikh dan sejarah sama saja, satu daripada akar bahasa Arab dan satu lagi bahasa Melayu. Berbeza dengan silabus subjek sejarah pada masa kini, tawarikh sekolah rendah hanya memfokuskan kepada tokoh dan pencapaian mereka. Selepas hampir 40 tahun meninggalkan sekolah rendah, penulis masih ingat sebahagian tokoh yang dibincangkan bermula daripada Tamadun Sumeria(Mesopotamia) sehingga kepada tokoh-tokoh penjajah, ahli pelayaran, ahli falsafah, penakluk sehingga kepada pencipta era Renaisance. Hammurabi, Nebucadnezar yang terkenal dengan Taman tergantung di Babylon, Ferdinand Magellan, Bartholomeow de Diaz, Lopez de Squera, Alphonso de Albuquerque, Kung Fu Tze, Loa Tze, Gautama Budha, Edwad Jenner, Joan of Arc, Albert Switchetzer, David Livingstone, William Konrad Roentgen, John McAdam dan lain-lain.

Jika dilihat daripada senarai tokoh yang dipaparkan, seingat penulis tidak ada seorang pun tokoh Islam dalam bidang-bidang kepakaran yang dibincangkan dalam silabus waktu di sekolah rendah dahulu. Pelajar hanya didedahkan kepada tokoh-tokoh ilmuan Islam ketika mengambil subjek Tamadun Islam di peringkat universiti. Sedangkan sewaktu umur 7 tahun sehingga 12 tahun, pelajar telah didoktrinkan dengan tokoh-tokoh non Muslim yang telah berjaya meresap masuk kedalam fikiran, ingatan dan jiwa pelajar di peringkat awal persekolahan. Sebagaimana yang telah disepakati oleh pakar psikologi pendidikan, bahawa tahun-tahun awal persekolahan inilah yang akan membentuk pemikiran, persepsi dan pegangan hidup mereka.

Peranan subjek sejarah di dalam mengangkat sahsiah manusia di peringkat awal kehidupan memang jelas. Tokoh pendidik Barat yang menggubal kurikulum pada waktu itu sedar bahawa dengan mengajar dan mempekenalkan kehebatan tokoh-tokoh tersebut akan dapat membentuk minda pelajar muda ini ke arah menyanjung, menghargai dan mengagumi tokoh yang bukan daripada kalangan yang seagama dengan mereka. Barangkali minda inilah yang telah berakar umbi dalam jiwa orang Melayu yang begitu menyanjung, menghargai dan mengagumi apa sahaja yang datang dari Barat. Jika tokoh-tokoh ilmuan Islam telah diberi tempat yang sewajarnya di dalam mendidik pelajar Islam di peringkat awal, penulis yakin jiwa kita akan dapat dididik kearah menyanjung dan mengagumi kehebatan kita sendiri.

Bagi meneruskan agenda inspirasi diri, penulis akan mengepos sejarah tokoh ilmuan, pejuang Islam di samping mengambil sikap untuk memperbetulkan fakta-fakta sejarah yang selama ini dianggap sebagai Sejarah Islam tetapi telah berlaku penyelewengan demi kepentingan puak tertentu. Kebetulannya baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti satu program Islam di TV yang antara lain topik yang dibincangkan ialah tentang kehebatan isteri pertama Rasulullah SAW, Sayyidatina Khadijah RA. Perbincangan tersebut memang menarik, malangnya fakta usia ketika perkahwinan baginda berdua masih lagi mengambil data sejarah yang jelas telah banyak dipertikaikan. Penulis akan kembali kepada perbincangan pemurnian Sejarah Islam dalam posting yang akan datang. Untuk kali ini disisipkan Sejarah hidup dan perjuangan Tokoh pejuang Salahuddin al Ayubi untuk inspirasi kita kali ini. Semoga bermanfaat.

Salahuddin Al-Ayyubi
Petikan dari Abul Hassan Ali Nadwai
Judul asal : Saviors of Islamic Spirit.

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang
Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain,
belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan
mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka
sebelum beliau menguasai Mesir dan menentang tentera Salib
bahawa anak Kurdish ini suatu hari nanti akan merampas
kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah
yang hebat. Dan tiada siapa yang
menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga
menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran
hingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat
menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gabenor
yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi
tidak menunjukkan satupun tanda-tanda beliau akan menjadi
orang hebat pada masa depan. Akan tetapi beliau
menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk
menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah
menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk
menjadi pemimpin agung itu. Ketika beliau menjadi tentera
Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, beliau diperintahkan
untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah
oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di
bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama
Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan
orang yang hendak di bawa ke tempat
pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan
firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal beliau amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal beliau amat buruk bagimu”
(Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin al Ayubi
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, beliau tiba-tiba
berubah. Beliau yakin bahawa Allah telah mempertanggung
jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak
mungkin dapat dilaksanakan jika beliau tidak
bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam
catatannya bahawa sebaik-baik sahaja Salahuddin
menjadi pemerintah Mesir, unia dan kesenangannya
telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang
rendah dan syukur kepada Allah beliau telah menolak
godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya
(Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahawa
Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih
keras. Beliau bertambah wara’ dan menjalani hidup yang
lebih berdisiplin dan sederhana. Beliau mengenepikan
corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan”
yang menjadi contoh kepada tenteranya. Beliau menumpukan
seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk
membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk
menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerah
kan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud
Palestin untukku. Ini menyebabkan beliau mem
perjuangkan Islam dan telah
menyerahkan seluruh dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di
jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa
semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad
menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad
menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Beliau
sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat
pasukan tenteranya, mencari
mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan
jihad beliau akan memberikan sepenuh perhatian.
Sehubungan dengan ini beliau lebih banyak di dalam khemah
perang daripada duduk di istana bersama kaum
keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad
akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang
memerhatikannya akan dapat melihat beliau
telah memulakan jihad melawan tentera salib beliau dan
menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan
perang serta menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan beliau bagaikan seorang ibu yang
garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh
tangan jahat. Beliau akan bergerak dari satu hujung medan
peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan
tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah
semata-mata. Beliau juga akan pergi ke seluruh pelosok
tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia
supaya bangkit membela Islam.
Ketika beliau mengepung Acre beliau hanya minum, itupun
selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan.
Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan
beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga
Isnin kerana beliau tidak mahu perhatiannya kepada
peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234).


Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara
tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan
Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24
Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam
peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin
telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari
Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan
ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron
dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga
tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah
tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat
dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan
tali khemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti
batu di atas batu di antara salib-salib yang patah,
potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia
berguling. Dianggarkan 30,000
tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini.
Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat
dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan Hittin telah menyerahkan kecintaan
Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis
bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa
peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah
khemahnya didirikan, diperintahkannya tawanan perang
dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan
Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.
Dipersilakan sang Raja duduk dekatnya.
Kemudian beliau bangun pergi ke hadapan Reginald lalu
berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuh
nya. Pertama ketika beliau bersumpah akan melanggar dua
kota suci dan kedua ketika beliau menyerang jamaah haji.
Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW ke
atasnya”. Lalu beliau menghunuskan pedangnya dan memenggal
kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh
pengawal dari khemah.
Raja Palestin melihat adiknya dipancung, beliau
mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba.
Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan
mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman
seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu
telah melampaui batasan, jadi terjadilah
apa yang telah terjadi”.
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban
Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad saw. Bahauddin
bin Shaddad, penasihat kepercayaan
Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin
diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh
Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka
dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya
mengatakan, “Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad,
untuk menyelamatkan kamu”. Ketika beliau mendengar berita
ini beliau telah berjanji akan membunuh Reginald dengan
tangannya sendiri apabila beliau dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah
kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis.
Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis
hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang
dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab,
583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj,
Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah
saw. naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin beliau menyatakan inilah kemenangan
atas kemenangang. Ramai orang yang terdiri dari ulama,
pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa
datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya
ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua
ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk
mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh
dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang.
Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan
Allah” telah memenuhi langit.
Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan
semula di Baitul Muqaddis. Salib yang terpampang di
‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa
hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya
Allah saja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa
peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman
musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui
hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahawa kebaikan
hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas
dendam. Beliau telah menuliskan yang Salahuddin telah
menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang
Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung
jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah
segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran
orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di
tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di
pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada
orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga
telah menulis bahawa Salahuddin telah mengatakan
kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri
besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula”.
Lalu beliau memerintahkan pegawainya mewartakan di
jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu
membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka
berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St.
Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan
sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa
menghitung bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula
tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul
Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat
dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred
menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan
itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam
yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah
dari jarak dekat di atas bumbung dan menara
rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang
mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara
beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di
mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka
sangat bernasib baik orang-orang Kristian apabila
mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan
Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin,
maka beliau sudah cukup membuktikan dialah seorang
penakluk yang paling penyantun dan baik hati di
zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian beliau telah menawan Baitul Muqaddis tanpa sebarang tentangan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.

Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia
Kristian seperti Fredrick Barbossa Raja Jerman,
Richard The Lion Heart Raja England, Philips Augustus Raja
Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan
Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin
yang hanya dibantu oleh beberapa pembesar nya dan
saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan
kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka
tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang
besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga
menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu.
Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat
perjanjian di Ramallah pada tahun 588H. Perjanjian ini
mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya
kecuali bandar Acre diletakkan di bawah pemerintahan
Kristian. Maka berakhirlah peperangan
Salib ketiga.
Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai
berakhirnya Perang Suci yang telah berlanjutan selama 5
tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan
Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di
dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian
Ramallah pada bulan September, 1192 M, keseluruhanya
menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari
Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun
dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah
Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah
mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan
Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan
beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu
membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk
mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan
Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan
ada yang balik dan sebahagian
pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah
Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan
Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan
dunia Kristian yang telah ditumpukan dalam peperangan
Salib ketiga tidak menggoyangkan kekuatan Salahuddin.
Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan
yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur
apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di
jalan Allah. Tenteranya yang berada jauh di lembah
Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak
henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah
berbelah bagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosul
(sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan
yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang
boleh memberikan kepercayaan kepada tentera-tenteranya
dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurdishs, Turkmans, tanah
Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana
saja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan
kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka
di atas jalan Allah dari pada mula peperangan pada
tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini
Salahuddin sentiasa bermesyuarat. Beliau mempunyai majlis syura
(musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan
ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan
keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada
siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa
yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya
sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya,
anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat
lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan
setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama
banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya
menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa
pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu,
mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Mangkatnya Salahuddin
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin
ke rahmatullah selepas berhempas puas mengembalikan
tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin
Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis
mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27
Safar, 12 hari selepas beliau jatuh sakit, beliau telah
menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang
wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana
supaya jika beliau nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh
diperdengarkan kepadanya.
Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda
berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah
duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas
membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu
pengsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar
membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan
Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata”
(Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil
senyum, mukanya berseri dan dengan nada yang gembira beliau
berkata, “Memang benar”. Selepas beliau mengucapkan
kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa
ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak
meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham
ketika beliau mangkat. Tiada rumah-rumah, barang-barang,
tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkan
nya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup
untuk urusan pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa
meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian
ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang
menterinya.
Salahuddin yang Wara’
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin
telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu
hari beliau berkata bahawa beliau telah lama tidak pergi
sembahyang berjemaah. Beliau memang suka sembahyang
berjemaah, bahkan ketika sakitnya beliau akan memaksa
dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan
sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh
Rasulullah SAW, beliau sentiasa mengerjakan sembahyang
sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu beliau tidak
dapat sembahyang malam, beliau akan menunaikannya ketika
hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang
di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari
terakhir di mana beliau telah tersangat lemah dan selalu
pengsan.
Tetapi beliau tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Beliau
tidak pernah membayar zakat kerana beliau tidak mempunyai
harta yang cukup nisab. Beliau sangat murah hati dan akan
menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin
dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya
beliau hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar
wang emas. Beliau tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak
pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya
sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika
sakitnya pun beliau berpuasa sehinggalah doktor menasihat
kannya dengan tegas supaya berbuka. Lalu beliau berbuka
dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu
bila ajal akan menemuiku”. Maka segera beliau membayar
fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin
teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi beliau
tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewafatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi
tetapi ditakdirkan tidak. Beliau sangat gemar mendengar bacaan
Qur’an. Dalam medan peperangan beliau acap kali duduk
mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatinya
sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Beliau mendengar dengan
sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya
membasahi dagunya.
Beliau juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah SAW.
Beliau akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya
duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis
datang ke bandar, beliau akan pergi mendengar kuliahnya.
Kadang kadang beliau sendiri membacakan hadis dengan mata
yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang beliau
berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk
mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan
Allah. Beliau biasa meletakkan segala harapan nya kepada
Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu
ketika beliau berada di Jerusalem yang pada masa itu
seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada
kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan
sangat terdesak beliau enggan untuk meninggalkan kota suci
itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk.
Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin
sahaja pada masa itu. Beliau menghabis kan masa malam itu
dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya beliau berehat tetapi
jawanya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur
sejenak”. Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi
mendapatkannya. Aku dapati beliau sedang membasuh
tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas
sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kenapa kau ber
munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya?”. Lalu beliau
bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan sembunyi2. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajatlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau saja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”
Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Kekalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menyampaikan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramallah pada hari Isnin pagi”
Perangai Salahuddin
Siapa yang rapat dengannya mengatakan beliau adalah
seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka
kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan
tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama
Salahuddin telah mencatatkan beliau telah memberikan masa
untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin
dan Selasa. Pada masa ini beliau disertai oleh
pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang
boleh berjumpa dengannya. Beliau sendiri akan membacakan
aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk
dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil
dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Beliau tidak
pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi beliau
belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang
sama beliau sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, beliau akan mendengarkan
dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya.
Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan
berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan
segera beliau memanggil anak saudaranya itu dan meminta
penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang
membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang
memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu
didapati tidak berasas, beliau telah menghadiahkan orang
itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Beliau adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah
lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak
adilan. Beliau sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan
pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka
melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, beliau tidak
pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka
mereka. Pada suatu ketika beliau pernah meminta air minum,
tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan
kepadanya. Beliau meminta sehingga lima kali lalu berkata,
“Aku hampir mati kehausan”. Beliau kemudian meminum air
yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.
Dalam ketika yang lain beliau hendak mandi selepas
mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang
disediakan agak panas, lalu beliau meminta air sejuk.
Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk
terpercik kepadanya. Disebabkan beliau belum benar-benar
sihat, beliau merasa kesejukan tetapi beliau hanya berkata
kepada khadamnya, “Katakan sajalah kalau kau tak suka
kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan
Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa
yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati
Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya
pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika beliau
telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang
perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan
keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan
senang hati beliau memberikannya. Bahkan dalam beberapa
ketika beliau menjualkan hartanya semata-mata untuk
membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin,
bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan
untuk digunakan semasa kecemasan.
Jika beliau tahu, beliau akan menyedekahkan khazanah negara
sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan
baginya wang dan debu sama saja. “Aku tahu”, kata
Bahauddin, “Beliau mengatakan dirinya”. Salahuddin tidak
pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya
tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda
penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja
Saida pernah menemui Salahuddin dan beliau menyambutnya
dengan tangan terbuka, melayannya dengan hormat dan
mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan
Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan
kepada Richard the Lion Heart, musuh ketatnya, ketika Raja
Inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga beliau sangat mudah
terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan
kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian
datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu
menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil
menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan
itu seterusnya mengatakan beliau telah umumkan hanya
Salahuddin saja yang boleh mendapatkan bayi itu
kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan
itu lalu iapun turut menangis. Beliau segera memerintah
kan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar
hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat
dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan
kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan
belas kepada anak-anak yatim. Bila beliau terjumpa
anak-anak yatim beliau akan menguruskan supaya ada orang
menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang beliau sendiri
yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang
ditemuinya. Beliau juga sangat kasihan melihat orang tua
atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan
yang khas kepada mereka apabila beliau bertemu dengan
orang sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat
Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan
bahawa Salahuddin mengidap sakit teruk yang
menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun
demikian, beliau keluar menunggang kudanya untuk memeriksa
angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya
bagaimana beliau boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin
menjawab, “Penyakit akan meninggalkanku
apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam ketika yang lain beliau sebenarnya dalam keadaan
yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh
sepanjang malam. “Apabila beliau sakit”, kata Bahauddin,
Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Beliau
tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila
pagi menjelang, beliau akan menunggang kuda untuk melawan
musuh. Beliau menghantar anak-anaknya ke medan perang
sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku
dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang
kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja
menjelang. Beliau hanya akan kembali ke khemah
selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan
pada waktu malam”.
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya
tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin.
Kadang-kadang beliau sediri pergi ke kawasan perkhemahan
tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan
dua kali sehari. Ketika berperang beliau sendiri akan pergi
merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara.
Beliau sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap
tenteranya dan memberikan arahan kepada
panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada
mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa
beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa beliau
selalu mendengar
bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang.
Apabila mendengar perkara ini beliau segera mengarahkan
supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika
peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera
Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa
ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang,
tetapi Salahuddin menghadapinya dengan
tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan
Allah beliau menang, membunuh banyak musuh dan membawa
banyak tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang
lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata
berat mendarat pada satu petang.
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali
Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa
kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari
musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut.
Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera
Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan
mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan
teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya
kembali sehingga beliau berjaya membalikkan kekalahan
menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan
berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita
Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata
kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada
dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh
tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan
tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku
berikan arahan-arahanku yang terakhir
lalu ku ucapkan selamat tinggal.

Salahuddin Sebagai Ulama
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh.
Beliau juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan
adat-adat mereka. Bahkan beliau mengetahui sifat-sifat
kuda Arab walaupun beliau sebenarnya orang Kurdish. Beliau
sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat
dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa
berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya.
Di samping Qur’an beliau juga banyak menghafal syair-syair
Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin
mempunyai pengetahuan yang mendalam dan gemar untuk mendalami
lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta
sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul
fiqh dan juga tafsir Qur’an.

Rujukan :
Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H.
Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31, 32-33, 7,155
Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99
Nota : Salahuddin adalah yang menghidupkan Maulidurrasul
SAW, hingga tentara Islam terus berjaya.

No comments: