Friday, September 7, 2007

BAJU MELAYU, BAHASA MELAYU


"butang baju melayu aku mana Pah?" Itulah dialog yang paling popular dalam filem Madu Tiga, ketika Jamil bersiap untuk majlis penikahan dengan isteri keduanya. Melalui dialog seterusnya semacam ada sikap prejudis di kalangan para isteri apabila suami mereka memakai Baju Melayu. Pemakaian baju Melayu dianggap sesuatu yang hanya sesuai di majlis yang ekslusif dan rasmi. Justeru tidak hairanlah pada hari ini amat sukar untuk melihat lelaki Melayu memakai pakaian tradisi lantaran tanggapan apatah lagi usikan yang diterima setiap kali memaki Baju Melayu terutama pada hari Jumaat.

Selain daripada itu, beberapa faktor lagi seperti tidak selesa, panas, tidak sesuai dengan tempat kerja dan pelbagai alasan lagi untuk menjustifikasikan peminggiran Baju Melayu daripada budaya dan cara hidup bangsanya sendiri. Mungkin dalam masa 10 atau 20 tahun lagi jika sesuatu tidak dilakukan oleh orang Melayu sendiri, Baju Melayu hanya akan menjadi pameran di muzium sahaja. Apakah apa saja yang berlabelkan Melayu semakin tidak relevan dengan arus pemodenan dan kemajuan?

Beberapa hari lalu, penulis sempat membaca pendapat seorang pembaca akhbar yang memberikan komentar mengenai perjuangan memperkasakan dan mendaulatkan Bahasa Melayu. Beliau bercakap mengenai 'idealisme' dan 'realisme' di dalam menangani isu tersebut. Walaupun telah bayak pendapat dan fakta yang dikemukakan oleh pejuang Bahasa Melayu, soal 'realisme' masa kini menuntut kita terus menguasai Bahasa Inggeris. Penulis berpendapat salah satu teknik menguasai BI ialah dengan bertutur sekerap yang mungkin dalam bahasa tersebut. Menurut Noam Chomsky, seorang ahli psikologi yang mengkaji hubungan antara minda dan kemampuan berbahasa, menyatakan bahawa perolehan bahasa manusia dijana melaui teknik'imitasi' atau peniruan.

Justeru, untuk menguasai sesuatu bahasa dengan baik,seseorang itu perlu mendengar, membaca, bertutur malah berfikir dalam bahasa tersebut secara intensif. Maksudnya bagi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mereka perlu bertutur dalam BI di mana-mana sahaja jika ingin menguasai BI dengan baik. Akhirnya apa akan jadi kepada Bahasa Melayu kerana andaian dan pandangan sebahagian besar orang Melayu sendiri bahawa BM bukanlah bahasa komersial atau bahasa ekonomi. Inilah realiti kebimbangan pejuang dan pencinta BM, kita akan kehilangan bangsa kerana apalah yang ada pada bangsa yang tidak mempunyai(Baca tidak boleh bertutur)dalam bahasanya sendiri.


Realitinya, BM adalah suatu bahasa yang amat muda jika dibandingkan dengan BI,Bahasa Jerman, Perancis, Mandarain, Arab, Jepun dll bahasa yang telah kukuh akarnya. Tatabahasa/nahu BM itu sendiri berasaskan kerangka nahu BI sebagaimana yang telah dicipta oleh Zaaba, bagaimana mungkin jika bahasa yang masih 'lembut ubun-ubunnya' mula dipinggirkan akan mampu terus hidup dan subur menjadi bahasa antarabangsa jika kita sendiri tidak memupuk dan menjaganya dengan baik? Kita sepatutnya belajar sesuatu dari Indonesia di dalam memartabatkan BM di buminya sendiri. Filipina, India dan beberapa negara Afrika yang meminggirkan bahasanya hingga kini tidak mampu menjadi bangsa besar dan berjaya. Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Peranchis tetap menjadi negara maju sekalipun rakyatnya menggunakan bahasa mereka sendiri.
Marilah kita sama-sama fikirkan.

1 comment:

ari - prihatin said...

senang cerita, kita ambil ribuan perkataan BI jadikan BM. Lagipun dari dahulu lagi bahasa asing seperti Arab dan BI banyak dijadikan BM. Apa salahnya kerana sesuatu sebab yang mustahak atas nama pembangunan,ribuan perkataan asing seperti BI dan lain-lain bahasa dijadikan BM. Kalau taufan La Nina,tsunami, forensik,internet, geometri, raifel kalashnikov,ilmu dan, lain-lain kita sudah terima sebagai BM kenapa kita tidak menerima perkataan lain dalam BI dan bahasa lain untuk kelancaran mengajar dan menimba ilmu untuk pembangunan. Kita perlu mencari jalan supaya tidak lagi membuang masa berfikir dan berbahas tentang isu BM dan BI ini kerana ketika itu BI sudahpun menjadi "bahasa kita" Apakah komen DBP dalam soal ini agaknya