Monday, September 17, 2007

MELATIH ANAK BERPUASA DARIPADA SUDUT PSIKOLOGI


PUASA merupakan kewajipan seorang muslim yang sudah akil baligh. Namun adalah sangat baik jika kita mampu mendidik anak-anak yang belum mencapai umur tersebut dilatih untuk berpuasa.

Bilakah masa yang sesuai mendidik anak berpuasa? Daripada sudut ilmu psikologi ada versi berkaitan dengan masa yang tepat untuk mendidik anak berpuasa.
Menurut kajian psikologi analisis, didapati bahawa semua nilai moral sudah dapat diaplikasikan sejak bayi berada di dalam kandungan. Menurut teori ini ketika seseorang ibu hamil berpuasa, perkara itu sudah menjadi motivasi bagi anak dalam kandungan untuk berpuasa kelak.

Namun demikian, menurut teori psikologi behaviouristik, sesuatu tingkahlaku tidak boleh diperolehi hanya melalui perasaan atau pengalaman orang lain tetapi mesti dilihat terlebih dahulu sebelum sesuatu tingkahlaku itu dapat ditiru. Dengan kata lain, anak hanya akan berpuasa sekiranya dia melihat sendiri seseorang yang sedang berpuasa.

Menurut pakar psikologi pembelajaran, mereka mengemukakan pandangan bahawa masa yang paling baik mengenalkan atau melatih anak berpuasa adalah seawal mungkin, ketika anak sudah mencapai usia lebih daripada tiga tahun. Pada usia ini anak sudah mulai belajar moral dan menyerap sifat yang baik atau buruk, benar atau salah. Sifat anak berusia di bawah lima tahun yang serba ingin tahu adalah media yang tepat bagi ibubapa untuk menyampaikan pesan moral pada anak.

Misalnya, ketika anak bertanya mengapa ayah dan ibu makan pada malam hari tidak seperti biasa. Melalui pertanyaan yang diajukan anak inilah maka ibubapa dapat memberikan jawapan dan menyampaikan pesan moral tentang puasa. Namun pada usia ini anak belum memikirkan tentang manfaat, melainkan hanya mengikuti arahan ibubapa, oleh kerana mereka memang belum boleh berfikir secara logik. Cara terbaik melatih anak berpuasa adalah dengan cara ‘modelling’ atau melihat contoh langsung orang berpuasa.

Pengenalan berpuasa bagi anak-anak khususnya yang berusia kurang dari lima tahun,
perlu sesuai dengan konsep berfikir mereka. Tidak salahnya ibubapa mendidik anak bahawa berpuasa adalah kewajipan umat Islam dan bagi yang tidak melaksanakan akan mendapat hukuman setimpal.

Tetapi adalah lebih baik sekiranya puasa disampaikan dalam konsep berfikir anak. Misalnya, ibubapa menyampaikan bahawa berpuasa akan menjadikan tubuh mereka menjadi sihat. Cara mengajak anak berpuasa tidak perlu secara langsung, tetapi boleh di latih melalui contoh sesuatu watak atau tokoh yang memang digemari oleh mereka. Kegemaran dan kekaguman mereka pada tokoh dalam sesebuah cerita akan menjadikan anak-anak mudah memahami pesan-pesan yang disampaikan.

1 comment:

Hussaini Amran said...

Ada kalanya revolusi tidak dapat dielakkan. Namun, tidak perlu bertindak ganas. Revolusi mental perlu ada pada yang memerintah dan yang diperintah.