Sunday, September 30, 2012

DOA UNTUK BAKAL HAJI

Hari Sabtu, 29 Sept majlis bacaan Yasin, Tahlil dan doa selamat diadakan di rumah kami di Taman Bahau. Alhamdulillah ini majlis kedua yang diadakan selepas kali pertama majlis serupa di pejabat pada Hari Jumaat 28 Sept. Semoga segala doa yang dipohon diperkenankan Allah SWT dan perjalanan kami berdua menjadi tetamu Allah sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan rahmat dan nikmatNya, insyaAllah. Terimakasih kepada semua rakan sekerja di pejabat dan jiran tetangga serta Pengerusi, Imam dan seluruh AJK Surau Al-Muttaqin, Taman Bahau yang  sudi meraikan kami berdua, semoga segala sumbangan anda semua mendapat ganjaran setimpal daripada Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin.


Doa Selamat Bakal-Bakal Haji

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia rasul junjungan kami dan pimpinan kami Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga serta para sahabat Baginda semuanya.
Maha Suci Allah yang telah menyerahkan semua ini untuk keperluan kami yang mana sebelumnya kami tidak berupaya menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia; Maha Suci Allah Tuhan Pemelihara ‘arasy yang agung; segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam!
Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepadaMu segala sebab yang boleh membawa kami mendapatkan rahmatMu dan segala kepastian mendapatkan keampunanMu, terselamat daripada mendapat dosa dan berbahagia mendapat syurga serta terselamat daripada api neraka dan memperoleh keampunan pada hari perhitungan.
Ya Allah! Janganlah kami dibebani dengan satu dosa sekalipun melainkan Dikau mengampuninya, dan tidak tertimpa akan kami sebarang kerunsingan melainkan Dikau meleraikannya, tidak dibebani hutang melainkan Dikau menjelaskannya, tidak sebarang hajat dari diri kami sama ada hajat yang mengenai hal-hal dunia atau akhirat melainkan Dikau tunaikannya. Mohon limpah rahmatMu jua Ya Allah! Tuhan sebaik-baik yang memberi rahmat.
Ya Allah! Sesungguhnya kami mohon kepadaMu kebaikan dan ketaqwaan di dalam perjalanan bakal-bakal haji kami ini dan semoga ia merupakan amalan yang Dikau redai.Ya Allah! Permudahkanlah (urusan dan beban) di dalam perjalanan  mereka ini dan jadikanlah ia (seumpama perjalanan) yang dekat. Ya Allah!  Dikau adalah Penjaga di dalam perjalanan, khalifah (wakil pengganti diri mereka) terhadap keluarga dan harta-benda mereka (semasa ketiadaan mereka).
 Ya Allah! Lindungilah mereka daripada kesukaran (dalam) perjalanan, daripada keadaan yang mendukacitakan dan daripada keburukan tempat kembali (terhadap apa yang berlaku) pada harta dan keluarga mereka. Dengan nama Allah yang melancarkan perjalanan ini; Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang! Apa yang ditentukanNya (Allah) adalah hak Allah untuk menentukannya.
Ya Allah! Berilah kami keselamatan dan kesihatan dan juga pada orang-orang yang melaksanakan ibadah haji, orang-orang yang berziarah dan para musafir dari kalangan umat Nabi Muhammad melalui darat, laut dan udara. Jauhilah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim khususnya  …… (sebutkan nama orang yang naik haji).
Kami mohon kepadaMu Ya Allah! Semoga menjadikan perjalanan  mereka, perjalanan  yang penuh dengan segala kebaikan tanpa ada satu pun keburukan yang terdahulu dan yang akan datang. Sesungguhnya Dikau Maha Kuasa atas tiap sesuatu dan hanya Dikau yang layak memperkenankan doa dengan rahsia firmanMu yang hak! Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu al-Qur’an (Wahai Muhammad), sudah tentu akan mengembalikan Dikau kepada apa yang Dikau ingini dan cintai.
Ya Allah! Jadikanlah haji mereka haji yang mabrur dan (usaha amal mereka) usaha amal yang diterima (oleh Allah) dan (dosa-dosa mereka) dosa yang diampunkan dan amal kebaikan mereka yang diterima serta pekerjaan yang tidak akan menghancurkan atau merugikan.
Ya Allah! Elakkanlah kami dan mereka daripada segala bala bencana, wabak penyakit dan jauhkanlah daripada kami dan mereka dari perasaan was-was dengan kurniaanMu dan kemuliaanMu; Wahai Tuhan yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. Ya Allah! Selamatkanlah dan peliharakanlah mereka dan apa saja yang bersama mereka dan sampaikanlah (hajat) mereka dan apa saja yang bersama mereka (dibaca 3x).
Dan Dikau cucurilah dengan sepenuh rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas ahli-ahli keluarga Baginda dan seluruh sahabat Baginda. Segala pujian bagi Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam!
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه


Saturday, September 22, 2012

TERPILIH MENJADI TETAMU ALLAH

20 Sept, jam 11.04 minit,  terima panggilan telefon dari pejabat Andalusia Travel, KL maklumkan berita baik yang telah ditunggu sejak tahun 2009 lagi. Dalam keterujaan itu, maklumat yang diberi tak dapat dicerap dengan baik, sepatutnya pergi ke pejabat TH terdekat untuk maklumkan penerimaan tawaran segera, tapi terus telefon isteri di sekolah untuk ke pejabat cawangan Andalusia Travel di Tampin, mereka pun 'blur' semacam.

21 Sept, ke pejabat mini TH, Alor Gajah sahkan penerimaan tawaran. Walaupun pada tahun 2010 telah berada dalam senarai 'stand-by' dan telah menjalani prosedur bakal haji seperti pemeriksaan kesihatan, ambil suntikan vaksin, namun tempoh 2 tahun berlalu terpaksa ulang semula prosedur sama tahun ini.

Pasport pun terpaksa 'renew' kerana kurang 10 hari sahaja bagi tempoh 6 bulan. Sekarang sedang mengulangkaji manasik Haji agar segalanya berjalan lancar. Mudah-mudahan ibadat ini menjadi kemuncak perjalanan kerohanian dalam mencapai makrifatullah. Terima kasih Ya Allah kerana memilih kami berdua menjadi tetamu AgungMu.....

Monday, October 24, 2011

DI MALAM PUISI RIONG 2011





Tika gencarnya tona pemuisi
Dengan gemuruh redam suara
Diiring alunan seruling syahdu
Dan jantung berdegup ngilu…

Tak Melayu Hilang Di Dunia,
Bahasa Jiwa Bangsa,
Bahasa Melayu pernah jadi lingua franca
Melaka dan seluruh Nusantara…
Di tutur bangsa Arab, India dan China..

Tanpa sengaja mata melirik berputar
Dalam alpa aku tersedar
Santai ku rupanya di Hatten Square
Dikepung ruang niaga berjenama Perfect Avenue,
Summer, Googles, Valentino, West Concorse,
Obermain, Hush Puppies dst,dst…

Rupanya…
Memang Melayu tak hilang di dunia..tapi
Telah kosong jiwa dan semangatnya,
Melayu tak hilang wajahnya
Tapi dibalut busana Barat, Amerika….
Melayu tak hilang lidahnya,
Tapi dibumbu nuansa rojak, fb, twitter dan sms nya…

Mungkinkah Melayu tak hilang di dunia?
Sekadar di malam puisi cuma
Merintih, merayu, mengharap dan berdoa..
Moga jasad, jiwa, semangat dan lidahnya kekal bertakhta.

Monday, September 19, 2011

DELAYING, OVERCROWDING DAN ‘HANCING’…QUO VADIS KTMB?







Sewaktu bertugas di Kuala Lumpur antara tahun 2004 hingga 2007, aku berulang alik dari Seremban setiap hari. Naik bas dari terminal Satu(One) Seremban, turun di Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang), jalan kaki sampai ke stesen Star LRT Plaza Rakyat (Puduraya) dan turun di Stesen Star LRT Pudu, pejabat di Wisma SCA, Jalan Sg Besi. Perjalanan balik naik Star LRT di Stesen LRT Pudu, turun di stesen Masjid Jamek, tukar naik Putra Line turun di Stesen Pasar Seni. Waktu balik tak larat nak berjalan kaki dari stesen LRT Plaza Rakyat (Puduraya) ke Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang) sebab jalan kaki pun sesak(jam giler) dekat depan Petaling Street tu. Berulang alik dari Seremban KL memang jarang guna khidmat KTM Komuter. Dalam sebulan ada satu atau dua kali biasanya selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah di Putrajaya, minta JAV hantar ke Stesen Komuter Bangi balik ke Seremban.

Itu cerita 4, 5 tahun lepas, sebenarnya aku lebih yakin dengan khidmat pengangkutan kenderaan menggunakan landasan(tren) yang pasti tiada kesesakan(jam). Semua khidmat tren aku dah gunakan, KL Monorail, Star LRT, Putera Line, ERL dan KTM Komuter. Hari Sabtu lalu (17 September 2011) macam biasa aku balik ke Bahau dari Alor Gajah. Memang kena balik sebab anak jiran sebelah berkahwin dan rumah aku jadi tempat parking kenderaan dan goodies jiran. Malam tadi abang telefon ajak datang ke restoran beliau di Selayang, buat open house Aidil Fitri, serba salah pula sebab takkan nak tinggalkan jiran tengah kenduri. Keputusannya pergi juga ke KL, jam 1.00 tgh. Tahun ini pun belum jumpa adik-beradik sebab aku beraya di Pahang.

Paling aku tak suka memandu di KL, jalan pun tak berapa cekap, tambah pulak 2,3 hari kebelakangan setiap ptg hujan, Biasanya kalau hujan KL mesti jam. Fikirnya lebih baik naik tren Komuter dr Seremban ke KL. Telefon abang, katanya stesen terdekat ialah Taman Wahyu, nanti dia datang ambil dengan kereta. Sampai di Stesen Komuter Senawang jam 2.20ptg, di kaunter tiket maklumat diberi tren akan sampai jam 2.30. Just on time, flash kad Touch n Go dan masuk ke terminal. Aku tak suka beli tiket di kaunter biasanya nak beli tiket pun susah, terpaksa beratur panjang, guna kad T n G mudah, tak payah beli tiket tak payah beratur panjang. Stesen Komuter Senawang baru dan selesa. Dibuka pada Mei 2011, persekitaran cantik, parkir luas. Masuk ke terminal 2.24 ptg, dalam 6 minit lagi tren akan sampai. Alat paparan elektronik dan pengumuman ketibaan tren secara audio jelas, 2.30 tren akan tiba.


2..30 ptg, alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren kedengaran, 2.32 pengumuman pelepasan(departure) tren. Peliknya tiada sebarang tren yang tiba, 10 minit berlalu, sekumpulan pemuda dekat dgn aku bersungut, patutlah buat kaunter tiket di tingkat atas, dapat elak komplen penumpang. Hampir jam 3.00 ptg tren tak sampai lagi, mulalah aku pening, agaknya jam berapa baru sampai KL nanti. Setengah jam delay, barulah tren tiba.

Masuk dalam tren hidungku menangkap bau hancing, koc dah lama tak dicuci atau tak pernah dicuci?. Sudah dua senarai semak KTMB gagal. Tiba di stesen Seremban, begitu ramai penumpang naik, koc mula sesak, stesen berikutnya Tiroi, Labu, Btg Benar, penumpang makin ramai, koc kian padat dan sendat, pendingin hawa dah jadi heater..berpeluh, menitik, isteri aku macam nak pitam dek kepadatan dan kepanasan. Pendingin hawa dalam koc tak mampu melayan keperluan. Isteriku mula merungut, kalau bawa kereta dah sampai katanya, kalau jam pun taklah panas macam dalam ketuhar. Taubatlah lain kali nak naik komuter, entah jam berapa lah sampai. Telefon dari abang bertanya di mana lokasi kami, baru sampai Salak Selatan, dah jam 4.00 petang, adik-beradik dan saudara mara semua dah nak balik kata abang, masa itu rasa kecewa sungguh dengan KTMB, dengarnya untung banyak, tapi khidmatnya dahsyat.

Pertukaran tren di hentian Putra, untuk ke Taman Wahyu delay lagi 20 minit, cerita yang sama alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren dan pelepasan(departure) tren, tapi tren tak nampak bayang pun, tak ada perkataan nak diucap lagi kerana terlalu kecewa teramat sangat dengan KTMB. Akhirnya tiba di Taman Wahyu jam 5.00 ptg, semua tetamu dah pulang tinggal aku dan isteri berdua orang, apa nak jadi aku atau KTMB yang malang.

Perjalanan pulang pun merimaskan, pengumuman ketibaan di stesen tak kedengaran, kadang-kadang ada selalunya hilang. Bayangkan bagi mereka yang kali pertama naik tren, hilang punca di mana nak turun atau bertukar tren. Pengumuman langsung tak membantu pelanggan, tiada maklumat pertukaran stesen dan destinasi, audio tenggelam timbul dan paling teruk rakaman bertahun-tahun lepas masih digunakan. Stesen Seremban diumumkan sebagai stesen terakhir, sedangkan ada 2 buah stesen baru, iaitu Senawang dan Sg Gadut sebagai destinasi terakhir. Beginikah perkhidmatan kepada rakyat yang mampu ditawarkan oleh KTMB menjelang Malaysia menjadi negara maju 9 tahun lagi?

Apakah pergeseran antara Kesatuan sekerja KTMB dengan Presidennya, baca di sini menjadikan khidmat KTMB semakin teruk? Quo vadis KTMB?

Tuesday, August 23, 2011

RADANG APENDIKS


Imej video Pembedahan.

Tak pernah masuk wad (warded)sebelum ini. Inilah pengalaman pertama masuk hospital, warded dan dibedah. Bermula dengan sakit perut luarbiasa, ke klinik dan doktor buat diagnosis kena radang apendiks. Perlu segera ke hospital, jangan tangguh lagi, itu nasihat doktor.

Nak cuba khidmat hospital swasta, isteri terus bawa ke Hospital Pantai, Ayer Keroh. Terus ke bahagian kecemasan..dan doktor sahkan diagnosis awal. Soalan pertama, bila kali terakhir makan...puasa, tak ada masalah jantung, tiada darah tinggi, tiada diabetes. Soalan yang sama ditanya hampir 5 kali, sampai peringkat hendak dibius.

Dua jam kemudian keluar dari Bilik Bedah, dengan 3 tampalan tebukan laporoskopi. Alhamdulillah, tiada sebarang komplikasi, 2 malam diwad dibenarkan keluar.

Syukur kepada Allah atas sedikit kesakitan yang diberi sebagai peringatan. Jutaan terimakasih pada isteri yang 2 malam juga tidur di wad, pada boss dan kawan-kawan yang sempat menziarah. Memang Hospital swasta efisien, pantas, mesra dan kosnya pun berbaloi...RM 6,337.30.

Thursday, May 5, 2011

SEBAIK-BAIK ANUGERAH


*Sewaktu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bagi Tahun 2009, Kementerian Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan.


Gambar Hiasan * Penulis sewaktu menerima Pingat Cemerlang Masyarakat(PMC) daripada DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 01 Mac 2011.
Menjunjung kasih Tuanku!



Dari Ahnaf bin Qais r.a., bahawa beliau pernah di soal orang :

Yang bermaksud : "Anugerah apa yang paling baik bagi seorang hamba?'".

Maka berkata beliau : "Akal semula jadi".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Adab yang baik ".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Sahabat yang taat ".

Lalu ia di tanya lagi : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Hati yang sentiasa bertakwa".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Diam berkepanjangan".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Mati dengan segera".

Thursday, January 6, 2011

PUISI BUAT PUTERIKU




















BUAT PUTERIKU.. NURFATIHAH

2006…
Sewaktu ku terima berita pertama
Puteri ku diserang penyakit bahaya
Hatiku bertanya
Ya Allah….apakah Kau akan ambil hayatnya?
Memisahkan kami dalam ruang singkat cuma..

Syukur tak terhingga ku panjatkan pada Mu
Kerana masih memberi ruang waktu
Pada puteri ku….
menyambung hayat menikmati alam fana Mu
Meski ku tahu penyakitnya tak pernah berlalu

1 januari 2011
Empat tahun bersama menikmati
Saat indah bersama dilayari
Dalam meniti kehidupan duniawi
Hingga tak kusedari telah tiba detik janji
Untuk puteriku Kau jemput kembali….

Di saat insan lain masih berpesta
Menyambut tahun baru penuh euforia
Puteriku terbaring lelah
Tak mampu lagi berjuang menentang musibah
Meski doa kami mengiring pasrah
Kau pergi jua menemui Allah…

Pergimu adalah satu penyiksaan..
Kehilanganmu melenyapkan segala harapan.
Namun ku tahu ini takdir kehidupan
Tak dapat dihalang makhluk bernama insan

Puteriku telah kembali
Ke sisi Maha Pencipta abadi
Sehingga kita bersua nanti..
Maafkan aku terpaksa melepaskan kau pergi..
Bersama kenanganmu yang kekal menemani...

Ketahuilah walau dimana kau berada...
Walaupun bayangmu tak lagi menjelma...
Kau bersemadi dilubuk hati..didasar jiwa..
Kuserah Puteriku pada Mu... Yang Maha Kuasa...

Kutahu kasih puteriku kekal selamanya...
Walaupun kita tidak lagi bersama...
Doaku tak pernah sirna
Agar Puteriku dikumpul bersama
Roh para ahli syurga….

Amin, ya Rabbal Alamin.
Al-Fatihah buat puteriku Nurfatihah Abdul Halim (1993-2011)

Monday, August 2, 2010

TIPS MENGHILANGKAN FIKIRAN NEGATIF


Perkara yang paling mengganggu dan memberi impak negatif dalam kehidupan kita sebenarnya berasal dari pandangan buruk terhadap diri kita sendiri. Kadang-kadang kita terlalu keras menghukum dan merendahkan diri kita sendiri terhadap kejadian-kejadian buruk yang menimpa diri kita atau pun orang lain.
Berikut ada beberapa Tips menghilangkan sifat negatif tersebut :

HIDUP PADA MASA INI.
Memikirkan masa lalu atau masa depan adalah perkara yang sering membuat kita cemas. Jarang sekali kita panik kerana kejadian masa sekarang. Jika anda mendapati fikiran anda terkurung dalam apa yang telah terjadi atau apa yang belum terjadi, ingatlah bahawa hanya masa kini yang dapat kita kawal.


KATAKAN PERKARA POSITIF PADA DIRI SENDIRI
Katakan pada diri anda bahawa anda kuat, anda mampu. Ucapkan perkara tersebut terus-menerus, bilapun. Terutama, mulakan hari dengan mengatakan perkara positif tentang diri sendiri dan hari tersebut, tidak kisah jika hari padavtersebut anda perlu mengambil keputusan sukar ataupun anda tidak meyakini apa yang telah anda katakan pada diri sendiri.

YAKIN PADA KEKUATAN FIKIRAN POSITIF
Jika anda berfikir positif, perkara-perkara positif akan datang dan kesukaran-kesukaran akan terasa lebih ringan. Sebaliknya, jika anda berfikiran negatif, perkara-perkara negatif akan menimpa anda. Perkara ini adalah hukum universal, seperti hukum graviti atau pertukaran tenaga. Tidak mudah untuk mengubah pola fikir anda, namun usahanya sebanding dengan hasil yang boleh anda petik.

JANGAN BERDIAM DIRI.
Telusuri apa yang membuat anda berfikiran negatif, perbaiki, dan kembali bergerak maju. Jika perkara tersebut tidak boleh diperbaiki lagi, berhenti mengeluh dan menyesal kerana perkara itu hanya akan menghabiskan waktu dan tenaga anda, juga membuat anda merasa tambah buruk. Terimalah apa yang telah terjadi, petik hikmah/pelajaran dari perkara tersebut, dan kembali bergerak maju.

FOKUS PADA PERKARA-PERKARA POSITIF.
Ketika kita sedang sedang berfikiran negatif, seringkali kita lupa akan apa yang kita miliki dan lebih berfokus pada apa yang tidak kita miliki. Buatlah sebuah jurnal rasa syukur. Tidak masalah waktunya, tiap hari tulislah lima enam perkara positif yang terjadi pada hari tersebut. Perkara positif itu boleh berupa perkara-perkara besar ataupun sekadar perkara-perkara kecil seperti 'hari ini cerah' atau 'makan tengah hari ini menakjubkan'. Selagi anda tetap konsisten melakukan kegiatan ini, perkara ini mampu mengubah pemikiran negatif anda menjadi suatu pemikiran positif. Dan ketika anda mulai merasa berfikiran negatif, baca kembali jurnal tersebut.

BERGERAKLAH
Bersenam melepaskan endorphin yang mampu membuat perasaaan anda menjadi lebih baik. Apakah itu sekadar berjalan mengelilingi halangan ataupun berlari sepuluh kilometer, aktiviti fizikal akan membuat diri kita merasa lebih baik. Ketika anda merasa down, aktiviti senaman lima belas minit dapat membuat anda merasa lebih baik.

HADAPI RASA TAKUT
Perasaan negatif muncul dari rasa takut, makin takut anda akan hidup, makin banyak fikiran negatif dalam diri anda. Jika anda takut akan sesuatu, lakukan sesuatu itu. Rasa takut adalah bahagian dari hidup namun kita memiliki pilihan untuk tidak membiarkan rasa takut menghentikan kita.

CUBA PERKARA-PERKARA BARU
Mencuba perkara-perkara baru juga dapat meningkatkan rasa yakin diri. Dengan mengatakan "ya" pada kehidupan anda, membuka lebih banyak kesempatan untuk berkembang. Jauhi fikiran 'ya, tapi...'. Pengalaman baru, kecil atau besar, membuat hidup terasa lebih menyenangkan dan berguna.

UBAH CARA PANDANG
Ketika sesuatu tidak berjalan dengan baik, cari cara untuk melihat perkara tersebut dari sudut pandang yang lebih positif. Dalam setiap cabaran terdapat keuntungan, dalam setiap keuntungan terdapat cabaran.

Friday, July 23, 2010

10 Jenis Pemikiran Negatif Yang Mesti Dibuang Dari Minda Anda


1. Berfikir hitam-putih
Berfikir secara hitam-putih itu mudah tapi berbahaya, kerana berfikir secara hitam-putih boleh membuat orang sombong atau sebaliknya mudah menjadikannya putus asa.
Yang dimaksudkan berfikir secara hitam-putih adalah menetapkan batasan pemikiran dengan ukuran-ukuran yang sempit. Cara berfikir seperti ini tidak mengandungi nilai toleransi, tiada nilai timbang rasa dan tiada nilai untuk memudahkan sesuatu. Seorang hakim yang bertugas menegakkan undang-undang di mahkamah sekalipun tidak boleh berfikir secara hitam-putih. Pertimbangan-pertimbangan rasa keadilan selalu berada pada bahagian kelabu yang mempunyai kawasan lebih luas dan tidak terbatas.
Contoh orang yang berfikir hitam-putih adalah orang yang memilih untuk tidak melakukan apa-apa bila dalam keadaan keliru, atau seseorang yang terus tidak mahu berkahwin apabila tidak mampu mendapatkan pasangan idaman hatinya. Ada juga orang yang menghukum satu kesalahan secara maksimum. Ketika dia dibohongi sekali oleh seseorang , maka dia tidak mempercayai orang itu selama-lamanya.
2. Mengeneralisasi secara berlebihan
Berfikir secara general bermakna melihat perkara kecil atau sebahagian dari sesuatu dan menganggapnya sebagai keseluruhan.
Kata yang digunakan biasanya, “selalu” dan “tidak pernah”
Cara berfikir dengan mengeneralisasi membuat orang menjadi mudah menyalahkan, menganggap remeh, tapi juga boleh mengandaikan sesuatu secara berlebihan. Sebagai contoh, ketika seorang suami pada suatu hari mendapati isterinya terlambat menyiapkan sarapan dibandingkan hari yang lain, maka dia dengan mudah mengatakan bahawa isterinya “selalu” lambat menyiapkan sarapan, atau “tidak pernah” tepat waktu menyiapkan sarapan.
Begitu juga dengan pemikiran-pemikiran perkauman, seperti misalnya orang “suku” ini begini dan “bangsa” ini begitu adalah juga pemikiran yang mengeneralisasi. Pertikaian dan permusuhan antara kelompok biasanya bersumber dari pemikiran negatif mengeneralisasi.
3. Perkara negatif mengalahkan yang positif
Anda memilih suatu bahagian yang negatif dan memikirkannya secara khusus dan mendalam, sedangkan bahagian yang positif dilupakan.
Sebagai contoh ketika anda menerima banyak komen yang positif tentang hasil pekerjaan anda dari kawan-kawan di pejabat, maka anda merasa bahagia sekali dan terlambung. Tetapi ketika ada satu kritikan dari salah satu kawan yang sampai ke telinga, anda lalu menjadi murung dan memikirkannya berhari-hari dan anda merasa menjadi tidak sempurna. Dan anda melupakan perkara-perkara positif yang sudah anda dengar.

4. Diskaun untuk perkara positif
Anda menolak pengalaman-pengalaman positif dan tidak pernah memberikan reaksi. Biasanya orang yang berfikiran negatif seperti ini tidak mudah memuji dan menganggap remeh kebaikan orang lain.
Jika anda melihat orang lain melakukan suatu pekerjaan yang baik, anda katakan kepada diri anda bahawa itu perkara biasa dan siapa pun boleh melakukan perkara seperti itu. Memotong makna positif dari suatu perbuatan baik akan membuat anda orang yang tidak bahagia, kerana selalu merasa tidak cukup dan bersyukur.
5. Terlalu cepat mengambil kesimpulan
Anda menginterpretasikan perkara-perkara secara negatif ketika tidak ada fakta-fakta yang menyokong kesimpulan anda. Fikiran anda secara sewenang-wenangnya, tanpa penyelidikan yang mendalam, menyimpulkan bahawa seseorang sedang melakukan perkara negatif terhadap anda.
Orang dengan mudah meramalkan sesuatu perkara akan berakibat sangat buruk. Contohnya ketika seseorang sedang menghadapi suatu ujian dan merasa belum bersedia, maka dia berfikir bahawa pasti gagal dan tidak akan lulus ujian tersebut. Padahal dia belum mengetahui soalan-soalan yang akan dijawabnya.
6. Pemikiran hiperbola atau melebih-lebihkan.
Anda melebih-lebihkan pentingnya permasalahan dan kelemahan anda, atau anda terlalu memperkecilkan pentingnya kualiti yang dikehendaki.
Keadaan tidak seimbang di dalam pemikiran juga boleh mengakibatkan seseorang melupakan sudut-sudut lain yang semestinya mendapatkan perhatian yang sama. Penyakit jiwa seperti fobia terhadap sesuatu termasuk dalam jenis ini.
7. Penaakulan Secara Emosional
Anda berandaian bahawa emosi anda yang negatif selalu mencerminkan perkara yang benar-benar akan terjadi.
Sebagai contoh ketika anda sedang menaiki kapal terbang dan anda merasa hati anda tidak sedap, maka dalam hati anda berkata, "Aku merasakan ketakutan di dalam kapal terbang ini. Ini pasti menandakan bahawa sangat berbahaya untuk terbang ketika ini." Atau pemikiran seperti, "Aku merasa berdosa bermakna aku adalah orang yang jahat" atau, "Aku berasa marah, ini membuktikan bahawa aku sedang diperlakukan dengan tidak adil."
Penaakulan emosional ini belum tentu benar apabila di dalam kenyataan, fakta dan bukti tidak mengarah kepada perkara itu. Ketika muncul perasaan takut di dalam kapal terbang, bukan bermakna kapal terbang yang anda tumpangi akan benar-benar mengalami kemalangan, mungkin anda memang mengidap fobia ketinggian.
8. Memaksakan suatu keadaan
Penggunaan kata “semestinya”, “perlu” dengan harapan sesuatu menjadi seperti yang anda harapkan, boleh mengakibatkan putus asa dan kekecewaan.
Ketika anak anda yang sedang berlatih bermain alat muzik dengan tekun. Tetapi ketika anda melihat latihannya dia melakukan banyak kesilapan. Anda berkata padanya, “Sepatutnya kamu tidak melakukan banyak kasalahan dengan masa latihan yang sudah berjalan berbulan lamanya ini.” Padahal di hari-hari latihan sebelumnya anak anda sedikit sekali melakukan kesalahan, hanya ketika anda ikut menonton dia menjadi gugup, dan anda sudah mengeluarkan komen yang boleh membuatnya kecewa.
9. Label-label negatif yang menghukum
Label-label yang negatif berupa gelaran atau jolokan buruk atas sesuatu perbuatan adalah sebuah pemikiran negatif yang paling ekstrim.
Ketika seseorang melakukan suatu kesalahan misalnya dia menumpahkan makanan dalam sebuah majlis, lalu beberapa orang menyebutnya, “kalut”, lalu label itu melekat padanya selama-lamanya. Maka dia sudah menjadi pesakit dalam penjara label tersebut. Dia akan sukar untuk menampakkan kebaikannya, kerana tidak diperhatikan oleh orang lain, sedangkan dia sukar menyembunyikan keburukannya kerana selalu dicari-cari oleh orang lain.
Pemberian label seperti “si kalut”, “otak penjenayah”, dan lain-lain hanya akan membuat orang yang diberi label tersebut betul-betul menjadi kecewa dan tidak boleh memperbaiki keadaannya, dan semakin terlekat dalam keburukan sifatnya.
10. Menyalahkan secara personal atau bahagian tertentu
Yang dimaksudkan menyalahkan secara personal adalah meletakkan suatu kesalahan yang menyebabkan keadaan yang buruk kepada satu orang saja, padahal masih ada orang lain yang mungkin menyumbang kepada kesalahan tersebut.
Menyalahkan diri sendiri saja atau menyalahkan orang lain saja, termasuk ke dalam kategori ini. Sebagai contoh seorang ibu yang mendapat berita dari sekolah bahawa anaknya mendapat markah rendah dalam sesuatu matapelajaran. Si ibu, tanpa melihat sebab-musababnya, langsung menyalahkan anaknya, atau dia akan menyalahkan diri sendiri dan menganggap dirinya bukan orang tua yang baik, atau dia akan menyalahkan guru atau sistem di sekolah.
Menyalahkan secara personal hanya akan mengakibatkan kemarahan dan putus asa bagi pihak yang disalahkan dan kelalaian dari pihak yang menyalahkan, kerana tidak menyedari kesalahan diri sendiri. Yang lebih buruk lagi adalah menyalahkan keadaan kerana tidak akan ada pemikiran untuk mencari penyelesaian apabila semua orang menyalahkan keadaan yang bersifat pasif dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Yang perlu diberi perhatian ialah akibat buruk dari pemikiran-pemikiran negatif tersebut. Caranya dengan perlahan menurunkan kadar pemikiran negatif di fikiran anda. Mungkin dengan berdoa kepada Tuhan untuk kebaikan orang yang difikirkan secara negatif oleh anda atau anda melihat kepada diri anda sendiri bahawa anda pun mungkin akan berada pada posisinya.
Namun apabila ternyata akibatnya sukar untuk dirasionalkan dalam fikiran anda, bermakna anda mesti segera menggantikan pemikiran-pemikiran negatif dengan pemikiran-pemikiran positif – lawan terus dari pemikiran-pemikiran negatif itu.
Ingatlah pemikiran-pemikiran negatif yang dipelihara lama di dalam diri anda, akan semakin sukar untuk diseimbangkan atau digantikan dengan pemikiran positif ketika anda semakin menjadi tua.

Monday, May 17, 2010

MACAM MANA NAK KALAHKAN CHINA?


Hebat sungguh team China yang mengalahkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Thomas edisi 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Komen Ketua Jurulatihnya Lee Yong Bo yang terkenal dengan angkuh dan cakap besarnya ialah China pasukan serba sempurna. Betul ke dan susah sangat ke nak kalahkan mereka? Mungkin susah, tapi bukan mustahil. Buktinya pasukan Piala Uber Korea Selatan mampu 'mengajar' team Yong Bo yang kononnya sempurna dengan keputusan hampir-hampir 3-0 kalaulah tidak kerana kecederaan yang dialami oleh perseorangan kedua Korea Selatan, Sung Ji Hyun

Jawapan yang amat mudah kepada kejayaan China dan Korea Selatan ialah pada kata-kata hikmat 'Kami Boleh'. You're what you think. Minda pemain China dan Korea telah disetkan bahawa mereka adalah juara. Penampilan mereka penuh dengan keyakinan dan emosi mereka sungguh fokus. Riak wajah cukup jelas menunjukkan mereka langsung tiada rasa rendah diri atau takut menghadapi lawan. Semangat juang mereka sentiasa membara.

Di sebalik semua itu, rasanya skuad Malaysia masih lagi mengharapkan kudrat zahir semata-mata untuk meraih kemenangan. Sepatutnya aspek psikologi yang dapat memperkuat mental pemain perlu diberi perhatian serius. Dalam gelanggang permainan bukan sekadar berlawan kekuatan fizikal, mental dan emosi sebenarnya yang menentukan kemenangan. Lihatlah bagaimana Lin Dan menganggu emosi dan fokus pihak lawan dengan aksinya. Saya masih ingat sewaktu Lee Yong Bo dan Tian Bing Yi bermain dulu, jika beliau melihat keyakinan lawan amat tinggi, pelbagai taktik digunakan antaranya membuka kasut dan berpura-pura sakit hingga perlawanan tertangguh lebih 10 minit yang akhirnya menghilangkan mood dan fokus pihak lawan.

Kesimpulannya Malaysia perlu berubah untuk melahirkan pemain yang hebat 'luar dan dalam'. Pendekatan Psikologi sukan perlu diberi tempat yang utama di dalam memastikan negara tidak akan berputih mata lagi. Kita juga boleh jika kita berfikir kita adalah Juara!

Sunday, September 20, 2009

Thursday, September 17, 2009

TARIAN PENDET DAN ‘WARGA INDONESIA SERPIHAN’ YANG PENDEK EMOSI


Selepas lebih 40 tahun slogan `Ganyang Malaysia’ nampaknya sebahagian warga Indonesia masih lagi terperangkap dalam `Mentaliti Big Brother’ nya. Golongan ini ternyata cuba menutup hati dan fikiran mereka mengenai fakta bahawa `adiknya’ telah jauh lebih maju dan berjaya. Pengurusan ekonomi, pentadbiran dan pembangunan yang dicapai oleh adik dianggap ancaman kepada maruah dan kredibiliti kepada abang. Kalau dulu Indonesia berjaya mengatasi rasa rendah dirinya yang teruk dengan membesar-besarkan kehebatan mereka dalam bidang sukan. Dalam Sukan SEA mereka selalu berada dalam kelompok top 3, dan biasanya akan menjadi juara bila menjadi tuanrumah.(Biasanya negara tuanrumah akan memanipulasi keputusan pertandingan dan penjurian untuk mendapat bilangan pingat emas terbanyak) Dalam sukan badminton misalnya mereka sentiasa saja memperlekehkan Malaysia pada tahun 70an dan 80an, namun kini semuanya telah berubah. Pencapaian Malaysia dalam bidang sukan ternyata telah dapat melenyapkan cakap besar mereka selama ini.
Nampaknya tiada lagi tempat untuk Indonesia menunjukkan kehebatannya kepada jiran dan saudara rapat mereka yang paling banyak membantu dan menganggap Indonesia sebagai bangsa serumpun yang punya akar budaya yang satu, lalu kesilapan Discovery Channel memberikan kredit kepada Malaysia melalui dokumentari Tarian Pendet telah membuka ruang untuk warga Indonesia serpihan yang buta sejarah dan asal usul budaya serta rendahnya nilai budi dan akhlak ini telah menjadikan isu ini sampai keperingkat hendak berperang dengan Malaysia. Hina sungguh nilai mereka, jelas sekali mereka ini bukan warga Indonesia yang memahami sejarah dan asal-usul negara Malaysia dan Indonesia. Ternyata bukan sahaja lemahnya EQ malah SQ dan MQ yang tidak diurus dengan baik menyebabkan perkara yang terlalu remeh boleh membawa kepada pertumpahan darah.
Rasa rendah diri yang teruk menurut Freud akan menyebabkan manusia mengaktifkan mekanisme beladiri yang negatif. Mereka ini cuba untuk melencongkan kekecewaan, rasa rendah diri teruk dan ego dengan mengambil tindakan yang tidak dapat diterima akal logik. Memang jika diteliti golongan yang membuat provokasi untuk melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia majoritinya adalah golongan yang bukan saja rendah dan lemah EQ, SQ dan MQ malah lebih teruk adalah kumpulan yang rendah tahap pendidikannya. Satu bangsa besar hanya dapat diwujudkan dengan mendidik warganya ke satu tahap ilmu pengetahuan yang tinggi. Bangsa yang berjiwa kecil sudah tentu hanya memikirkan hal yang kecil yang pada anggapan mereka sangat besar. Saya yakin tiada seorangpun rakyat Malaysia yang sudi mendakwa Tarian Pendet itu budayanya, malah sebahagian besar rakyat Indonesia pun tidak mengetahui tentang tarian tersebut, isunya terlalu kecil..sebesar kuman tapi dianggap sebesar gajah oleh golongan serpihan itu.

Thursday, August 13, 2009

PERGINYA IKON NASYID MALAYSIA

Bermula dengan Nadamurni, Asri dan Rabbani merupakan perintis hiburan alternatif berimej Islam di tanahair. Dalam usia yang masih muda (40 tahun) Asri kembali mengadap penciptanya persis bait-bait lagunya Pergi Tak Kembali. Kita kehilangan tokoh besar yang boleh dilihat sebagai ikon dalam genre irama nasyid. Sesungguhnya kepulangan beliau sungguh mengejutkan. Masih teringat lagi kenangan sewaktu bersama-sama menunaikan ibadah umrah tahun lalu.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah


Santai di ladang khurma di Madinah.


Bersiap untuk ziarah sekitar Makkah.




Takziah kepada keluarga Allahyarham Us Asri Ibrahim dan Kumpulan Rabbani. Al-Fatihah.

Tuesday, May 5, 2009

PASCA FREUDIAN, PSIKOLOGI ISLAM?




Baru-baru ini, aku sempat menghadiri kursus asas kaunseling yang bertujuan nak melatih anggota Jabatan sebagai pembimbing rakan sekerja. Akronimnya AKRAM, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam. Peserta dari pelbagai latarbelakang akademik memang menjadikan kelas berwarna warni dengan soalan, pandangan dan kritikan. Walaupun aku memang punya asas dalam bidang psikologi, almaklumlah dah tinggalkan U lebih 10 tahun, ilmu yang ada dah berkarat dan hampir reput. Ilmu Tanpa Amal Macam Pokok Yang Tak Berbuah.

Antara yang paling hebat ialah kritikan terhadap Sigmund Freud. Bila penceramah menerangkan bahawa menurut doktrin Freud melaui teorinya, memperkenalkan satu konsep psikodinamik dikenali sebagai libido, iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa dilahirkan. Teori libido ini disebut dengan "hakikat (essence) dari doktrin psikoanalisis". Semua kehebatan budaya manusia, seperti seni, perundangan, agama dll. dipandang sebagai perkembangan libido. Pada bayi aktiviti libido itu ialah menghisap susu ibu, mengisap puting dan mengisap jari. Setelah dewasa libido itu terarah dalam hubungan seksual, atau berupa kreativiti seni, sastera, muzik yang disebut dengan "displacement". Naluri seksual libido ini menurut doktrin Freud adalah sumber dari karya kreatif.

Pengaruh libido ini menurut Freud, suatu doktrin spekulatif yang sangat kontroversial dari psikoanalisis, adalah pertumbuhan perasaan seksual anak terhadap orang tuanya. Bermula dari kenikmatan bayi mengisap puting susu ibunya, dalam diri anak laki-laki perasaannya berkembanglah hasrat seksual terhadap ibunya, membenci ayahnya sebagai saingan, yang disebut oleh Freud dengan Komplex Oedipus. Komplex Elektra pula, berlaku pada kanak-kanak perempuan, yang mempunyai perasaan berahi kepada bapa membenci ibunya sebagai saingan namun mereka terpaksa beridentifikasi dengan ibu atau bapanya. Perasaan ini dipendamkan dan di bawa ke tahap dewasa akan mengakibatkan berlakunya hubungan abnormal seperti sumbang mahram dll.

Bagi menenangkan suasana yang semakin panas, aku minta penceramah menjelaskan mengapa kita perlu belajar teori psikoanalisis Freud ini. Seperti biasa rasional mengapa seseorang kaunselor, psikologist, psikoterapist atau psikiatris perlu belajar teori ini ialah kerana Freud dianggap sebagai bapa kepada psikoterapi moden. Beliaulah orang yang mula-mula memperkenalkan teori topograrikal. Topografikal ialah bentuk akal fikiran yang dibahagikan kepada tiga. Iaitu alam sedar, alam separa sedar dan alam tidak sedar. Freud melalui psikoanalisis juga telah membahagikan personaliti manusia itu kepada tiga struktur iaitu Id, Ego dan Superego.

Dunia psikologi yang dipelopori dan dimonopoli oleh Barat telah menjadikan Freud sebagai titik mula kepada psikologi moden yang saintifik. Psikologi yang bermula sebagai disiplin falsafah di era Rene Descartes(1595- 1650). Ahli falsafah dan pakar matematik Perancis yg memperkatakan tentang manusia terdiri drp ‘gabungan pemikiran dan badan’ atau ‘jasad dan roh’. Menentang pendapat dualisme yg menyatakan manusia terdiri drp jasad yg terpisah drp roh, seterusnya John Locke(1632- 1704) dengan konsep ‘tabula rasa’, iaitu jiwa manusia kosong semasa dilahirkan, dan George Berkeley(1685-1753), akhirnya menemui sentuhan empirikal dan saintifik oleh Sigmund Freud. Justeru dunia psikologi sudah punya asas sama ada nak mengikut atau menentang Freud. Pilihan di tangan kita.

Sebagai seorang Islam, inilah masanya kita kembali mengkaji Psikologi Islam Farabi atau menggali Kaunseling Islam Al-Ghazali. Mutakhir, memang tuntutan menjadikan kaunseling Islam sebagai alternatif semakin jelas dan selari dengan fitrah kejadian manusia yang dijadikan oleh Khaliq yang telah pun menyediakan `manual’ untuk makhluknya sebagai panduan dan ikutan iaitu Al-Quran dan kekasihnya Muhammad SAW sebagai `prototaip’ menjadi manusia sebagai khalifah di dunia.

Thursday, April 16, 2009

KERJAYA POLITIK


Menyambung perbincangan tentang politik dalam posting lepas, hari ini akhbar melaporkan suasana di Bangkok yang semakin pulih selepas penguatkuasaan Undang-undang Darurat, di Indonesia pula Pilihanraya Umum(Pemilu) masih berlangsung. Tertarik dengan laporan calon wanita kalah Pemilu bunuh diri dan dua orang lagi calon wanita mati akibat serangan jantung. Nampaknya semakin ramai yang cenderung menjadi ahli politik kerana ia memperuntukkan pendapatan selesa dan mewah disamping kuasa dan pengaruh. Kesimpulannya menjadi ahli politik merupakan antara kerjaya yang menjadi minat ramai dewasa ini.
Persoalannya adakah semua individu sesuai untuk menjadi ahli politik. Dari sudut psikologi, Teori Minat Kerjaya Holland boleh dijadikan panduan untuk individu memilih kerjaya yang sesuai dengan personaliti mereka. Teori Holland yang merupakan salah satu teori kerjaya yang penting. Fokus teori Holland tertumpu kepada dua faktor iaitu faktor personaliti dan faktor persekitaran. Terdapat 6 jenis personaliti yang dikemukakan oleh Holland (1973;1985) iaitu:
1. Personaliti Realisitik
2. Personaliti Investigatif
3. Personaliti Artistik
4. Personaliti Sosial
5. Personaliti Enterprising
6. Personaliti Conventional

Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan Holland, individu daripada Personaliti jenis Enterprising adalah yang paling sesuai menceburkan diri dalam politik. Personaliti jenis Enterprising sukakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk memanipulasikan orang lain untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu atau keuntungan ekonomi. Mereka sangat bencikan aktiviti berbentuk simbolik dan pemerhatian sistematik. Mereka mempunyai kebolehan dalam kepimpinan, interpersonal dan juga daya pujukan tetapi kurang kebolehan di dalam perkara-perkara saintifik. Sifat-sifat menarik yang terdapat pada diri mereka ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi sesuatu, suka mengembara, bercita-cita tinggi, suka berbahas, ingin menguasai orang lain, suka menonjolkan diri dan suka bercakap.
Apakah anda ingin mengetahui jenis personaliti anda? Ambillah ujian Minat Kerjaya Holland untuk mengenalpasti personaliti kerjaya anda. Sekian. Semoga bermanfaat.

Thursday, March 26, 2009

ISU SEMASA

Banyak yang ditulis ttg politik hari ini. Semakin bayak dibaca semakin bingung kepala memikirkannya. Sepatutnya dengan meledaknya era teknologi maklumat kini, ianya semakin menambah kecerdikan, keintektualan dan pemikiran. Namun semuanya bergantung kepada apa maklumat yang diakses, membawa manfaat atau mudarat. Barangkali org Melayu paling suka berpolitik, bukan politik parti saja, malah dalam semua aspek kehidupan mesti ada politiknya. Orang yang tak berparti pun sangat aktif dalam politik pejabat, persatuan atau NGO. Orang agama pun berpolitik nak merendahkan tokoh lain yang menjadi saingannya. Medan siber nampaknya memungkinkan untuk menyatakan apa saja. Betul atau tidak bukan masalah bagi mereka. Jadikanlah panduan dan niatkan bahawa apa yang ditulis untuk membawa manfaat kepada orang lain. Mungkin dengan cara ini kita dapat mengurangkan perselisihan dan permusuhan..

Tuesday, July 22, 2008

BERTEMU SEMULA

Assalamualaikum,

Sudah begitu lama penulis tidak memblog, posting kali ini pun tidak akan membincangkan apa-apa topik khusus, sekadar untuk memanaskan kembali ruang blog. Kali terakhir penulis mengepos bahan ialah pada bulan Februari 2008, sehingga kini hampir 6 bulan tidak menulis. Sebenarnya penulis telah beberapa kali cuba mengepos bahan tetapi terlupa password untuk sign-in, hari ini alhamdulillah cubaan berjaya.

Sebenarnya banyak perkembangan diri berlaku selama tempoh enam bulan tidak memblog, antaranya penulis telahpun bertukar dari Politeknik Port Dickson ke JPNS mulai 02 Jun 2008, walaupun hanya melapor diri pada 09 Jun kerana penulis mengerjakan umrah pada 25 Mei hingga 08 Jun 2008 yang lalu. Memang banyak pengalaman yang penulis ingin kongsikan bersama selama menjadi Tetamu Allah di tanah suci, InsyaAllah penulis akan cuba melakukannnya dalam posting yang akan datang.

Sampai di sini saja dulu posting kali ini sebagai pemanas 'enjin' jumpa lagi dalam posting akan datang. sekian. Wassalam.

Tuesday, February 19, 2008

MEMILIH PEMIMPIN MENURUT ISLAM

Lama sungguh tidak menulis. Kali ini pun sekadar memanjangkan tulisan daripada http://hariandaily.blogspot.com untuk panduan bersama menjelangnya hari mengundi dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang dijadualkan pada 8 Mac 2008 nanti. Semoga tulisan ini dapat membantu kita untuk memilih pemimpin dengan sebaik-baiknya.


Gambar hiasan- Presiden Turki, Abdullah Gull bersama isteri.

CIRI UTAMA DEMOKRASI DAN PENDIRIAN ISLAM TENTANGYA

1) Pemerintah dari kalangan rakyat.

Asas ini diterima oleh Islam sebagaimana Sabda Nabi SAW :

Mafhum : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu" (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan hadith [5] :


Mafhum : "Tiga kumpulan yang tidak diangkat solatnya walapaun sejengkal di atas kepala mereka, ...disebut pertamanya, lelaki yang mengimamkan kaum, dalam keadaan kaum membencinya"

Jelas dari hadith tadi, Islam juga menitik beratkan kepimpinan rakyat yang disukai oleh rakyat, justeru realiti semasa bagi mengetahui kesukaan rakyat kepada seseorang pimpinan adalah melalui kaedah pengundian.

2) Pemerintah bekerja untuk rakyat.

Pemerintah bekerja untuk kebaikan rakyat. Ciri ini juga telah diterima oleh Islam sebagaimana konsep kepimpinan dalam Islam, dimana pemimpin hakikatnya menjadi petugas yang bersusah payah bagi kebaikan rakyat. Di sebut di dalam sebuah Hadith :


Mafhum : "Pemimpin kaum adalah org yang berkhidmat (khadam) bagi kaum." [6]

Khalifah Abu Bakar as-siddiq, berkata : Wahai manusia, aku bekerja untuk keluargaku maka aku mencari penghasilan untuk makanan mereka, sekarang aku bekerja untuk kamu, maka tetapkanlah buatku dari Baitul Mal kamu" [7]

Khalifah Uthman ra juga pernah menegaskan bahawa : " Urusan aku adalah menuruti urusan kamu"

Abu Muslim al-khawalani, seorang faqih tabi'ein masuk menemui Muawiyyah ra. lalu berkata :




Mafhum : "Asallamualaikum wahai org gaji"

Malah pemimpin Islam bertanggung jawab menyelamatkan rakyatnya dengan memberikan bantuan apabila mereka dalam kesusahan sebagaimana firman Allah dalam ayat 33, Surah al-Maidah. Malah kewajiban utama para pemimpin Islam adalah memberikan nasihat-nasihat keagamaan terhadap rakyatnya sebagaimana disebut di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang masyhur. Tugas mereka juga adalah untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah keburukan dunia dan akhirat dari menimpa rakyatnya.

Sabda Nabi SAW :




Mafhum : "Tiada seorang manusia pun yang Allah memberikannya kuasa pemerintahan, kemudian ia tidak memberikan nasihat Islam (kepada rakyatnya) kecuali tiadalah ia mendapat cium bauan syurga" ( Riwayat Bukhari dan Muslim ) [8]

Sebuah hadith lagi menyebut




Ertinya : "Sesungguhnya rakyat akan mengikut gaya, cara hidup dan agam pemimpin mereka" [9]

Cuma perbezaan terzahir jika dilihat dari cara kerja pemimpin dalam sistem Islam dan demokrasi. Pemimpin dalam system Islam bekerja untuk rakyat kerana Allah manakala pemimpin demokrasi tidak bekerja untuk Allah pada konsep asalnya tetapi bebas menurut pengamal demokrasi tersebut.

3) Suara majoriti adalah terpakai.

Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak tepakai dalam perkara-perkara thawabit [10]. Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru [11]. serta perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati'e.

Firman Allah SWT :



Mafhum : "Sekiranya kamu mentaati majoriti di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan..." ( Al-An'am :116)

Justeru, Islam menerima suara majoriti dalam hal ‘mutaghayyirat' tetapi dengan syarat-syarat tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal al-‘aqd ' [12] atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh raya dan menetapkan cukai tol.

Ini bermakna unsur ini juga diterima oleh Islam, cuma dalam ruang lingkup yang terhad, ini kerana aqal manusia tidak mampu mengetahui seluruh kebaikan untuk manusia, hanya Allah swt yang mengetahui kebaikan sebenar untuk manusia. Perlu di ingat bahawa Allah tidak menafikan fungsi aqal dalam menentukan tindakan terhadap perkara baru selagi mana tidak melanggar nas atau ‘maqasid syariat'.

4) Rakyat diberi hak kebebasan sewajarnya.

Islam juga mengiktiraf kebebasan individu samada dalam menegur pemerintah, kerjaya yang halal, beragama dan mengamalkan, pemilikan harta dan banyak lagi. Bagaimanapun demi menjaga ketenteraman manusiawi samada rohani dan jasmani maka kebebasan yang dianjur oleh Islam mempunyai batasannya. Secara ringkas batasannya terkandung dalam 5 perkara dharuriyyat [13] :

i. Aqidah : Bermakna disekat kebebasan bagi keluar atu menggugat aqidah Islam samada murtad atau memerangi Islam. Juga tidak dibenarkan merosakkan aqidah umat.

ii. Nyawa : Kebebasan Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri, menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia tanpa sebab.

iii. Aqal : Kebebasan Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dengan meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas melihat atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.

iv. Keturunan/Maruah: Kebebasan Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat, memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.

v. Harta : Kebebasan Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras, menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.

Lalu, secara teori umum, Islam menerima kaedah ini tapi diperincikan bersama pengecualian-pengecualian demi kemaslahatan manusia.

5)Rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.


Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal antaranya, teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul dan banyak lagi.

Hak teguran ini digalakkan begitu hebat di zaman Khalifah Islam yang pertama Abu Bakar As-Siddiq dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur[14]:



Mafhum : "Sesungguhnya aku hanya dilantik dr klgn kamu, bukanlah aku yang terbaik dr kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku"

Islam mempunyai sikap tegas terhadap para pemerintah zalim dan bersifat autokratik atau diktator. Sabda Nabi SAW [15]:



Mafhum : "Sekeras2 manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim"

Bagaimanapun rakyat yang ingin menegur pimpinan negara Islam seeloknya menjaga adab-adab teguran yang sesuai tetapi jika ia tidak diendahkan, Islam membenarkan pimpinan tersebut diturunkan kerana ia dianggap kepimpinan negara Islam yang menyeleweng, demikianlah pandangan Syeikh Sa'id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah hlm 380. Ulama lain juga menambah bahwa proses menurunkan perintah itu boleh dibuat secara aman. Prof. Dr. Muhd Salam Madkur[16] menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan serta pemimpin tersebut tidak lagi boleh diberi nasihat. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah[17], Imam al-Qurtubi[18] , Imam Abu Hamid al-Ghazali[19] (505 H) , Imam as-Syawkani[20] (1255 H) dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi[21].

Manakala Abu Yu'la al-Farra al-hanbali [22] menuruti pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan khalifah Makmun dan Mu'tasim. Imam Al-Mawardi ( 450 H) menyebut dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq[23].

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, "Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (dengan mengangkat senjata bukan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan Ijma' al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti di dalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan? Kata para ulama? :" Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.?

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: " Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. [24] (Syarah Sohih Muslim oleh an-Nawawi, jld 12)

Ad-Dawudi pula menyebut: "yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar" (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan : "As-Syura adalah prinsip syariah, mana-mana pemimpin yang tidak ber'syura' bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB" [25]

Maka kaedah Pilihanraya yang ada pada hari ini tanpa syak lagi, adalah suatu kaedah yang berkesan untuk memecat pemimpin zalim dan mengabaikan tanggung jawab Islam dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Selain itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

Rasulullah SAW juga telah menyatakan keharusan merebut kekuasan dari pimpinan sebagaimana hadithnya :



Mafhum : Kami telah berbai'ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbai'ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah' (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai'ah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. [26]

Jelas dari hadith di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya. Dalam hal ini, pilihanraya adalah salah satu medan yang terbuka demi menunaikan tanggung jawab tersebut. Saya tidak mengtaakan ianyaa adalah satu-satunya jalan, tetapi ia adalah salah satu jalan yang boleh diguna pakai demi mencapai matlamat besar Islam. Wallahu a'lam.

Wednesday, January 9, 2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1429 HIJRAH

Assalamualaikum,

Kepada semua pengunjung Blog semoga Tahun Baru Hirah ini akan memberikan kekuatan dan keazaman baru untuk kita berhijrah kepada yang lebih baik dalam semua bidang kehidupan kita.

SALAM AIDILFITRI

Assalamualaikum,
Saudaraku yang dikasihi Allah, Apabila hamba minta maaf kerana takut neraka, maka mohonkanlah kepada Allah agar mengampuni hamba yang belum ikhlas ini. Apabila hamba minta maaf kerana harap syurga, maka mohonkanlah kepada Allah agar mengampuni hamba yang belum tulus ini. Apabila hamba minta maaf kerana sekadar mengikut tradisi, maka mohonkanlah kepada Allah agar menggerakkan hamba untuk lebih banyak bertanya lagi kepada hati nurani TAPI apabila hamba minta maaf kerana belum mampu mengajak diri sendiri dan dirimu, wahai Saudaraku, untuk Lebih kuat menjaga mata, menjaga lisan, menjaga pendengaran, menjaga tangan, menjaga kaki, menjaga tubuh, menjaga jiwa, menjaga hati, maka Wahai Saudaraku: Maafkanlah Saudaramu ini... SALAM AIDILFITRI MINAL AIDIN WAL FAIZIN