Friday, September 7, 2007

BAJU MELAYU, BAHASA MELAYU


"butang baju melayu aku mana Pah?" Itulah dialog yang paling popular dalam filem Madu Tiga, ketika Jamil bersiap untuk majlis penikahan dengan isteri keduanya. Melalui dialog seterusnya semacam ada sikap prejudis di kalangan para isteri apabila suami mereka memakai Baju Melayu. Pemakaian baju Melayu dianggap sesuatu yang hanya sesuai di majlis yang ekslusif dan rasmi. Justeru tidak hairanlah pada hari ini amat sukar untuk melihat lelaki Melayu memakai pakaian tradisi lantaran tanggapan apatah lagi usikan yang diterima setiap kali memaki Baju Melayu terutama pada hari Jumaat.

Selain daripada itu, beberapa faktor lagi seperti tidak selesa, panas, tidak sesuai dengan tempat kerja dan pelbagai alasan lagi untuk menjustifikasikan peminggiran Baju Melayu daripada budaya dan cara hidup bangsanya sendiri. Mungkin dalam masa 10 atau 20 tahun lagi jika sesuatu tidak dilakukan oleh orang Melayu sendiri, Baju Melayu hanya akan menjadi pameran di muzium sahaja. Apakah apa saja yang berlabelkan Melayu semakin tidak relevan dengan arus pemodenan dan kemajuan?

Beberapa hari lalu, penulis sempat membaca pendapat seorang pembaca akhbar yang memberikan komentar mengenai perjuangan memperkasakan dan mendaulatkan Bahasa Melayu. Beliau bercakap mengenai 'idealisme' dan 'realisme' di dalam menangani isu tersebut. Walaupun telah bayak pendapat dan fakta yang dikemukakan oleh pejuang Bahasa Melayu, soal 'realisme' masa kini menuntut kita terus menguasai Bahasa Inggeris. Penulis berpendapat salah satu teknik menguasai BI ialah dengan bertutur sekerap yang mungkin dalam bahasa tersebut. Menurut Noam Chomsky, seorang ahli psikologi yang mengkaji hubungan antara minda dan kemampuan berbahasa, menyatakan bahawa perolehan bahasa manusia dijana melaui teknik'imitasi' atau peniruan.

Justeru, untuk menguasai sesuatu bahasa dengan baik,seseorang itu perlu mendengar, membaca, bertutur malah berfikir dalam bahasa tersebut secara intensif. Maksudnya bagi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mereka perlu bertutur dalam BI di mana-mana sahaja jika ingin menguasai BI dengan baik. Akhirnya apa akan jadi kepada Bahasa Melayu kerana andaian dan pandangan sebahagian besar orang Melayu sendiri bahawa BM bukanlah bahasa komersial atau bahasa ekonomi. Inilah realiti kebimbangan pejuang dan pencinta BM, kita akan kehilangan bangsa kerana apalah yang ada pada bangsa yang tidak mempunyai(Baca tidak boleh bertutur)dalam bahasanya sendiri.


Realitinya, BM adalah suatu bahasa yang amat muda jika dibandingkan dengan BI,Bahasa Jerman, Perancis, Mandarain, Arab, Jepun dll bahasa yang telah kukuh akarnya. Tatabahasa/nahu BM itu sendiri berasaskan kerangka nahu BI sebagaimana yang telah dicipta oleh Zaaba, bagaimana mungkin jika bahasa yang masih 'lembut ubun-ubunnya' mula dipinggirkan akan mampu terus hidup dan subur menjadi bahasa antarabangsa jika kita sendiri tidak memupuk dan menjaganya dengan baik? Kita sepatutnya belajar sesuatu dari Indonesia di dalam memartabatkan BM di buminya sendiri. Filipina, India dan beberapa negara Afrika yang meminggirkan bahasanya hingga kini tidak mampu menjadi bangsa besar dan berjaya. Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Peranchis tetap menjadi negara maju sekalipun rakyatnya menggunakan bahasa mereka sendiri.
Marilah kita sama-sama fikirkan.

Monday, September 3, 2007

KECELARUAN FAKTISUS


Sebagaimana janji penulis untuk menyambung perbicangan tentang Kecelaruan Faktisus atau Malingering dalam post yang lalu. Setelah membuat beberapa 'searh', penulis mendapati penjelasan yang baik dan ringkas boleh di dapati dari http://en.wikipedia.org/wiki/Factitious_disorder. Untuk bacaan lebih lanjut sila layari http://www.emedicine.com/emerg/topic322.htm http://rarediseases.about.com/cs/munchausensynd/a/091402.htm dan http://ourworld.compuserve.com/homepages/Marc_Feldman_2/.


Sebenarnya agak sukar untuk membezakan antara Kecelaruan faktisus dangan Kecelaruan Malinger kerana simptom yang hampir sama boleh di dapati pada kedua-dua kes. Perbezaan ini hanya dapat dikenalpasti melalui ujian oleh pakar. Walaubagaimanapun, penulis berharap tulisan ini dapat memberikan sedikit maklumat tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh kita semua.

Thursday, August 30, 2007

SAKIT ATAU TIDAK SAKIT?



Kes 1.
Pernahkah anda merasa sakit di bahagian anggota luaran mahupun dalaman tubuh namun selepas membuat pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan anda tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Mudahnya anda disahkan sihat, tetapi anda masih terasa kesakitan.

Kes 2.
Pernahkah anda tidak merasa sakit di mana-mana bahagian anggota luaran mahupun dalaman tubuh namun selepas membuat pemeriksaan kesihatan, doktor juga mengesahkan anda tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Maksudnya anda disahkan sihat, tetapi anda masih mendakwa anda sakit.

Kedua-dua kes di atas memang merupakan suatu fenomena yang jarang berlaku, justeru apabila ianya dihadapi oleh sesiapa saja sama ada individu atau keluarga sendiri agak sukar untuk mencari jawapannya. Biasanya doktor perubatan sendiri tidak dapat menjelaskan fenomena ini, melainkan kes-kes tersebut dirujuk kepada ahli psikoterapi atau dalam kes-kes yang lebih kronik, bantuan pakar psikiatri terpaksa diminta.

Berdasarkan Diagnostic & Statistic Manual of Mental Disorders (4th edition) kes-kes tersebut dikategorikan sebagai Kecelaruan Somatofom (Somatoform Disorders) yang terdiri daripada 4 sub kategori iaitu:-
i. kecelaruan somatizasi(somatization disorder)(SD)
ii. kecelaruan konversi (conversion disorder)(CD)
iii. hipokondriasis (hypochondriasis)
iv. kecelaruan dismofik badan (body dysmorphic disorder)(BDD)

Kes satu merupakan simptom kepada CD, namun dalam kes yang ke2 agak sukar untuk membezakan antara CD dengan satu lagi masalah yang dipanggil 'malingering'. Malah dalam kes kedua prognosis bagi keduanya memberi jawapan yang hampir sama.


CD ialah keadaan dimana seseorang berpura-pura sakit untuk mendapat faedah tertentu seperti tidak perlu bekerja atau untuk mengelak dikenakan hukuman. Ada juga kes-kes dimana individu berpura-pura sakit untuk mendapat perhatian daripada keluarga atau orang tertentu.



Penulis akan meneruskan perbincangan ini dalam post yang akan datang, merangkumi punca kecelaruan dan kaedah rawatan yang sesuai.

Monday, August 27, 2007

MINDA, MENJADI TUAN ATAU HAMBA?



”Minda adalah pelopor kepada segala sesuatu, minda adalah pemimpin, minda adalah pembentuk” - Gautama Buddha

Minda merupakan hamba yang sangat berguna namun merupakan majikan yang paling kejam. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan minda anda. Berita baiknya, sebelum penulis menjelaskan maksud kenyataan di atas, adalah bahawa manusia adalah satu-satunya mahluk di dunia ini yang memiliki kemampuan berfikir mengenai proses berfikir. Istilah teknikalnya adalah metakognitif. Berita buruknya adalah bahawa sangat ramai orang yang tidak sedar, tidak tahu, pura-pura tidak tahu, atau bahkan tidak mahu tahu bahawa mereka sebenarnya memiliki kemampuan ini. Dan oleh sebab itu mereka tidak pernah sedar bahawa seumur hidup mereka telah menjadi budak atau hamba dari minda mereka sendiri.

Apapun yang terjadi di dalam hidup kita merupakan realisasi daripada minda kita yang dominan. Semakin kita memikirkan perkara yang tidak kita kehendaki, maka kita semakin cenderung mendapatkannya. Ada seorang gadis remaja, yang tidak suka dengan tingkah laku ibunya dan berkata, ”Nanti, kalau aku dewasa, aku tidak akan jadi seperti ibu aku.” Apa yang terjadi bila dia dewasa? Dia menjadi sama seperti ibunya. Mengapa? Kerana semakin dia fikirkan bahawa dia tidak mahu menjadi seperti ibunya, maka minda ini menjadi semakin dominan, semakin menguasai dirinya, dan dengan demikian mengarahkan dia untuk menjadi seperti ibunya.

Demikian juga orang gagal, yang pencapaian prestasi hidupnya rendah. Cuba anda tanyakan pada mereka, ”Apa yang mahu anda capai dalam hidup?” Mereka akan selalu berkata, ”Aku ingin agar hidup aku tidak kekurangan, tidak miskin, tidak susah, tidak menderita, tidak ini...., tidak itu.....” Yang mereka katakan selalu apa yang tidak mereka ingini terjadi pada diri mereka. Namun yang tidak mereka sedari adalah semakin mereka fokus untuk menghindari apa yang tidak mereka kehendaki maka minda mereka akan semakin membuat perkara itu menjadi kenyataan.

Sebaliknya kalau orang berjaya ditanya, ”Apa yang anda ingin capai dalam hidup?” maka mereka pasti akan menjawab, ”Aku ingin menjadi pengusaha berjaya, aku ingin membantu orang yang tidak mampu dengan kekayaan aku, aku ingin mendirikan rumah anak yatim, aku ingin menyekolahkan anak ke luar negara, aku ingin......., aku ingin........” Semua jawaban itu selalu yang positif. Anda boleh lihat bezanya sekarang?

Anda mungkin akan bertanya, ”Mengapa terjadi perbezaan hasil antara orang gagal dan orang berjaya, padahal mereka memikirkan tujuan yang sama?” Sebelum penulis jawab, penulis perlu membetulkan pertanyaan anda. Mereka memang kelihatan memikirkan perkara yang sama, tetapi sebenarnya tidak sama. Bukankah tidak mahu hidup miskin sama dengan hidup dalam kekayaan? Bukankah hidup tidak menderita sama dengan hidup senang atau bahagia? Secara bahasa, apa yang mereka nyatakan memang ertinya sama. Tapi secara operasi minda, kedua pernyataan itu jelas bertentangan.

Sekarang penulis ingin bermain dengan minda anda sejenak. Cuba anda lakukan perkara berikut ini. Penulis ingin anda untuk tidak memikirkan seekor harimau warna hijau. Sekali lagi, penulis minta anda tidak memikirkan harimau warna hijau. OK! Berhenti sejenak. Lakukan ujikaji kecil ini. Setelah itu baru anda boleh meneruskan membaca.

Bila anda melakukan dengan betul apa yang penulis minta maka minda anda malah memikirkan seekor harimau warna hijau. Mengapa boleh terjadi demikian? Bukankah arahannya tadi adalah anda diminta tidak memikirkan harimau warna hijau?
Inilah perbezaan operasi bahasa dan operasi minda. Secara struktur perkataan, arahan yang penulis berikan sudah betul. Namun tidak demikian bila arahan ini mahu dilaksanakan oleh minda. Bahasa mengenal kata nafi. Minda tidak. Perkataan ”tidak memikirkan” secara kaedah bahasa memang bererti ”tidak boleh memikirkan atau jangan memikirkan”. Namun di minda, untuk menafikan suatu pernyataan maka yang terjadi adalah perlu terlebih dahulu muncul ”sesuatu” untuk kemudian dinafikan.

Dalam contoh yang penulis berikan, untuk membolehkan ”tidak memikirkan harimau warna hijau”, maka yang terjadi di minda adalah:

1. minda akan membayangkan gambaran harimau warna hijau

2. setelah itu minda akan menafikan kewujudan harimau warna hijau

Namun, begitu apabila gambaran harimau warna hijau telah muncul di minda maka kesan kata nafi bahasa tidak berlaku di minda. Ertinya, gambaran harimau warna hijau itu akan tetap berada di dalam minda. Semakin dominan minda itu maka semakin kuat pengaruhnya pada diri seseorang.

Perkara ini sama kesannya dengan ibubapa yang ”memotivasi” anaknya, yang malas belajar, dengan perkataan, ”Nak, jangan malas. Kalau malas kamu tak akan berjaya”. Apa yang terjadi? Anaknya menjadi semakin malas dan semakin sukar untuk berjaya. Demikian juga ketika ibubapa mendorong anak untuk rajin bangun pagi dengan, ”Jangan selalu bangun lewat. Jangan suka bangun meninggi hari. Nanti lambat pergi sekolah.”Apa yang terjadi? Anaknya tetap bangun lewat. Mengapa terjadi demikian?

Komunikasi mengandungi tiga perkara. Pertama adalah idea, kedua adalah gambaran mental, dan yang ketiga adalah emosi. Ketika ibubapa berkata jangan bangun lewat, maka ini adalah idea. Seterusnya dalam minda akan muncul gambar orang yang bangun lewat. Setelah itu muncul emosi. Kalau emosi yang muncul adalah dia merasa seronok tidur meninggi hari, maka kebiasaan ini akan semakin kuat.

Untuk dapat betul-betul boleh mengendalikan minda, kita perlu menyedari bahawa kita dan minda kita adalah dua perkara yang berbeza. Dengan kata lain, kita menggunakan minda namun minda bukanlah diri kita. Diri kita adalah sebuah kesedaran yang menggunakan minda sebagai alat untuk menghasilkan buah fikiran. Kesedaran ini merupakan langkah awal untuk mengendalikan minda. Untuk memudahkan fahaman, cukup sekadar mengingati tiga hukum pengawalan minda berikut:

Hukum pengawalan minda yang pertama berbunyi: Buat minda anda memikirkan apa yang anda ingin fikirkan.

Minda selama ini telah dengan sangat bebas memikirkan apapun yang ”ia” kehendaki. Dengan demikian selama ini minda yang mengendalikan diri anda. Sekarang, setelah menyedari perkara ini, anda perlu menerbalikkan prosesnya, kenali bahawa minda hanyalah merupakan suatu aktiviti, yang dapat beroperasi sesuai dengan keinginan anda. Untuk dapat mengendalikan minda, anda perlu disiplin dalam menjalankan hukum pertama ini. Belajarlah untuk mengatur minda seperti anda menjalankan sebuah mesin. Anda dapat menghidupkan atau mematikan mesin menurut keinginan anda.

Hukum pengawalan minda yang kedua berbunyi: Buat minda anda berfikir ketika anda menghendakinya berfikir dan berhenti berfikir ketika anda menghendakinya berhenti.

Bagi kebanyakan orang, minda mereka dapat melakukan apa saja, meskipun tanpa persetujuan mereka, sehingga minda yang menentukan apa yang akan dia fikirkan. Akibatnya, minda yang muncul sering kali tidak terkawal dan mengakibatkan minda yang kacau. Untuk mengatasi perkara ini anda perlu boleh menjadi tuan kepada minda anda, bukan sebaliknya. Gunakan minda ketika anda ingin menggunakannya dan tidak menggunakannya ketika anda tidak ingin menggunakannya. Dengan kata lain, anda perlu belajar untuk boleh membuat minda menjadi tenang ketika anda menghendakinya tenang.

Hukum pengawalan minda yang ketiga berbunyi: Menjadi pemerhati daripada minda yang anda fikirkan.

Semakin cekap anda dalam memainkan peranan sebagai pemerhati dalam mengamati minda maka anda akan semakin mampu menguasai minda. Mainkan peranan pemerhati dalam setiap bentuk kegiatan mental yang anda lakukan. Jadikan perkara ini sebagai satu kebiasaan. Bila anda mampu menjadikan peranan pemerhati satu kebiasaan, maka kebiasaan ini akan benar-benar membantu mengembangkan kemampuan persepsi anda. Seterusnya anda akan mampu mengendalikan minda dan berfikir secara sedar.

Pada mulanya, keadaan minda orang pada umumnya relatif tidak terstruktur, objektif, fleksibel, dan terbuka terhadap pengalaman belajar yang baru. Seiring berjalannya waktu, keadaan ini perlahan tapi pasti berubah menjadi semakin kaku, bias, dan sukar menerima persepsi, pembelajaran, atau respon yang tidak dapat diterima oleh struktur sebelumnya. Pada akhirnya, seluruh ruang lingkup kesedaran minda sedar dilahirkan dan tunduk pada kerangka berfikir yang tadinya dibentuk sebagai landasan untuk mengembangkan kemampuan berfikir itu sendiri.

Minda sedar atau rasional sebenarnya merupakan minda yang paling tidak rasional. Mengapa begitu? Minda rasional, berdasarkan kesan yang diterimanya melalui perspektif yang terbatas, membentuk struktur-struktur yang kemudian menentukan apa yang akan diterima dan ditolaknya secara bebas. Mulai daripada itu ia tidak peduli bagaimana dunia berjalan, minda rasional akan mengikuti aturan yang diciptakannya sendiri dan mencuba memaksa dunia mengikuti aturan itu. Malangnya, kita menggunakan minda sedar untuk berfikir, menganalisis, mensistesis, dan menilai.

Penulis ingin mengakhiri artikel ini dengan satu petikan yang penulis minati seperti berikut:

”I think, therefore I am” -Descartes

Bila diterjemahkan secara bebas ertinya ”Aku berfikir, maka aku ada”. Sebaliknya ada pihak yang menentang pendapat Descartes dengan berhujah, “Aku ada, maka aku boleh berfikir”.

Sekarang, pertanyaan penulis pada anda, mana satukah yang betul ”Aku berfikir, maka aku ada” atau ”Aku ada, maka aku boleh berfikir”?

Selamat berfikir !!

Wednesday, August 15, 2007

PATRIOTISME, MALAYSIA NEGARAKU






Apakah perasaan anda
1. jika Bendera Jalur Gemilang dipijak dan dibakar di depan anda?
2. jika Lagu Negaraku dipersendakan dan diubah liriknya menjadi penghinaan agama dan kaum lain?
3. ketika menonton rakaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj melaungkan "Merdeka" pada 31 Ogos 1957?
4. ketika Malaysia memenangi Piala Thomas?
5. ketika melihat pasukan bolasepak Malaysia tewas 5-0 kepada Uzbekistan dalam pertandingan Piala Asia baru-baru ini?

Jawapan soalan:-

1. A. Marah B. Tidak rasa apa-apa C. Seronok
2. A. Marah B. Tidak rasa apa-apa C. Seronok
3. A. Bangga/Terharu B. Tidak rasa apa-apa C. Benci
4. A. Bangga/Terharu B. Tidak rasa apa-apa C. Benci
5. A. Bengang B. Tidak rasa apa-apa C. Seronok

Analisis Jawapan:-

Jika anda memilih semua jawapan A, yakinlah bahawa anda memang patriotik.
Jika anda memilih semua jawapan B, anda memang tidak patriotik langsung.
Jika anda memilih semua jawapan A, anda memang layak jadi warganegara lain.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Sesungguhnya CINTA KEPADA NEGARA ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN - hubbul watan minal iman !

Tuesday, August 14, 2007

ILMU ISLAM


Semalam, sewaktu di surau sempat berdiskusi tentang masalah hukum dan ajaran Islam. Kebelakangan ini semakin banyak perbincangan yang menjurus kepada pelaksanaan ajaran Islam yang sekian lama telah membenahi penulis terutamanya tentang amalan bermazhab. Nampaknya semakin ramai umat Islam di Malaysia bertambah jelas tentang amalan bermazhab dalam fiqh. Namun melalui perbincangan tersebut, timbul pula persoalan tentang kejahilan sesetengah umat Islam tentang hukum-hakam Islam tetapi cuba menunjukkan kehebatan dan ketinggian ilmunya. Amatlah malang bagi kita jika orang jahil merasakan dirinya berilmu lalu cuba mengambil bahagian dalam perbahasan yang melibatkan hukum-hakam Islam. Akibatnya semakin ramai yang terkeliru dek sikap tidak bertanggungjawab mereka ini.


Timbulnya fenomena menunjuk pandai dan alim tentang hukum ini sebenarnya tidak boleh dipandang ringan. Bayangkan jika yang bercakap itu seorang ketua atau majikan yang mempunyai ramai subordinat dimana sedikit sebanyak ianya mampu memberi pengaruh terhadap mereka. Memahami Islam secara syumul atau menyeluruh, memerlukan kepada pencarian ilmu yang benar sumber dan gurunya. Untuk menjelaskan persoalan ini pembaca boleh merujuk kepada blog http://saifulislam.com/ di bawah tajuk Mana Tingkap Mana Pintu? Kupasan Us Hasrizal Jamil dalam blognya sedikit sebanyak boleh membantu kita di dalam memahami kaedah dan tatacara mencari dan mengamalkan Islam yang syumul.


Bagi yang rajin melayari internet sebagai bahan bacaan dan rujukan, pastikan laman web atau blog yang dilayari benar-benar menepati ajaran Islam. Mutakhir begitu banyak laman web yang kononnya menjelaskan tentang Islam, sebenarnya penuh dengan penyelewengan dan kepalsuan. Kita mesti berhati-hati agar tidak terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah dan penipuan kaum yang sentiasa ingin melihat umat Islam tersasar daripa landasan yang benar.

Monday, August 13, 2007

BAHASA JIWA BANGSA


Ungkapan yang sudah jarang kedengaran dewasa ini. Di awal tahun 70an, sewaktu semangat kebangsaan mula memuncak untuk mendaulatkan Bahasa Melayu(BM) sebagai bahasa rasmi dan utama negara kita, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ditubuhkan untuk menterjemahkan hasrat dan cita-cita sebuah perjuangan untuk melihat BM bukan sahaja menjadi 'lingua franca' malah menjangkau matlamat menjadikan ianya sebagai bahasa ilmu. Selepas 50 tahun merdeka, nampaknya kita bukan semakin maju, tetapi UKM terpaksa mengorbankan jatidiri penubuhannya atas prinsip komersial. Bahasa Inggeris(BI) yang pada masa ini dianggap sebagai bahasa antarabangsa, malah dalam konteks negara kita boleh dianggap sebagai bahasa ekonomi juga. Perjuangan mendaulatkan BM seakan sekadar retorik dalam wacana ilmu dan forum parti politik Melayu, hakikatnya pelaksanaanya semakin hanyut bersama arus kemajuan material yang berpaksikan budaya dan bahasa asing.


Kita tertanya-tanya kemanakah akhirnya kedudukan BM dalam masa 50 tahun akan datang? Amat ngeri sekali jika difikirkan orang Melayu hanya mampu mendakwa dirinya bangsa Melayu sedangkan jiwanya(BM) telah tiada. Bagaimana hendak mengenal sesuatu bangsa kalau bukan dengan bahasanya!. Apakah perasaan kita apabila satu hari nanti Melayu Malaysia akan menjadi seperti Melayu Sri Lanka dan Melayu Afrika Selatan. Mengaku diri Melayu dalam ungkapan " I am Malay, but my Malay and your Malay is different". Melayu yang tidak mampu bertutur dalam bahasanya sendiri? Mengerikan dan amat dahsyat sekali.


Barangkali imaginasi penulis terlalu jauh, namun pernahkah 50 atau 100 tahun dahulu Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan terfikir bahawa hari ini mereka sekadar mendakwa dirinya Melayu seperti kambing mendakwa dirinya lembu? Percayakah kita? Perjuangan untuk mengembalikan kedaulatan BM ke landasan benar perlu ditangani dengan serius dan berani. Keberanian ini memerlukan iltizam yang berterusan dan ikhlas. Bangunkanlah dalam setiap diri Melayu, bahawa tidak ada orang lain yang akan mengangkat bahasanya melainkan diri kita sendiri. Ayuh perkasakan kembali jatidiri kita, yakinlah bahwa kita suatu bangsa yang besar, BM punya penutur yang menjangkau lebih 250 juta jiwa. Kita menjadi kecil bukan kerana diperkecilkan tetapi kerana merasa diri kita kecil. Bangsa yang besar sentiasa mersa megah dan bangga dengan budaya dan bahasanya.


Menjelang 50 tahun kemerdekaan, ayuh kita sama-sama merdekakan diri dengan semangat cintakan bahasa kita. Patriotisme yang paling besar adalah mengekalkan bahasa, kerana ianya jiwa atau nyawa kepada bangsa. Bangsa yang hidup punya jiwa yang sihat dan cergas, BM adalah jiwa bangsa Melayu, jangan biarkan jiwa kita layu dan mati, kerana kitalah yang menentukan nasib bangsa kita sendiri. MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA.