Posting kali ini akan memulakan perbincangan mengenai diri manusia. Kerapkali ungkapan mengenal diri menjadi tajuk dan fokus perbincangan melalui perspektif yang pelbagai. Sesungguhnya manusia memang dikurniakan Khaliqnya dengan naluri ingin mengetahui rahsia kejadian dirinya. Jika kita melihat perspektif yang pelbagai ini, secara mudah dapat disimpulkan kajian tentang mengenal diri menjurus kepada dua perspektif utama, iaitu mengenal diri secara lahiriah-fizikal dan secara rohani-spiritual. Kedua-dua pendekatan sebenarnya perlu disepadukan untuk akhirnya dapat mencapai tahap mengenali diri secara holistik. Sebagai Muslim, panduan utama ke arah ini sudah tentu bermula dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ‘Sesungguhnya di dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, bila baik ia nescaya baiklah seluruh tubuhnya dan bila jahat ia, nescaya jahatlah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, itulah kalbu(hati) – Hadis riwayat Assyaikhan.
MENGAPA HATI?
Manusia diciptakan dengan pelbagai unsur di dalam dirinya. Ianya adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Jika diibaratkan seluruh tubuh sebagai sebuah kerajaan, rajanya adalah hati. Akal yang mempunyai maklumat menghasilkan pengetahuan, tetapi manusia tidak bertindak berdasarkan pengetahuannya. Pengetahuan tidak menjana tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau sikap yang tekal. Manusia lazimnya akan bertindak berdasarkan kepada desakan hatinya. Segala keputusan ditentukan oleh hati atas nasihat sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.
Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah hasil kepada tindakan hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan ‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia.
MEMBERSIHKAN HATI
Seperti yang dinyatakan di atas, hati adalah unsur paling penting dalam diri seseorang. Seseorang yang berakal tetapi tidak memiliki hati yang terdidik kerap menghadapi masalah. Terbelenggu dengan kekecewaan dalam perhubungan, merasa kerajaanr dengan kehidupan dan mudah putus asa dengan cabaran.
Sebagai raja dalam diri manusia, anggota tubuh adalah kerajaannya. Raja yang hebat pasti kerajaan juga jadi hebat. Begitu juga seandainya raja positif dan berwawasan, maka kerajaan juga akan positif dan bergerak merealisasikan wawasan raja.
Hati juga ibarat cermin. Hati yang terdidik dengan kebaikan akan membalikkan kebaikan. Setiap yang melihat pasti merasakan kebaikan dan kesucian hati itu. Kebaikan itu mengalir masuk di celah-celah liang kekerasan hati setiap orang disekelilingnya.
Konsep dan praktikal bagi satu pendidikan hati yang baik bukannya datang dari sumber luaran, tetapi daripada dalam diri sendiri. Seseorang yang mampu mendidik hatinya dengan baik, hatinya akan menjelma menjadi pusat segala kebaikan di muka bumi ini. Hatinya akan memancarkan cahaya ketenangan dan menyiram haruman ketinggian peribadi kepada sesiapa sahaja yang ditemui. Setiap tingkah lakunya teratur dan berhati-hati hasil dari keyakinan teguh di hati bahawa dia sentiasa diawasi.
EMPAT TAHAP MEMBERSIHKAN HATI
1. Menerima Hakikat Tiada Kejayaan Sebenar Di Dunia Ini
Kejayaan itu subjektif sifatnya. Tidak ada satu formula yang mampu mengira tahap kejayaan seseorang. Ramai yang berjaya dalam sesuatu bidang tetapi gagal dalam bidang yang lain. Untuk menyedapkan hati kita berkata “tidak ada yang sempurna dalam dunia”, “biasalah, berjaya tidak bermakna sempurna”. Oleh itu, apakah kejayaan yang sebenar? Kejayaan yang hakiki adalah apabila kita bertemu dengan ALLAH dan dikurniakan syurga. Terimalah hakikat, kejayaan di dunia bersifat sementara. Janganlah sekali-kali menggantung harapan kejayaan dunia sebagai sasaran. Anda hanya mengejar bayang-bayang sendiri.
2. Berusaha mencari ilmu mengenal diri sendiri
Manusia dianugerahkan pancaindera untuk melihat, mendengar, menghidu dan merasa. Ada yang cantik dan ada yang buruk. Ada yang lembut dan ada yang kasar. Ada yang wangi dan ada yang busuk. Ada juga yang manis dan ada yang pahit. Kesemuanya adalah perkara-perkara luaran dari tubuh kita. Untuk mendapatkan ilmu berkaitan apa yang ada dalam diri kita sendiri, kita memerlukan satu lagi pancaindera. Pancaindera ini dinamakan ‘pandangan mata hati’. Pandangan mata hati mampu melihat segala kekuatan dan kelemahan dalam diri kita. Ia mampu menyatakan apa yang baik dan apa yang tidak kepada diri kita. Dua kunci untuk memperoleh pandangan mata hati adalah dengan mendekatkan diri dengan agama serta sering bertanya kepada orang lain terutamanya musuh tentang pandangannya terhadap anda dan anda menerima pandangan itu dengan terbuka dengan tekad untuk mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri.
3. Banyakkan waktu memuhasabahkan diri
Muhasabah adalah ketika anda melihat kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam diri. Setiap manusia pasti memiliki kekurangan dan kelemahan. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki. Muhasabah juga adalah ketika anda merenungi kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan. Jangan takut apabila melakukan kesilapan kerana dengan kesilapan itulah kita belajar. Tetapi jangan cuba melakukan kesilapan dengan alasan untuk belajar. Gunakanlah beberapa ketika sebelum kita terlelap setiap malam untuk muhasabah, “apa yang telah aku lakukan sepanjang hari ini?”.
4. Belajarlah dari orang lain.
Orang yang bijaksana adalah orang yang menjadikan setiap inci kehidupannya sebagai satu proses pembelajaran. Lihatlah setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita dengan kaca mata seorang pelajar dan dengan pandangan mata hati untuk belajar. Jadikan setiap perkara buruk yang berlaku di persekitaran kita sebagai pengajaran untuk kita hindari. Gunakanlah semua perkara baik yang kita temui dan tempuhi sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Jadikan semua perkara tempat untuk kita belajar dan memperbaiki kualiti hati kita. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment