Tuesday, September 18, 2007
PUASA-BUKTI KUASA MINDA BAWAH SEDAR
Hikmah puasa telah banyak dibincangkan oleh para ulama dan ilmuwan, daripada para ahli syariat dan agama hingga kepada para ahli psikologi dan perubatan. Penulis tidak akan membincangkan mengenai hikmah puasa secara terperinci atau wacana puasa sihat, juga tidak mengenai tips dan cara berpuasa yang paling baik. Sudah banyak tulisan tentang perkara-perkara tersebut, sudah banyak program radio dan TV membincangkan pelbagai aspek rukun Islam ketiga ini.
Berdasarkan pengalaman menjalani ibadat puasa saban tahun, juga melalui bacaan dan pemerhatian, ibadat puasa telah berjaya membuktikan kenyataan bagaimana minda bawah sedar mampu menguasai fizikal dan mempengaruhi anggota tubuh untuk mempercayai bahawa berpuasa walaupun merasa lapar dan dahaga tetapi tidak sampai ke peringkat yang boleh menjejaskan kualiti kesihatan individu. Seseorang yang tidak pernah berpuasa percaya bahawa adalah mustahil untuk manusia tidak minum selama 12 jam sambil masih dapat menjalani kehidupan dan bekerja seperti biasa. Tetapi bagi sesiapa yang telah biasa melaksanakan amalan puasa sama ada puasa wajib mahupun sunat, tidak langsung merasakan meninggalkan makan dan minum sebagai satu penderitaan yang dahsyat malah jiwa semakin bertambah kuat dan stabil.
Jika kita tidak berpuasa, bagaimanakah reaksi perut jika tidak mengambil sarapan sehingga pukul 10 pagi? Sudah pasti perut akan terasa pedih sedang tubuh badan ikut letih. Tetapi jika kita terlepas untuk bersahur sekalipun, kita masih mampu bertahan. Tidakkah fenomena ini menghairankan kita? Tentu sekali tidak, kerana minda bawah sedar kita telah memprogramkan anggota tubuh untuk bersedia untuk melaksanakan ibadat puasa tanpa sebarang masalah. Sesungguhnya Allah SWT telah mengajar kita bahawa bagaimana minda bawah sedar telah sekian lama mampu menjadikan apa saja yang dingini. Perbincangan mengenai Kuasa Minda ini telah penulis bincangkan dalam posting yang lalu- KUASA MINDA, MENJADI TUAN ATAU HAMBA?.
Sesungguhnya disebalik begitu banyaknya faedah dan manfaat yang diperolehi anggota fizikal manusia daripada ibadat puasa, minda dan jiwa juga dilatih secara praktikal sebagaimana pada hari ini begitu banyak wacana yang cuba menjelaskan bagaimana kuasa minda kita berfungsi. Hakikatnya ibadat puasa telah lama memberikan didikan cara kerja minda bawah sedar sehingga kita mampu melakukan sesuatu yang dianggap mustahil oleh orang yang tidak pernah atau tidak mahu berpuasa!
Bagi memberikan sedikit penjelasan mengenai kehebatan minda bawah sedar ini, penulis berikan tips yang penting bagaimana kekuatan fikiran bawah sedar itu dapat dibangkitkan. Ianya dapat dijana melalui 2 teknik, iaitu: autosuggestion dan visualization.
Autosuggestion
Keinginan-keinginan kita merupakan maklumat penting untuk fikiran bawah sedar. Sebab keinginan yang terpendam kuat dalam fikiran bawah sedar yang sangat besar dapat menjadi daya pendorong yang akan menggerakkan diri kita untuk berbuat sesuatu yang luar biasa. Keinginan yang sangat besar dan terpendam dalam fikiran bawah sedar itulah yang dinamakan autosuggestion.
Autosuggestion mesti dilakukan dengan penuh keyakinan, melibatkan emosi dalam diri, dilakukan penuh konsentrasi terhadap objek yang positif, dan berulang-ulang. Selanjutnya, fikiran bawah sedar inilah yang akan mengarahkan gerak-geri tubuh kita. Kekuatan yang ditimbulkan oleh fikiran bawah sedar itu sangat dahsyat sama ada digunakan untuk melakukan perbuatan buruk atau baik. Kadangkala niat untuk melakukan sesuatu secara automatik muncul daripada fikiran bawah sedar.
Autosuggestion akan mengetuk kesedaran (heartknock). Kerana dilakukan berulang-ulang dan berterusan, suatu ketika kata-kata tersebut akan menembus fikiran bawah sedar. Lalu fikiran bawah sedar itupun menaikkan semangat. Tenaga itu dapat dimanfaatkan untuk mewujudkan impian hidup kita.
Mungkin kegiatan autosuggestion ini akan dianggap aneh oleh orang lain. Tetapi itulah salah satu cara untuk mengubah diri dari dalam. Biasakan mendengar pola fikir positif dan melakukan kebiasaan-kebiasaan yang konstruktif. Jadi jangan ragu untuk melakukan budaya-budaya yang berpotensi, menumbuhkan optimisme dan kreativiti.
Ada 6 (P) petunjuk dalam melakukan autosuggestion, iaitu;
Positive - pada ketika melakukan autosuggestion, fikirkan hal-hal yang positif
saja.
Powerful - lakukan dengan penuh keyakinan sebab dapat memberikan kekuatan
untuk berbuat sesuatu yang luar biasa.
Precise - keinginan yang hendak dicapai perlu mampu dijelaskan secara
tepat, kerana fikiran bawah sedar hanya boleh menyusun berdasarkan
kategori.
Present Tense - dalam bentuk keinginan ketika ini, bukan keinginan di masa lalu atau
akan datang.
Personal - lakukan perubahan positif terhadap diri sendiri terlebih dahulu.
Potential - memungkinkan untuk dicapai dalam target waktu yang telah ditetapkan.
Visualization
Bila kita menginginkan sesuatu maka fikiran bawah sedar akan menggambarkan apa yang diinginkan itu. Dengan cara memvisualisasikan impian terlebih dahulu, terciptalah banyak sekali karya-karya agung di dunia ini. Marcus Aurelius Antonius, seorang Maharaja Rom zaman dahulu mengatakan, “A man’s life is what his thought make of it - Kehidupan manusia ialah bagaimana mereka memikirkannya.”
Sesuatu yang selalu divisualisasikan manusia akan mudah terpendam dalam fikiran bawah sedar. Lalu muncul kekuatan fikiran tersebut, yang berperanan sebagai penghubung antara jiwa dengan tubuh. Sehingga tubuhpun bertindakbalas dengan mengerahkan seluruh potensi yang sebelumnya tidak pernah digunakan, dalam bentuk kreativiti atau tindakan. Memvisualisasikan impian memungkinkan seluruh impian tercapai oleh fikiran bawah sedar.
Sesungguhnya amalan puasa itu adalah manifestasi kepada kejayaan membentuk diri melalui kehebatan minda bawah sedar. Sudahkah kita menyedarinya?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment