Monday, September 19, 2011

DELAYING, OVERCROWDING DAN ‘HANCING’…QUO VADIS KTMB?







Sewaktu bertugas di Kuala Lumpur antara tahun 2004 hingga 2007, aku berulang alik dari Seremban setiap hari. Naik bas dari terminal Satu(One) Seremban, turun di Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang), jalan kaki sampai ke stesen Star LRT Plaza Rakyat (Puduraya) dan turun di Stesen Star LRT Pudu, pejabat di Wisma SCA, Jalan Sg Besi. Perjalanan balik naik Star LRT di Stesen LRT Pudu, turun di stesen Masjid Jamek, tukar naik Putra Line turun di Stesen Pasar Seni. Waktu balik tak larat nak berjalan kaki dari stesen LRT Plaza Rakyat (Puduraya) ke Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang) sebab jalan kaki pun sesak(jam giler) dekat depan Petaling Street tu. Berulang alik dari Seremban KL memang jarang guna khidmat KTM Komuter. Dalam sebulan ada satu atau dua kali biasanya selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah di Putrajaya, minta JAV hantar ke Stesen Komuter Bangi balik ke Seremban.

Itu cerita 4, 5 tahun lepas, sebenarnya aku lebih yakin dengan khidmat pengangkutan kenderaan menggunakan landasan(tren) yang pasti tiada kesesakan(jam). Semua khidmat tren aku dah gunakan, KL Monorail, Star LRT, Putera Line, ERL dan KTM Komuter. Hari Sabtu lalu (17 September 2011) macam biasa aku balik ke Bahau dari Alor Gajah. Memang kena balik sebab anak jiran sebelah berkahwin dan rumah aku jadi tempat parking kenderaan dan goodies jiran. Malam tadi abang telefon ajak datang ke restoran beliau di Selayang, buat open house Aidil Fitri, serba salah pula sebab takkan nak tinggalkan jiran tengah kenduri. Keputusannya pergi juga ke KL, jam 1.00 tgh. Tahun ini pun belum jumpa adik-beradik sebab aku beraya di Pahang.

Paling aku tak suka memandu di KL, jalan pun tak berapa cekap, tambah pulak 2,3 hari kebelakangan setiap ptg hujan, Biasanya kalau hujan KL mesti jam. Fikirnya lebih baik naik tren Komuter dr Seremban ke KL. Telefon abang, katanya stesen terdekat ialah Taman Wahyu, nanti dia datang ambil dengan kereta. Sampai di Stesen Komuter Senawang jam 2.20ptg, di kaunter tiket maklumat diberi tren akan sampai jam 2.30. Just on time, flash kad Touch n Go dan masuk ke terminal. Aku tak suka beli tiket di kaunter biasanya nak beli tiket pun susah, terpaksa beratur panjang, guna kad T n G mudah, tak payah beli tiket tak payah beratur panjang. Stesen Komuter Senawang baru dan selesa. Dibuka pada Mei 2011, persekitaran cantik, parkir luas. Masuk ke terminal 2.24 ptg, dalam 6 minit lagi tren akan sampai. Alat paparan elektronik dan pengumuman ketibaan tren secara audio jelas, 2.30 tren akan tiba.


2..30 ptg, alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren kedengaran, 2.32 pengumuman pelepasan(departure) tren. Peliknya tiada sebarang tren yang tiba, 10 minit berlalu, sekumpulan pemuda dekat dgn aku bersungut, patutlah buat kaunter tiket di tingkat atas, dapat elak komplen penumpang. Hampir jam 3.00 ptg tren tak sampai lagi, mulalah aku pening, agaknya jam berapa baru sampai KL nanti. Setengah jam delay, barulah tren tiba.

Masuk dalam tren hidungku menangkap bau hancing, koc dah lama tak dicuci atau tak pernah dicuci?. Sudah dua senarai semak KTMB gagal. Tiba di stesen Seremban, begitu ramai penumpang naik, koc mula sesak, stesen berikutnya Tiroi, Labu, Btg Benar, penumpang makin ramai, koc kian padat dan sendat, pendingin hawa dah jadi heater..berpeluh, menitik, isteri aku macam nak pitam dek kepadatan dan kepanasan. Pendingin hawa dalam koc tak mampu melayan keperluan. Isteriku mula merungut, kalau bawa kereta dah sampai katanya, kalau jam pun taklah panas macam dalam ketuhar. Taubatlah lain kali nak naik komuter, entah jam berapa lah sampai. Telefon dari abang bertanya di mana lokasi kami, baru sampai Salak Selatan, dah jam 4.00 petang, adik-beradik dan saudara mara semua dah nak balik kata abang, masa itu rasa kecewa sungguh dengan KTMB, dengarnya untung banyak, tapi khidmatnya dahsyat.

Pertukaran tren di hentian Putra, untuk ke Taman Wahyu delay lagi 20 minit, cerita yang sama alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren dan pelepasan(departure) tren, tapi tren tak nampak bayang pun, tak ada perkataan nak diucap lagi kerana terlalu kecewa teramat sangat dengan KTMB. Akhirnya tiba di Taman Wahyu jam 5.00 ptg, semua tetamu dah pulang tinggal aku dan isteri berdua orang, apa nak jadi aku atau KTMB yang malang.

Perjalanan pulang pun merimaskan, pengumuman ketibaan di stesen tak kedengaran, kadang-kadang ada selalunya hilang. Bayangkan bagi mereka yang kali pertama naik tren, hilang punca di mana nak turun atau bertukar tren. Pengumuman langsung tak membantu pelanggan, tiada maklumat pertukaran stesen dan destinasi, audio tenggelam timbul dan paling teruk rakaman bertahun-tahun lepas masih digunakan. Stesen Seremban diumumkan sebagai stesen terakhir, sedangkan ada 2 buah stesen baru, iaitu Senawang dan Sg Gadut sebagai destinasi terakhir. Beginikah perkhidmatan kepada rakyat yang mampu ditawarkan oleh KTMB menjelang Malaysia menjadi negara maju 9 tahun lagi?

Apakah pergeseran antara Kesatuan sekerja KTMB dengan Presidennya, baca di sini menjadikan khidmat KTMB semakin teruk? Quo vadis KTMB?

No comments: