Monday, October 24, 2011

DI MALAM PUISI RIONG 2011





Tika gencarnya tona pemuisi
Dengan gemuruh redam suara
Diiring alunan seruling syahdu
Dan jantung berdegup ngilu…

Tak Melayu Hilang Di Dunia,
Bahasa Jiwa Bangsa,
Bahasa Melayu pernah jadi lingua franca
Melaka dan seluruh Nusantara…
Di tutur bangsa Arab, India dan China..

Tanpa sengaja mata melirik berputar
Dalam alpa aku tersedar
Santai ku rupanya di Hatten Square
Dikepung ruang niaga berjenama Perfect Avenue,
Summer, Googles, Valentino, West Concorse,
Obermain, Hush Puppies dst,dst…

Rupanya…
Memang Melayu tak hilang di dunia..tapi
Telah kosong jiwa dan semangatnya,
Melayu tak hilang wajahnya
Tapi dibalut busana Barat, Amerika….
Melayu tak hilang lidahnya,
Tapi dibumbu nuansa rojak, fb, twitter dan sms nya…

Mungkinkah Melayu tak hilang di dunia?
Sekadar di malam puisi cuma
Merintih, merayu, mengharap dan berdoa..
Moga jasad, jiwa, semangat dan lidahnya kekal bertakhta.

Monday, September 19, 2011

DELAYING, OVERCROWDING DAN ‘HANCING’…QUO VADIS KTMB?







Sewaktu bertugas di Kuala Lumpur antara tahun 2004 hingga 2007, aku berulang alik dari Seremban setiap hari. Naik bas dari terminal Satu(One) Seremban, turun di Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang), jalan kaki sampai ke stesen Star LRT Plaza Rakyat (Puduraya) dan turun di Stesen Star LRT Pudu, pejabat di Wisma SCA, Jalan Sg Besi. Perjalanan balik naik Star LRT di Stesen LRT Pudu, turun di stesen Masjid Jamek, tukar naik Putra Line turun di Stesen Pasar Seni. Waktu balik tak larat nak berjalan kaki dari stesen LRT Plaza Rakyat (Puduraya) ke Perhentian Bas Kelang(Bus Stand Kelang) sebab jalan kaki pun sesak(jam giler) dekat depan Petaling Street tu. Berulang alik dari Seremban KL memang jarang guna khidmat KTM Komuter. Dalam sebulan ada satu atau dua kali biasanya selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Wilayah di Putrajaya, minta JAV hantar ke Stesen Komuter Bangi balik ke Seremban.

Itu cerita 4, 5 tahun lepas, sebenarnya aku lebih yakin dengan khidmat pengangkutan kenderaan menggunakan landasan(tren) yang pasti tiada kesesakan(jam). Semua khidmat tren aku dah gunakan, KL Monorail, Star LRT, Putera Line, ERL dan KTM Komuter. Hari Sabtu lalu (17 September 2011) macam biasa aku balik ke Bahau dari Alor Gajah. Memang kena balik sebab anak jiran sebelah berkahwin dan rumah aku jadi tempat parking kenderaan dan goodies jiran. Malam tadi abang telefon ajak datang ke restoran beliau di Selayang, buat open house Aidil Fitri, serba salah pula sebab takkan nak tinggalkan jiran tengah kenduri. Keputusannya pergi juga ke KL, jam 1.00 tgh. Tahun ini pun belum jumpa adik-beradik sebab aku beraya di Pahang.

Paling aku tak suka memandu di KL, jalan pun tak berapa cekap, tambah pulak 2,3 hari kebelakangan setiap ptg hujan, Biasanya kalau hujan KL mesti jam. Fikirnya lebih baik naik tren Komuter dr Seremban ke KL. Telefon abang, katanya stesen terdekat ialah Taman Wahyu, nanti dia datang ambil dengan kereta. Sampai di Stesen Komuter Senawang jam 2.20ptg, di kaunter tiket maklumat diberi tren akan sampai jam 2.30. Just on time, flash kad Touch n Go dan masuk ke terminal. Aku tak suka beli tiket di kaunter biasanya nak beli tiket pun susah, terpaksa beratur panjang, guna kad T n G mudah, tak payah beli tiket tak payah beratur panjang. Stesen Komuter Senawang baru dan selesa. Dibuka pada Mei 2011, persekitaran cantik, parkir luas. Masuk ke terminal 2.24 ptg, dalam 6 minit lagi tren akan sampai. Alat paparan elektronik dan pengumuman ketibaan tren secara audio jelas, 2.30 tren akan tiba.


2..30 ptg, alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren kedengaran, 2.32 pengumuman pelepasan(departure) tren. Peliknya tiada sebarang tren yang tiba, 10 minit berlalu, sekumpulan pemuda dekat dgn aku bersungut, patutlah buat kaunter tiket di tingkat atas, dapat elak komplen penumpang. Hampir jam 3.00 ptg tren tak sampai lagi, mulalah aku pening, agaknya jam berapa baru sampai KL nanti. Setengah jam delay, barulah tren tiba.

Masuk dalam tren hidungku menangkap bau hancing, koc dah lama tak dicuci atau tak pernah dicuci?. Sudah dua senarai semak KTMB gagal. Tiba di stesen Seremban, begitu ramai penumpang naik, koc mula sesak, stesen berikutnya Tiroi, Labu, Btg Benar, penumpang makin ramai, koc kian padat dan sendat, pendingin hawa dah jadi heater..berpeluh, menitik, isteri aku macam nak pitam dek kepadatan dan kepanasan. Pendingin hawa dalam koc tak mampu melayan keperluan. Isteriku mula merungut, kalau bawa kereta dah sampai katanya, kalau jam pun taklah panas macam dalam ketuhar. Taubatlah lain kali nak naik komuter, entah jam berapa lah sampai. Telefon dari abang bertanya di mana lokasi kami, baru sampai Salak Selatan, dah jam 4.00 petang, adik-beradik dan saudara mara semua dah nak balik kata abang, masa itu rasa kecewa sungguh dengan KTMB, dengarnya untung banyak, tapi khidmatnya dahsyat.

Pertukaran tren di hentian Putra, untuk ke Taman Wahyu delay lagi 20 minit, cerita yang sama alat paparan elektronik berkelip-kelip tanda tren dah sampai dan pengumuman ketibaan(arrival) tren dan pelepasan(departure) tren, tapi tren tak nampak bayang pun, tak ada perkataan nak diucap lagi kerana terlalu kecewa teramat sangat dengan KTMB. Akhirnya tiba di Taman Wahyu jam 5.00 ptg, semua tetamu dah pulang tinggal aku dan isteri berdua orang, apa nak jadi aku atau KTMB yang malang.

Perjalanan pulang pun merimaskan, pengumuman ketibaan di stesen tak kedengaran, kadang-kadang ada selalunya hilang. Bayangkan bagi mereka yang kali pertama naik tren, hilang punca di mana nak turun atau bertukar tren. Pengumuman langsung tak membantu pelanggan, tiada maklumat pertukaran stesen dan destinasi, audio tenggelam timbul dan paling teruk rakaman bertahun-tahun lepas masih digunakan. Stesen Seremban diumumkan sebagai stesen terakhir, sedangkan ada 2 buah stesen baru, iaitu Senawang dan Sg Gadut sebagai destinasi terakhir. Beginikah perkhidmatan kepada rakyat yang mampu ditawarkan oleh KTMB menjelang Malaysia menjadi negara maju 9 tahun lagi?

Apakah pergeseran antara Kesatuan sekerja KTMB dengan Presidennya, baca di sini menjadikan khidmat KTMB semakin teruk? Quo vadis KTMB?

Tuesday, August 23, 2011

RADANG APENDIKS


Imej video Pembedahan.

Tak pernah masuk wad (warded)sebelum ini. Inilah pengalaman pertama masuk hospital, warded dan dibedah. Bermula dengan sakit perut luarbiasa, ke klinik dan doktor buat diagnosis kena radang apendiks. Perlu segera ke hospital, jangan tangguh lagi, itu nasihat doktor.

Nak cuba khidmat hospital swasta, isteri terus bawa ke Hospital Pantai, Ayer Keroh. Terus ke bahagian kecemasan..dan doktor sahkan diagnosis awal. Soalan pertama, bila kali terakhir makan...puasa, tak ada masalah jantung, tiada darah tinggi, tiada diabetes. Soalan yang sama ditanya hampir 5 kali, sampai peringkat hendak dibius.

Dua jam kemudian keluar dari Bilik Bedah, dengan 3 tampalan tebukan laporoskopi. Alhamdulillah, tiada sebarang komplikasi, 2 malam diwad dibenarkan keluar.

Syukur kepada Allah atas sedikit kesakitan yang diberi sebagai peringatan. Jutaan terimakasih pada isteri yang 2 malam juga tidur di wad, pada boss dan kawan-kawan yang sempat menziarah. Memang Hospital swasta efisien, pantas, mesra dan kosnya pun berbaloi...RM 6,337.30.

Thursday, May 5, 2011

SEBAIK-BAIK ANUGERAH


*Sewaktu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bagi Tahun 2009, Kementerian Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan.


Gambar Hiasan * Penulis sewaktu menerima Pingat Cemerlang Masyarakat(PMC) daripada DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 01 Mac 2011.
Menjunjung kasih Tuanku!



Dari Ahnaf bin Qais r.a., bahawa beliau pernah di soal orang :

Yang bermaksud : "Anugerah apa yang paling baik bagi seorang hamba?'".

Maka berkata beliau : "Akal semula jadi".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Adab yang baik ".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Sahabat yang taat ".

Lalu ia di tanya lagi : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Hati yang sentiasa bertakwa".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Diam berkepanjangan".

Lalu ia di tanya : "Bagaimana jika itu tidak ada ?'".

Beliau berkata : "Mati dengan segera".

Thursday, January 6, 2011

PUISI BUAT PUTERIKU




















BUAT PUTERIKU.. NURFATIHAH

2006…
Sewaktu ku terima berita pertama
Puteri ku diserang penyakit bahaya
Hatiku bertanya
Ya Allah….apakah Kau akan ambil hayatnya?
Memisahkan kami dalam ruang singkat cuma..

Syukur tak terhingga ku panjatkan pada Mu
Kerana masih memberi ruang waktu
Pada puteri ku….
menyambung hayat menikmati alam fana Mu
Meski ku tahu penyakitnya tak pernah berlalu

1 januari 2011
Empat tahun bersama menikmati
Saat indah bersama dilayari
Dalam meniti kehidupan duniawi
Hingga tak kusedari telah tiba detik janji
Untuk puteriku Kau jemput kembali….

Di saat insan lain masih berpesta
Menyambut tahun baru penuh euforia
Puteriku terbaring lelah
Tak mampu lagi berjuang menentang musibah
Meski doa kami mengiring pasrah
Kau pergi jua menemui Allah…

Pergimu adalah satu penyiksaan..
Kehilanganmu melenyapkan segala harapan.
Namun ku tahu ini takdir kehidupan
Tak dapat dihalang makhluk bernama insan

Puteriku telah kembali
Ke sisi Maha Pencipta abadi
Sehingga kita bersua nanti..
Maafkan aku terpaksa melepaskan kau pergi..
Bersama kenanganmu yang kekal menemani...

Ketahuilah walau dimana kau berada...
Walaupun bayangmu tak lagi menjelma...
Kau bersemadi dilubuk hati..didasar jiwa..
Kuserah Puteriku pada Mu... Yang Maha Kuasa...

Kutahu kasih puteriku kekal selamanya...
Walaupun kita tidak lagi bersama...
Doaku tak pernah sirna
Agar Puteriku dikumpul bersama
Roh para ahli syurga….

Amin, ya Rabbal Alamin.
Al-Fatihah buat puteriku Nurfatihah Abdul Halim (1993-2011)