Tuesday, September 25, 2007

DOA SEBAGAI TERAPI JIWA

AL-FATIHAH


Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh orang ramai terhadap kisah tragis adik Nurin Jazlin. Secara spontan majoriti memberikan simpati dan amat berharap agar mereka yang bertanggungjawab akan dapat diadili secepat mungkin. Penulis mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga dan bacaan Al-Fatihah keatas roh allahyarham. Di dalam menghadapi situasi seperti ini, sebagai rakyat Malaysia yang perihatin dan penyayang langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh kita semua ialah dengan memberikan apa jua bantuan dan kerjasama kepada pihak berkuasa agar penjenayah kejam dapat dihukum dengan sewajarnya. Sebagai orang Islam pula, senjata utama yang diajar oleh Rasulullah SAW di dalam menangani keadaan ini ialah dengan bermohon dan berdoa kepada Allah SWT. Baginda sering memberi beberapa nasihat kepada mereka yang sedih, cemas, takut, dan mengalami gangguan jiwa lainnya melalui kaedah doa. Doa secara harafiah bererti ibadah, memohon bantuan dan pertolongan,permintaan, permohonan,percakapan,memanggil dan memuji.Manakala definisi doa secara istilah ialah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan ketundukan kepada Allah SWT.

Antara sabda Rasulullah SAW mengenai doa ialah:-
"Doa adalah ibadah, Tuhanmu telah berfirman berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu (H.R Abu Dawud, Turmudzi, dan Ibnu Majah)

"Tidak ada seorang muslimpun yang berdoa kepada Allah dengan suatu permohonan yang tidak mengandung unsur dosa maupun pemutusan tali persaudaraan kecuali Allah akan memberikan kepadanya satu diantara 3 perkara yakni permohonan yang dikabulkan, permohonannya disimpan untuk urusan akhiratnya, atau Dia akan menjauhkannya dari kejahatan yang sepadan dengan doa yang dibaca. Para sahabat bertanya : "Bagaimana jika kami memperbanyakkan doa?". Nabi bersabda, "Allah maha lebih banyak kurnianya" (HR Tirmidzi dan Ahmad)

Dalam doa terkandung juga unsur zikir dan zikir ini memiliki pengaruh terapi terhadap jiwa.Secara umum zikrullah adalah perbuatan mengingat Allah dan keagungan-Nya dalam bentuk yang meliputi hampir semua bentuk ibadah, perbuatan baik, berdoa, membaca Al-Quran, mematuhi orang tua, menolong sahabat dalam kesusahan dan menghindarkan diri dari kejahatan serta perbuatan zalim. Dalam maksud yang lebih khusus, zikrullah adalah menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya dengan memenuhi peraturan, tertib, kaedah, rukun dan syarat sesuai yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Salah satu petunjuk Al-Quran tentang pelaksanaan zikrullah adalah : "Dan sebutlah (Nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai".

Bagaimana penjelasan dzikrullah akan melahirkan penghayatan tenang dan tenteram? Daripada sudut psikologi, dijelaskan bahawa zikrullah dengan penuh kekhusyukan dan terus menerus akan membiasakan sanubari kita sentiasa dekat dan akrab dengan Allah SWT. Seterusnya, secara tidak disedari akan berkembanglah kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT (hubbullah) dan semakin mantaplah hubungan hamba dengan Rabbnya (hablun minAllah). Secara psikologi akan berkembanglah penghayatan akan kehadiran Allah SWT dalam setiap gerak geri kehidupan. Kita tidak merasa hidup bersendirian di dunia, kerana ada Zat yang Maha Mendengar segala kesusahan yang dihadapi. Ketenangan dari zikrullah akan menghasilkan kesan ketenangan yang bermakna bagi seseorang yang menjalani proses penyembuhan.


Menurut Setiyo Purwanto, seorang ahli psikologi, berdasarkan pengalaman, beliau menjelaskan bahawa Psikoterapi Doa mempunyai 3 tahap iaitu;

1. Tahap kesedaran sebagai hamba
Inti dari terapi ini adalah pembangkitan kesedaran, kesedaran terhadap kehambaan dan kesedaran akan kelemahan sebagai manusia. Bentuk kesedaran ini akan menghantarkan seseorang yang berdoa berada pada keadaan lemah. Tanpa adanya kesedaran akan kelemahan diri ini maka kesungguhan dalam berdoa sukar dicapai. Hakikat berdoa adalah meminta, yang meminta darjatnya tentu lebih rendah dari pada yang diminta. Untuk itu sebelum seseorang yang berdoa disyaratkan untuk merendahkan diri dihadapan Allah.

Bentuk kesedaran diri ini dapat dilakukan dengan melihat kepada diri sendiri misalnya melihat jantung bahawa jantung itu bergerak bukan kita yang menggerakkan, darah yang mengalir bukan atas kehendak kita, atau juga dapat melihat masalah yang sedang dihadapi, ketidakberdayaan, ketidakmampuan mengatasi perkara ini dimunculkan dalam kesedaran sehingga bukan nantinya dapat menimbulkan sikap menerima dan sikap pasrah.

Pada tahap ini seseorang juga disedarkan akan gangguan kejiwaan atau penyakit yang dialami. Penyakit tersebut bukan ditolak namun diterima sebagai sebahagian dari diri kemudian dimintakan sembuh kepada Allah.

2. Tahap kesedaran akan kekuasaan Allah SWT
Seterusnya setelah diri sedar akan segala kelemahan dan segala ketidakmampuan diri maka pengisian dilakukan iaitu dengan menyedari kebesaran Allah kasih sayang dan terutama adalah Maha Penyembuhnya Allah. Tahap ini juga menimbulkan pemahaman tentang hakikat sakit yang dialami bahawa sakit atau musibah berasal daripada Allah dan yang akan menyembuhkan adalah Allah. Kesedaran akan kekuasaan Allah ini dapat dilakukan dengan melihat bagaimana Allah menggerakkan segala sesuatu, menghidupkan segala sesuatu.

Tahap ini juga dapat menumbuhkan keyakinan kita kepada Allah atas kemampuan Allah dalam menyembuhkan. Bagaimamana seseorang dapat berdoa kalau dirinya tidak mengenal atau meyakini bahawa Yang Maha Penyembuh tidak dapat menyembuhkan. Yakin juga merupakan syarat mutlak dari suatu doa kerana Allah sesuai dengan prasangka hambanya, jika hambanya menyangka baik maka Allah baik demikian pula sebaliknya. Kegagalan utama terhadap jawapan Allah atas doa yang kita panjatkan kepada Allah adalah keraguan kita. Seringkali ketika berdoa namun hati mengatakan “entah dikabulkan entah tidak” atau mengatakan “mudah-mudahan dikabulkan” kalimat ini maksudnya tidak ingin mendahului Allah tapi sebenarnya adalah meragukan Allah dalam mengabulkan doa kita.

Ada perbezaan antara mendahului kehendak Allah dengan keyakinan yang ditujukan kepada Allah. Jika mendahului biasanya menggunakan kata sepatutnya begini, mesti begini, tapi jika yakin kita optimis akan kehendak Allah dan tidak masuk pada kehendak Allah. Sebagai contoh bila kita berdoa “Ya Allah hilangkan kesedihan hatiku”, maka kita yakin kepada Allah bahawa Allah menghilangkan kesedihan kita. Perkara yang penting juga adalah afirmasi terhadap doa yang kita panjatkan kalau berdoa mesti yakin akan dikabulkan, tidak ada alasan lain untuk tidak yakin selain dikabulkan. Sebab Allah akan mengabulkan apa yang kita yakini dari pada apa yang kita pinta dalam doa kita.

3. Tahap Komunikasi
Setelah sedar akan kelemahan dan penyakit yang dialami, dan sedar akan kebesaran Allah maka seterusnya adalah berkomunikasi dengan Allah sebagai bahagian penting daripada proses terapi. Tahap komunikasi ini boleh berbentuk sepert berikut:-

i. Pengungkapan pengakuan segala kesalahan dan dosa, ini merupakan langkah awal sebab dengan hati yang bersih kontak dengan Allah akan lebih jernih.
ii. Pengungkapan kegundahan hati dan kegelisahan yang dialami, tahap ini dapat memberi kesan katarsis iaitu memberikan segala permasalahan keluar daripada dalam diri, dalam konteks ini kita memberikan segala kegundahan hati kepada Allah. Selain itu dengan pengungkapan ini kita akan menimbulkan rasa dekat dengan Allah. Tahap ini juga merupakan curahan ha seperti seorang anak dengan ibunya, begitu dekat dan tidak ada yang ditutupi, jujur kepada Allah dari apa yang dirasakan apa yang difikirkan apa yang menjadi kekhuatiran. Tahap ini jika dilakukan dengan betul sudah merupakan terapi terhadap jiwa, seperti halnya seorang klien yang mencurahkan segala masalahnya kemudian didengar oleh kaunselornya dengan penuh penerimaan, dengan penuh kasih sayangnya.

iii. Permohonan doa kesembuhan terhadap apa yang dialami. Permohonan doa bukanlah permintaan yang memaksa Allah untuk mengabulkan. Untuk itu doa yang dipanjatkan perlu disertai dengan kerendahan hati, dengan segenap sikap perlu kepada Allah. Kedudukan hamba yang berdoa adalah meminta dia tidak berhak untuk memaksa, hamba tadi hanya diberi kuasa untuk meyakini bahawa doanya akan dikabulkan bukan memaksa Allah untuk mengabulkan.

iv. Tahap menunggu diam namun hati tetap meneruskan permohonan kepada Allah.

v. Doa merupakan bentuk komunikasi antara yang meminta dan yang memberi. Ketika proses permintaan sudah disampaikan maka proses pemberian (dijawabnya doa) mesti ditunggu kerana pemberian atau dijawabNya secara terus. Syarat untuk dapat menerima jawapan ini adalah dengan sikap rendah diri, terbuka, dan tenang (tidak tergesa gesa). Sikap ini akan dapat menangkap kalam Allah (jawapan doa) yang tidak berbentuk ucapan tidak berbentuk huruf tapi berbentuk pemahaman pencerahan(enlightment), ilham, atau berbentuk perubahan-perubahan emosi daripada tidak tenang menjadi tenang, daripada sedih menjadi hilang kesedihannya.

vi. Tahap ini merupakan tahap respon yang diberikan oleh Allah kepada kita sebagai jawapan doa yang kita panjatkan. Tahap ini juga disertai dengan sikap pasrah sepenuhnya kepada Allah mengikuti apa kemahuan Allah dan apa kehendak Allah, sikap ini akan dapat menangkap jawapan Allah.

Sesungguhnya jika dilihat daripada sudut psikologi, doa dan dzikir mengandung unsur psikoterapeutik yang men­dalam. Psikoreligious terapi ini tidak kurang pentingnya dibandingkan dengan psikoterapi psikiatrik kerana ia mengandung kekuatan spiritual kerohanian yang membangkitkan rasa yakin diri dan rasa optimisme. Pakar dan pengamal kaunseling dan psikoterapi Islam, berpendapat bahawa doa dapat memberikan rasa optimis, semangat hidup dan menghilangkan perasaan putus asa ketika seorang menghadapi keadaan atau masalah-masalah yang kurang menyenangkan baginya. Marilah kita sama-sama bermohon dan berdoa kepada Allah SWT.

Friday, September 21, 2007

RUSUHAN DAN STIGMA PSIKOLOGI


Sekali lagi negara dikejutkan dengan kejadian rusuhan pada 8 September 2007, di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu. Bagi rakyat Malaysia yang sedang berada dalam keamanan dan keselesaan, kocakan ini sedikit menyentak dan mengimbau peristiwa Reformasi hampir sedekad berlalu. Dalam keadaan saling bertuduhan, pihak berkuasa dan pembangkang cuba memberi gambaran kepada massa bahawa merekalah di pihak yang benar. Penulis tidak ingin terlibat di dalam konflik ini, namun rasanya ada sesuatu yang boleh difikirkan dengan lebih serius, matang dan tidak memihak.

Jika dikaji punca berlakunya rusuhan, amuk, konflik dan apa sahaja bentuk anarki, tidak lain dan tidak bukan bermula daripada emosi yang tidak dapat dikawal. Kegalalan inilah yang menyebabkan berlakunya kejadian yang merugikan semua pihak pada akhirnya. Dalam konteks rusuhan, biasanya situasi yang berlaku apabila berkumpulnya kelompok manusia yang besar(massa). Kumpulan besar manusia biasanya kurang mempunyai common sense. Seperti dalam perlawanan bolasepak, penyokong pasukan yang bertanding akan memberikan sepenuh sokongan dan dalam masa yang sama akan mencaci pasukan lawan sehingga ke tahap di luar kawalan. Kajian psikologi menjelaskan situasi ini sebagi Mob psychology atau Crowd psychology yang membawa kesan yang tidak dijangka.

Menurut tokoh psikologi massa Gustave Le Bon, bahawa massa itu naif, mudah diprovokasi, bersifat rasist atau ringkasnya adalah tidak rasional. Menurut Le Bon, massa senantiasa terkongkong dalam batasan ketidaksedaran, tunduk pada segala pengaruh, mudah diapi-apikan oleh emosi dan dengan mudah mempercayai sesuatu perkara.
Ringkasnya dalam keadaan sebegini, provokasi kecil boleh mengundang padah yang amat berat.

Dalam kejadian di Batu Burok, situasi psikologi sosial masyarakat memang sangat mudah 'terbakar' sehingga menyebabkan berlakunya konflik. Wujudnya faktor provokasi inilah yang membawa meletusnya anarki. Di sinilah sepatutnya pihak perlu berkuasa memainkan peranan penting di dalam memastikan tidak timbulnya percikan api yang boleh membawa kebakaran besar. Pihak berkuasa, sepatutnya sudah memiliki “ilmu” bagaimana mengendalikan dan memberikan efek pencegahan (deterrent effect). Dalam situasi mob (kelompok orang dalam jumlah besar), akan timbul suasana anonimiti. Kebijaksanaan mengenalpasti 'agen provokasi' boleh mengelakkan daripada berulangnya kejadian yang tidak diingini ini. Di pihak massa mereka perlu memastikan emosi yang terkawal dan dalam masa yang sama tidak mudah tertipu dengan permainan 'provokator' yang mempunyai agenda tertentu.

Anarki massa sepatutnya mampu dibendung, bukannnya dimarakkan lagi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Rakyat yang cintakan keamanan, berjiwa patriotisme dan terdidik dengan ajaran mulia sudah pasti tidak akan bersetuju dengan 'projek rusuhan' ini. Sukar untuk mempercayai wujudnya warganegara Malaysia yang sanggup membakar Jalur Gemilang seperti dipaparkan dalam media tempatan, namun untuk membuat kesimpulan yang melulu dan menjatuhkan hukuman sebelum segala-galanya jelas adalah suatu tindakan dan tahap intelektual yang lebih rendah daripada mereka yang mencetuskan anarki tersebut. Marilah lah menjadi warganegara Malaysia berminda kelas pertama!

Tuesday, September 18, 2007

PUASA-BUKTI KUASA MINDA BAWAH SEDAR


Hikmah puasa telah banyak dibincangkan oleh para ulama dan ilmuwan, daripada para ahli syariat dan agama hingga kepada para ahli psikologi dan perubatan. Penulis tidak akan membincangkan mengenai hikmah puasa secara terperinci atau wacana puasa sihat, juga tidak mengenai tips dan cara berpuasa yang paling baik. Sudah banyak tulisan tentang perkara-perkara tersebut, sudah banyak program radio dan TV membincangkan pelbagai aspek rukun Islam ketiga ini.

Berdasarkan pengalaman menjalani ibadat puasa saban tahun, juga melalui bacaan dan pemerhatian, ibadat puasa telah berjaya membuktikan kenyataan bagaimana minda bawah sedar mampu menguasai fizikal dan mempengaruhi anggota tubuh untuk mempercayai bahawa berpuasa walaupun merasa lapar dan dahaga tetapi tidak sampai ke peringkat yang boleh menjejaskan kualiti kesihatan individu. Seseorang yang tidak pernah berpuasa percaya bahawa adalah mustahil untuk manusia tidak minum selama 12 jam sambil masih dapat menjalani kehidupan dan bekerja seperti biasa. Tetapi bagi sesiapa yang telah biasa melaksanakan amalan puasa sama ada puasa wajib mahupun sunat, tidak langsung merasakan meninggalkan makan dan minum sebagai satu penderitaan yang dahsyat malah jiwa semakin bertambah kuat dan stabil.

Jika kita tidak berpuasa, bagaimanakah reaksi perut jika tidak mengambil sarapan sehingga pukul 10 pagi? Sudah pasti perut akan terasa pedih sedang tubuh badan ikut letih. Tetapi jika kita terlepas untuk bersahur sekalipun, kita masih mampu bertahan. Tidakkah fenomena ini menghairankan kita? Tentu sekali tidak, kerana minda bawah sedar kita telah memprogramkan anggota tubuh untuk bersedia untuk melaksanakan ibadat puasa tanpa sebarang masalah. Sesungguhnya Allah SWT telah mengajar kita bahawa bagaimana minda bawah sedar telah sekian lama mampu menjadikan apa saja yang dingini. Perbincangan mengenai Kuasa Minda ini telah penulis bincangkan dalam posting yang lalu- KUASA MINDA, MENJADI TUAN ATAU HAMBA?.

Sesungguhnya disebalik begitu banyaknya faedah dan manfaat yang diperolehi anggota fizikal manusia daripada ibadat puasa, minda dan jiwa juga dilatih secara praktikal sebagaimana pada hari ini begitu banyak wacana yang cuba menjelaskan bagaimana kuasa minda kita berfungsi. Hakikatnya ibadat puasa telah lama memberikan didikan cara kerja minda bawah sedar sehingga kita mampu melakukan sesuatu yang dianggap mustahil oleh orang yang tidak pernah atau tidak mahu berpuasa!


Bagi memberikan sedikit penjelasan mengenai kehebatan minda bawah sedar ini, penulis berikan tips yang penting bagaimana kekuatan fikiran bawah sedar itu dapat dibangkitkan. Ianya dapat dijana melalui 2 teknik, iaitu: autosuggestion dan visualization.

Autosuggestion
Keinginan-keinginan kita merupakan maklumat penting untuk fikiran bawah sedar. Sebab keinginan yang terpendam kuat dalam fikiran bawah sedar yang sangat besar dapat menjadi daya pendorong yang akan menggerakkan diri kita untuk berbuat sesuatu yang luar biasa. Keinginan yang sangat besar dan terpendam dalam fikiran bawah sedar itulah yang dinamakan autosuggestion.

Autosuggestion mesti dilakukan dengan penuh keyakinan, melibatkan emosi dalam diri, dilakukan penuh konsentrasi terhadap objek yang positif, dan berulang-ulang. Selanjutnya, fikiran bawah sedar inilah yang akan mengarahkan gerak-geri tubuh kita. Kekuatan yang ditimbulkan oleh fikiran bawah sedar itu sangat dahsyat sama ada digunakan untuk melakukan perbuatan buruk atau baik. Kadangkala niat untuk melakukan sesuatu secara automatik muncul daripada fikiran bawah sedar.

Autosuggestion akan mengetuk kesedaran (heartknock). Kerana dilakukan berulang-ulang dan berterusan, suatu ketika kata-kata tersebut akan menembus fikiran bawah sedar. Lalu fikiran bawah sedar itupun menaikkan semangat. Tenaga itu dapat dimanfaatkan untuk mewujudkan impian hidup kita.

Mungkin kegiatan autosuggestion ini akan dianggap aneh oleh orang lain. Tetapi itulah salah satu cara untuk mengubah diri dari dalam. Biasakan mendengar pola fikir positif dan melakukan kebiasaan-kebiasaan yang konstruktif. Jadi jangan ragu untuk melakukan budaya-budaya yang berpotensi, menumbuhkan optimisme dan kreativiti.

Ada 6 (P) petunjuk dalam melakukan autosuggestion, iaitu;

Positive - pada ketika melakukan autosuggestion, fikirkan hal-hal yang positif
saja.
Powerful - lakukan dengan penuh keyakinan sebab dapat memberikan kekuatan
untuk berbuat sesuatu yang luar biasa.
Precise - keinginan yang hendak dicapai perlu mampu dijelaskan secara
tepat, kerana fikiran bawah sedar hanya boleh menyusun berdasarkan
kategori.
Present Tense - dalam bentuk keinginan ketika ini, bukan keinginan di masa lalu atau
akan datang.

Personal - lakukan perubahan positif terhadap diri sendiri terlebih dahulu.
Potential - memungkinkan untuk dicapai dalam target waktu yang telah ditetapkan.


Visualization
Bila kita menginginkan sesuatu maka fikiran bawah sedar akan menggambarkan apa yang diinginkan itu. Dengan cara memvisualisasikan impian terlebih dahulu, terciptalah banyak sekali karya-karya agung di dunia ini. Marcus Aurelius Antonius, seorang Maharaja Rom zaman dahulu mengatakan, “A man’s life is what his thought make of it - Kehidupan manusia ialah bagaimana mereka memikirkannya.”

Sesuatu yang selalu divisualisasikan manusia akan mudah terpendam dalam fikiran bawah sedar. Lalu muncul kekuatan fikiran tersebut, yang berperanan sebagai penghubung antara jiwa dengan tubuh. Sehingga tubuhpun bertindakbalas dengan mengerahkan seluruh potensi yang sebelumnya tidak pernah digunakan, dalam bentuk kreativiti atau tindakan. Memvisualisasikan impian memungkinkan seluruh impian tercapai oleh fikiran bawah sedar.

Sesungguhnya amalan puasa itu adalah manifestasi kepada kejayaan membentuk diri melalui kehebatan minda bawah sedar. Sudahkah kita menyedarinya?

Monday, September 17, 2007

MELATIH ANAK BERPUASA DARIPADA SUDUT PSIKOLOGI


PUASA merupakan kewajipan seorang muslim yang sudah akil baligh. Namun adalah sangat baik jika kita mampu mendidik anak-anak yang belum mencapai umur tersebut dilatih untuk berpuasa.

Bilakah masa yang sesuai mendidik anak berpuasa? Daripada sudut ilmu psikologi ada versi berkaitan dengan masa yang tepat untuk mendidik anak berpuasa.
Menurut kajian psikologi analisis, didapati bahawa semua nilai moral sudah dapat diaplikasikan sejak bayi berada di dalam kandungan. Menurut teori ini ketika seseorang ibu hamil berpuasa, perkara itu sudah menjadi motivasi bagi anak dalam kandungan untuk berpuasa kelak.

Namun demikian, menurut teori psikologi behaviouristik, sesuatu tingkahlaku tidak boleh diperolehi hanya melalui perasaan atau pengalaman orang lain tetapi mesti dilihat terlebih dahulu sebelum sesuatu tingkahlaku itu dapat ditiru. Dengan kata lain, anak hanya akan berpuasa sekiranya dia melihat sendiri seseorang yang sedang berpuasa.

Menurut pakar psikologi pembelajaran, mereka mengemukakan pandangan bahawa masa yang paling baik mengenalkan atau melatih anak berpuasa adalah seawal mungkin, ketika anak sudah mencapai usia lebih daripada tiga tahun. Pada usia ini anak sudah mulai belajar moral dan menyerap sifat yang baik atau buruk, benar atau salah. Sifat anak berusia di bawah lima tahun yang serba ingin tahu adalah media yang tepat bagi ibubapa untuk menyampaikan pesan moral pada anak.

Misalnya, ketika anak bertanya mengapa ayah dan ibu makan pada malam hari tidak seperti biasa. Melalui pertanyaan yang diajukan anak inilah maka ibubapa dapat memberikan jawapan dan menyampaikan pesan moral tentang puasa. Namun pada usia ini anak belum memikirkan tentang manfaat, melainkan hanya mengikuti arahan ibubapa, oleh kerana mereka memang belum boleh berfikir secara logik. Cara terbaik melatih anak berpuasa adalah dengan cara ‘modelling’ atau melihat contoh langsung orang berpuasa.

Pengenalan berpuasa bagi anak-anak khususnya yang berusia kurang dari lima tahun,
perlu sesuai dengan konsep berfikir mereka. Tidak salahnya ibubapa mendidik anak bahawa berpuasa adalah kewajipan umat Islam dan bagi yang tidak melaksanakan akan mendapat hukuman setimpal.

Tetapi adalah lebih baik sekiranya puasa disampaikan dalam konsep berfikir anak. Misalnya, ibubapa menyampaikan bahawa berpuasa akan menjadikan tubuh mereka menjadi sihat. Cara mengajak anak berpuasa tidak perlu secara langsung, tetapi boleh di latih melalui contoh sesuatu watak atau tokoh yang memang digemari oleh mereka. Kegemaran dan kekaguman mereka pada tokoh dalam sesebuah cerita akan menjadikan anak-anak mudah memahami pesan-pesan yang disampaikan.

Thursday, September 13, 2007

MASALAH SOLAT TARAWIH


"Kalau sembahyang 8 rakaat tu malas maknanya", "mana satu yang lebih afdal kita ikut? Nabi Muhammad SAW atau Sayyidina Umar RA?, Inilah sebahagian persoalan yang timbul setiap kali tibanya bulan Ramadan. Memanglah baik dan sunat yang dituntut untuk bersolat tarawih, namun polemik yang tak berkesudahan kadang-kadang menonjolkan kejahilan sendiri, kerana banyak lagi perkara wajib yang diabaikan, perkara sunat pula yang diperdebatkan. Polemik ini seakan-akan tidak pernah selesai, walaupun pelbagai pendapat dan hujah yang telah dikeluarkan oleh ulama bagi menjelaskan masalah ini. Untuk menambah sedikit kefahaman tentang solat tarawih, penulis panjangkan huraian dan sejarah mengenainya yang dipetik dari http://soaljawab.wordpress.com/2007/09/08/bagaimana-solat-terawikh-mengikut-sunnah/. Semoga ianya bermanfaat.

Sepakat ulama’ bersetuju bahawa solat tarawih boleh dilakukan secara jemaah, cuma mereka khilaf mengenai jumlah rakaat yang dilakukan. Terdapat riwayat yang sahih mengenai zikir selepas witir, yang wujud didalam amalan solat tarawih di Nusantara ini dan telah ditambah beberapa amalan lain seperti selawat dsb.

Rata-rata dinegara Islam masih mengekalkan kewujudan solat secara berjemaah dan kedapatan rihat seketika setelah selesai solat 2 rakaat tarawih. Cuma apa yang berbeza ialah pengisian yang dilakukan diantara solat-solat tarawih tersebut. Terdapat beberapa amalan yang dilakukan diantara waktu-waktu rehat diantara solat tarawih, diantaranya adalah : berzikir, membaca al-quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyah Saqr :-

وهذا الفاصل يُشبِه ما كان يفعله أهل مكة من قيامهم بالطواف حول البيت سبعًا بعد كل ترويحتين، الأمر الذي جعل أهل المدينة يزيدون عدد التراويح على العشرين، تعويضًا عن هذا الطواف، وهو أسلوب تنظيمي يَعرِفون به عدد ما صَلُّوه، إلى جانب ما فيه من تنشيط للمصلين، فلا مانع مطلقًا، وبهذا لا يدخل تحت اسم البدعة، فالنصوص العامة تَشهد له، فضلاً عن عدم معارضتها له، ولئن يُسمَّى بدعة فهو على نسق قول عمر ـ رضي الله عنه: نِعْمَتِ البدعةُ هذه، عندما رأى تجمُّع المسلمين لصلاة التراويح خلْف أُبي بن كعب.
“Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih keatas 20 sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti2 solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid’ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid’ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid’ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab”

Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawih, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo’a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi :
ليس هناك نص يَمنَع من الذكر أو الدعاء أو قراءة القرآن في الفصل بين كل ركعتين من التراويح أو كل أربع منها مثلاً، وهو داخل تحت الأمر العام بالذِّكْر في كل حال. وكوْن السلف الذين يُؤخذ عنهم التشريع لم يفعلوه لا يَدل على منْعه،
“Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo’a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang.”

Syiekh Atiyah Saqr menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa’
ويستحب الجلوس بين صلاة كل أربع ركعات بقدرها، وكذا بين الترويحة الخامسة والوتر، وهذا هو المتوارث عن السلف كما صلى أبى بن كعب بالصحابة وروى عن أبى حنيفة -‏ واسم التراويح ينبيء عن هذا -‏ إذ المستحب فقط هو الانتظار ولم يؤثر عن السلف شيء معين يلزم ذكره في حال الانتظار وأهل كل بلد مخيرون وقت جلوسهم هذا بين قراءة القرآن والتسبيح وصلاة أربع ركعات فرادى والتهليل والتكبير أو ينتظرون سكوتا ولا يلزمهم شيء معين .‏
“Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan.”

Apa yang jelas disini ialah amalan selingan itu dilakukan oleh individu2 yang mempunyai hajat dan cara masing-masing bagi mempertingkat amalan dibulan Ramadhan. Tidak ada kaifiat khas atau bacaan2 yang dikhaskan sebagai selingan diantara rakaat-rakaat tarawih. Mengenai bacaan selingan yang dibaca negara kita, terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa bacaan tersebut dibaca setelah selesai solat tarawih atau dibaca selepas witir. Dari Ubay bin Kaab ra :
كان رسول الله -صلى الله عليه وسلم- إذا سلم في الوتر قال: “سبحان الملك القدوس
“Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, beliau berkata :’Subhana al-Malik al-Quddus’” - [Hadith riwayat al-Nasaa’i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah saw menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali.

Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah saw membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut :-
أنه كان يقرأ في الوتر بسبح اسم ربك الأعلى ، وقل يا أيها الكافرون ، وقل هو الله أحد فإذا سلم قال: سبحان الملك القدوس سبحان الملك القدوس سبحان الملك القدوس ، ورفع بها صوته
“Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal ‘alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : ‘Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus’ sambil menguatkan suaranya”

Kesimpulannya, ulama salaf pada masa dulu cuma melakukan rehat diantara rakaat-rakaat tarawih tanpa memberi pengkhususan mengenai amalan yang mereka lakukan. Didalam pengisian masa rehat tersebut ada yang berzikir, adan yang membaca al-Quran malah bagi mereka yang berada di Mekah akan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Cuma tidaklah mereka ini melakukan secara berjemaah amalan-amalan semasa rehat didalam solat tarawih seperti yang diakukan oleh masyarakat sekarang dengan selawat2. Apa yang boleh kita tekan disini ialah, dimasa selingan solat tarawih, bolehlah dilakukan amalan yang boleh menambahkan pahala dan juga memohon pengampunan dari Allah swt. Kalau dirasakan dengan berselawat dapat menambahkan lagi keImanan, maka bolehlah dilakukan. Dan janganlah lakukan sesuatu amalan secara menjerit2 tanpa mengetahui makna dan tujuan melakukannya. Setiap manusia itu ditanggung jawabkan atas apa yang mereka katakan.

RUJUKAN:
1. Sheikh Atiyyah Saqr. Ahsan al-Kalaam ; fi al-Fataawa wa al-Ahkam - 2. Dar al-Ghad al-’Arabi, 1994. ms 234, dan 103.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dari petikan diatas :-
a. Solat tarawih merupakan solat sunat, boleh dilakukan secara berseorangan dan juga berjemaah. Dilakukan setelah melakukan solat Isya’ pada bulan Ramadhan.
b. Jumlah rakaat yang boleh dilakukan adalah 8, 20, 36 atau seberapa yang mampu. Contohnya jika dilakukan 8 rakaat, bolehlah dilakukan secara 2 rakaat satu salam dan seterusnya.
c. Setelah selesai bersolat tarawih, bolehlah melakukan solat sunat witir (3 rakaat).
d. Tiada bacaan khas didalam solat tarawih. Bacalah surah mana-mana mengikut kemampuan anda jika anda bersolat bersendirian. Cuma, kalau ada diberi kelapangan masa, sertailah jemaah dimasjid bagi merebut peluang menggandakan pahala di bulan yang mulia ini dengan solat berjemaah tarawih, Insya-Allah.

Wednesday, September 12, 2007

MARHABAN RAMADAN


Esok Ramadan tiba lagi, bulan penuh keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka. Sempena kedatangan Ramadan al Mubarak ini, penulis terpanggil untuk memanjangkan beberapa subjek mengenainya untuk renungan dan panduan kita bersama. Semoga bermanfaat.


Maksud Al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Hadith Rasulullah SAW: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor.” (Riwayat Al-Hakim, disahihkan oleh Al-Albani)

Fakta Ramadhan
1) Ramadhan: Ertinya panas terik
2) Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
3) Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
4) Bulan dimana Nabi s.a.w mengambil semula Mekah dari tangan Musyrikin dan
berakhirnya penyembahan berhala.
5) Di dalamnya dipilih ada Malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan.
6) Di pilih untuk ibadat puasa.
7) Di pilih untuk lain2 ibadat (tadarus Al Quran)

Kelebihan Bulan Ramadhan
1) Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yang telah meninggal dunia terlepas dari siksa
kubur)
2) Bulan penuh keberkatan
3) Di malamnya ada lebih baik daripada 1000 bulan
4) Amalan solat sunat menyamai dengan solat fardhu
5) Manakala solat fardhu mendapat 70 kali ganda
6) Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga
7) Bulan menambah rezeki
8 ) Memberi berbuka banyak pahala
9) Bulan keampunan :
- Doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa.
- juga doa pada sepertiga malam.
- 10 hari pertama adalah mulanya rahmat,
- 10 hari pertengahan - pengampunan,
- 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.

Amalan-amalan di bulan Ramadhan (Tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua)
1) Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan
2) Menempah pakaian untuk Ramadhan
3) Niat puasa sebulan pd permulaan Ramadhan
4) Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya
dapat bangun malam
5) Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat)
6) Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian)
7) Solat berjemaah setiap waktu
8 ) Solat jemaah di masjid/surau
9) Amalkan Qiyamulail walaupun pendek
10) Sahur diwaktu akhir
11) Sahur - utk mengelakkan makanan tidak hadam elakkan
makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu
12) Mandi Janabat sebelum Imsak
13) Kurangkan tidur
14) Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
15) Tunaikan Solat Dhuha
16) Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
17) Tunaikan solat Rawatib
18) Jaga pacaindera
19) Elakkan gosok gigi selepas tergelincir matahari hingga berbuka
20) Hadiri majlis ilmu
21) Buat baik kepada ibubapa
22) Isteri hendaklah taat pada suami
23) Banyakkan bersedekah
24) Berbuka dengan 3 biji kurma dan air yang belum
dipanaskan oleh api
25) Berbuka bersama org tua
26) Jemput tetamu berbuka
27) Kurangkan berat badan
28) Banyakkan i'tikaf di masjid (lelaki sahaja)
29) Baiki hubungan suami isteri
30) Baiki hubungan jiran
31) Isteri jauhi drpd keluar memakai mekap & perhiasan
32) Elakkan berbelanja berlebihan
33) Kuatkan kesabaran
34) Banyakkan selawat,istighfar,bertasbih
35) Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar)
36) Mengejut anak dan isteri di malam Lailatul Qadar
37) Elakkan menonton TV yang mengandungi nafsu
38) Elakkan mendengar radio berunsur hiburan hingga melalaikan
39) Berdoa dengan nada lembut dan merayu
40) Jauhkan bercumbu dengan suami/isteri
41) Mendoakan ibu bapa samaada hidup atau yang meninggal dunia
42) Melazimkan solat waktu
43) Elakkan sebelum berbuka bersiar2 yg menjadikan pandangan liar
44) Elakkan banyak berhutang
45) Melepaskan perasaan sedih melepaskan Ramadhan
ditakuti tidak bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang
46) Mengeluarkan zakat fitrah

"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK"

Friday, September 7, 2007

BAJU MELAYU, BAHASA MELAYU


"butang baju melayu aku mana Pah?" Itulah dialog yang paling popular dalam filem Madu Tiga, ketika Jamil bersiap untuk majlis penikahan dengan isteri keduanya. Melalui dialog seterusnya semacam ada sikap prejudis di kalangan para isteri apabila suami mereka memakai Baju Melayu. Pemakaian baju Melayu dianggap sesuatu yang hanya sesuai di majlis yang ekslusif dan rasmi. Justeru tidak hairanlah pada hari ini amat sukar untuk melihat lelaki Melayu memakai pakaian tradisi lantaran tanggapan apatah lagi usikan yang diterima setiap kali memaki Baju Melayu terutama pada hari Jumaat.

Selain daripada itu, beberapa faktor lagi seperti tidak selesa, panas, tidak sesuai dengan tempat kerja dan pelbagai alasan lagi untuk menjustifikasikan peminggiran Baju Melayu daripada budaya dan cara hidup bangsanya sendiri. Mungkin dalam masa 10 atau 20 tahun lagi jika sesuatu tidak dilakukan oleh orang Melayu sendiri, Baju Melayu hanya akan menjadi pameran di muzium sahaja. Apakah apa saja yang berlabelkan Melayu semakin tidak relevan dengan arus pemodenan dan kemajuan?

Beberapa hari lalu, penulis sempat membaca pendapat seorang pembaca akhbar yang memberikan komentar mengenai perjuangan memperkasakan dan mendaulatkan Bahasa Melayu. Beliau bercakap mengenai 'idealisme' dan 'realisme' di dalam menangani isu tersebut. Walaupun telah bayak pendapat dan fakta yang dikemukakan oleh pejuang Bahasa Melayu, soal 'realisme' masa kini menuntut kita terus menguasai Bahasa Inggeris. Penulis berpendapat salah satu teknik menguasai BI ialah dengan bertutur sekerap yang mungkin dalam bahasa tersebut. Menurut Noam Chomsky, seorang ahli psikologi yang mengkaji hubungan antara minda dan kemampuan berbahasa, menyatakan bahawa perolehan bahasa manusia dijana melaui teknik'imitasi' atau peniruan.

Justeru, untuk menguasai sesuatu bahasa dengan baik,seseorang itu perlu mendengar, membaca, bertutur malah berfikir dalam bahasa tersebut secara intensif. Maksudnya bagi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu mereka perlu bertutur dalam BI di mana-mana sahaja jika ingin menguasai BI dengan baik. Akhirnya apa akan jadi kepada Bahasa Melayu kerana andaian dan pandangan sebahagian besar orang Melayu sendiri bahawa BM bukanlah bahasa komersial atau bahasa ekonomi. Inilah realiti kebimbangan pejuang dan pencinta BM, kita akan kehilangan bangsa kerana apalah yang ada pada bangsa yang tidak mempunyai(Baca tidak boleh bertutur)dalam bahasanya sendiri.


Realitinya, BM adalah suatu bahasa yang amat muda jika dibandingkan dengan BI,Bahasa Jerman, Perancis, Mandarain, Arab, Jepun dll bahasa yang telah kukuh akarnya. Tatabahasa/nahu BM itu sendiri berasaskan kerangka nahu BI sebagaimana yang telah dicipta oleh Zaaba, bagaimana mungkin jika bahasa yang masih 'lembut ubun-ubunnya' mula dipinggirkan akan mampu terus hidup dan subur menjadi bahasa antarabangsa jika kita sendiri tidak memupuk dan menjaganya dengan baik? Kita sepatutnya belajar sesuatu dari Indonesia di dalam memartabatkan BM di buminya sendiri. Filipina, India dan beberapa negara Afrika yang meminggirkan bahasanya hingga kini tidak mampu menjadi bangsa besar dan berjaya. Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Peranchis tetap menjadi negara maju sekalipun rakyatnya menggunakan bahasa mereka sendiri.
Marilah kita sama-sama fikirkan.

Monday, September 3, 2007

KECELARUAN FAKTISUS


Sebagaimana janji penulis untuk menyambung perbicangan tentang Kecelaruan Faktisus atau Malingering dalam post yang lalu. Setelah membuat beberapa 'searh', penulis mendapati penjelasan yang baik dan ringkas boleh di dapati dari http://en.wikipedia.org/wiki/Factitious_disorder. Untuk bacaan lebih lanjut sila layari http://www.emedicine.com/emerg/topic322.htm http://rarediseases.about.com/cs/munchausensynd/a/091402.htm dan http://ourworld.compuserve.com/homepages/Marc_Feldman_2/.


Sebenarnya agak sukar untuk membezakan antara Kecelaruan faktisus dangan Kecelaruan Malinger kerana simptom yang hampir sama boleh di dapati pada kedua-dua kes. Perbezaan ini hanya dapat dikenalpasti melalui ujian oleh pakar. Walaubagaimanapun, penulis berharap tulisan ini dapat memberikan sedikit maklumat tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh kita semua.