Thursday, September 17, 2009

TARIAN PENDET DAN ‘WARGA INDONESIA SERPIHAN’ YANG PENDEK EMOSI


Selepas lebih 40 tahun slogan `Ganyang Malaysia’ nampaknya sebahagian warga Indonesia masih lagi terperangkap dalam `Mentaliti Big Brother’ nya. Golongan ini ternyata cuba menutup hati dan fikiran mereka mengenai fakta bahawa `adiknya’ telah jauh lebih maju dan berjaya. Pengurusan ekonomi, pentadbiran dan pembangunan yang dicapai oleh adik dianggap ancaman kepada maruah dan kredibiliti kepada abang. Kalau dulu Indonesia berjaya mengatasi rasa rendah dirinya yang teruk dengan membesar-besarkan kehebatan mereka dalam bidang sukan. Dalam Sukan SEA mereka selalu berada dalam kelompok top 3, dan biasanya akan menjadi juara bila menjadi tuanrumah.(Biasanya negara tuanrumah akan memanipulasi keputusan pertandingan dan penjurian untuk mendapat bilangan pingat emas terbanyak) Dalam sukan badminton misalnya mereka sentiasa saja memperlekehkan Malaysia pada tahun 70an dan 80an, namun kini semuanya telah berubah. Pencapaian Malaysia dalam bidang sukan ternyata telah dapat melenyapkan cakap besar mereka selama ini.
Nampaknya tiada lagi tempat untuk Indonesia menunjukkan kehebatannya kepada jiran dan saudara rapat mereka yang paling banyak membantu dan menganggap Indonesia sebagai bangsa serumpun yang punya akar budaya yang satu, lalu kesilapan Discovery Channel memberikan kredit kepada Malaysia melalui dokumentari Tarian Pendet telah membuka ruang untuk warga Indonesia serpihan yang buta sejarah dan asal usul budaya serta rendahnya nilai budi dan akhlak ini telah menjadikan isu ini sampai keperingkat hendak berperang dengan Malaysia. Hina sungguh nilai mereka, jelas sekali mereka ini bukan warga Indonesia yang memahami sejarah dan asal-usul negara Malaysia dan Indonesia. Ternyata bukan sahaja lemahnya EQ malah SQ dan MQ yang tidak diurus dengan baik menyebabkan perkara yang terlalu remeh boleh membawa kepada pertumpahan darah.
Rasa rendah diri yang teruk menurut Freud akan menyebabkan manusia mengaktifkan mekanisme beladiri yang negatif. Mereka ini cuba untuk melencongkan kekecewaan, rasa rendah diri teruk dan ego dengan mengambil tindakan yang tidak dapat diterima akal logik. Memang jika diteliti golongan yang membuat provokasi untuk melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia majoritinya adalah golongan yang bukan saja rendah dan lemah EQ, SQ dan MQ malah lebih teruk adalah kumpulan yang rendah tahap pendidikannya. Satu bangsa besar hanya dapat diwujudkan dengan mendidik warganya ke satu tahap ilmu pengetahuan yang tinggi. Bangsa yang berjiwa kecil sudah tentu hanya memikirkan hal yang kecil yang pada anggapan mereka sangat besar. Saya yakin tiada seorangpun rakyat Malaysia yang sudi mendakwa Tarian Pendet itu budayanya, malah sebahagian besar rakyat Indonesia pun tidak mengetahui tentang tarian tersebut, isunya terlalu kecil..sebesar kuman tapi dianggap sebesar gajah oleh golongan serpihan itu.

No comments: