Friday, September 21, 2007
RUSUHAN DAN STIGMA PSIKOLOGI
Sekali lagi negara dikejutkan dengan kejadian rusuhan pada 8 September 2007, di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Bagi rakyat Malaysia yang sedang berada dalam keamanan dan keselesaan, kocakan ini sedikit menyentak dan mengimbau peristiwa Reformasi hampir sedekad berlalu. Dalam keadaan saling bertuduhan, pihak berkuasa dan pembangkang cuba memberi gambaran kepada massa bahawa merekalah di pihak yang benar. Penulis tidak ingin terlibat di dalam konflik ini, namun rasanya ada sesuatu yang boleh difikirkan dengan lebih serius, matang dan tidak memihak.
Jika dikaji punca berlakunya rusuhan, amuk, konflik dan apa sahaja bentuk anarki, tidak lain dan tidak bukan bermula daripada emosi yang tidak dapat dikawal. Kegalalan inilah yang menyebabkan berlakunya kejadian yang merugikan semua pihak pada akhirnya. Dalam konteks rusuhan, biasanya situasi yang berlaku apabila berkumpulnya kelompok manusia yang besar(massa). Kumpulan besar manusia biasanya kurang mempunyai common sense. Seperti dalam perlawanan bolasepak, penyokong pasukan yang bertanding akan memberikan sepenuh sokongan dan dalam masa yang sama akan mencaci pasukan lawan sehingga ke tahap di luar kawalan. Kajian psikologi menjelaskan situasi ini sebagi Mob psychology atau Crowd psychology yang membawa kesan yang tidak dijangka.
Menurut tokoh psikologi massa Gustave Le Bon, bahawa massa itu naif, mudah diprovokasi, bersifat rasist atau ringkasnya adalah tidak rasional. Menurut Le Bon, massa senantiasa terkongkong dalam batasan ketidaksedaran, tunduk pada segala pengaruh, mudah diapi-apikan oleh emosi dan dengan mudah mempercayai sesuatu perkara.
Ringkasnya dalam keadaan sebegini, provokasi kecil boleh mengundang padah yang amat berat.
Dalam kejadian di Batu Burok, situasi psikologi sosial masyarakat memang sangat mudah 'terbakar' sehingga menyebabkan berlakunya konflik. Wujudnya faktor provokasi inilah yang membawa meletusnya anarki. Di sinilah sepatutnya pihak perlu berkuasa memainkan peranan penting di dalam memastikan tidak timbulnya percikan api yang boleh membawa kebakaran besar. Pihak berkuasa, sepatutnya sudah memiliki “ilmu” bagaimana mengendalikan dan memberikan efek pencegahan (deterrent effect). Dalam situasi mob (kelompok orang dalam jumlah besar), akan timbul suasana anonimiti. Kebijaksanaan mengenalpasti 'agen provokasi' boleh mengelakkan daripada berulangnya kejadian yang tidak diingini ini. Di pihak massa mereka perlu memastikan emosi yang terkawal dan dalam masa yang sama tidak mudah tertipu dengan permainan 'provokator' yang mempunyai agenda tertentu.
Anarki massa sepatutnya mampu dibendung, bukannnya dimarakkan lagi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Rakyat yang cintakan keamanan, berjiwa patriotisme dan terdidik dengan ajaran mulia sudah pasti tidak akan bersetuju dengan 'projek rusuhan' ini. Sukar untuk mempercayai wujudnya warganegara Malaysia yang sanggup membakar Jalur Gemilang seperti dipaparkan dalam media tempatan, namun untuk membuat kesimpulan yang melulu dan menjatuhkan hukuman sebelum segala-galanya jelas adalah suatu tindakan dan tahap intelektual yang lebih rendah daripada mereka yang mencetuskan anarki tersebut. Marilah lah menjadi warganegara Malaysia berminda kelas pertama!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment