Sunday, September 20, 2009
Thursday, September 17, 2009
TARIAN PENDET DAN ‘WARGA INDONESIA SERPIHAN’ YANG PENDEK EMOSI
Selepas lebih 40 tahun slogan `Ganyang Malaysia’ nampaknya sebahagian warga Indonesia masih lagi terperangkap dalam `Mentaliti Big Brother’ nya. Golongan ini ternyata cuba menutup hati dan fikiran mereka mengenai fakta bahawa `adiknya’ telah jauh lebih maju dan berjaya. Pengurusan ekonomi, pentadbiran dan pembangunan yang dicapai oleh adik dianggap ancaman kepada maruah dan kredibiliti kepada abang. Kalau dulu Indonesia berjaya mengatasi rasa rendah dirinya yang teruk dengan membesar-besarkan kehebatan mereka dalam bidang sukan. Dalam Sukan SEA mereka selalu berada dalam kelompok top 3, dan biasanya akan menjadi juara bila menjadi tuanrumah.(Biasanya negara tuanrumah akan memanipulasi keputusan pertandingan dan penjurian untuk mendapat bilangan pingat emas terbanyak) Dalam sukan badminton misalnya mereka sentiasa saja memperlekehkan Malaysia pada tahun 70an dan 80an, namun kini semuanya telah berubah. Pencapaian Malaysia dalam bidang sukan ternyata telah dapat melenyapkan cakap besar mereka selama ini.
Nampaknya tiada lagi tempat untuk Indonesia menunjukkan kehebatannya kepada jiran dan saudara rapat mereka yang paling banyak membantu dan menganggap Indonesia sebagai bangsa serumpun yang punya akar budaya yang satu, lalu kesilapan Discovery Channel memberikan kredit kepada Malaysia melalui dokumentari Tarian Pendet telah membuka ruang untuk warga Indonesia serpihan yang buta sejarah dan asal usul budaya serta rendahnya nilai budi dan akhlak ini telah menjadikan isu ini sampai keperingkat hendak berperang dengan Malaysia. Hina sungguh nilai mereka, jelas sekali mereka ini bukan warga Indonesia yang memahami sejarah dan asal-usul negara Malaysia dan Indonesia. Ternyata bukan sahaja lemahnya EQ malah SQ dan MQ yang tidak diurus dengan baik menyebabkan perkara yang terlalu remeh boleh membawa kepada pertumpahan darah.
Rasa rendah diri yang teruk menurut Freud akan menyebabkan manusia mengaktifkan mekanisme beladiri yang negatif. Mereka ini cuba untuk melencongkan kekecewaan, rasa rendah diri teruk dan ego dengan mengambil tindakan yang tidak dapat diterima akal logik. Memang jika diteliti golongan yang membuat provokasi untuk melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia majoritinya adalah golongan yang bukan saja rendah dan lemah EQ, SQ dan MQ malah lebih teruk adalah kumpulan yang rendah tahap pendidikannya. Satu bangsa besar hanya dapat diwujudkan dengan mendidik warganya ke satu tahap ilmu pengetahuan yang tinggi. Bangsa yang berjiwa kecil sudah tentu hanya memikirkan hal yang kecil yang pada anggapan mereka sangat besar. Saya yakin tiada seorangpun rakyat Malaysia yang sudi mendakwa Tarian Pendet itu budayanya, malah sebahagian besar rakyat Indonesia pun tidak mengetahui tentang tarian tersebut, isunya terlalu kecil..sebesar kuman tapi dianggap sebesar gajah oleh golongan serpihan itu.
Thursday, August 13, 2009
PERGINYA IKON NASYID MALAYSIA
Bermula dengan Nadamurni, Asri dan Rabbani merupakan perintis hiburan alternatif berimej Islam di tanahair. Dalam usia yang masih muda (40 tahun) Asri kembali mengadap penciptanya persis bait-bait lagunya Pergi Tak Kembali. Kita kehilangan tokoh besar yang boleh dilihat sebagai ikon dalam genre irama nasyid. Sesungguhnya kepulangan beliau sungguh mengejutkan. Masih teringat lagi kenangan sewaktu bersama-sama menunaikan ibadah umrah tahun lalu.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah
Santai di ladang khurma di Madinah.
Bersiap untuk ziarah sekitar Makkah.
Takziah kepada keluarga Allahyarham Us Asri Ibrahim dan Kumpulan Rabbani. Al-Fatihah.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah
Santai di ladang khurma di Madinah.
Bersiap untuk ziarah sekitar Makkah.
Takziah kepada keluarga Allahyarham Us Asri Ibrahim dan Kumpulan Rabbani. Al-Fatihah.
Tuesday, May 5, 2009
PASCA FREUDIAN, PSIKOLOGI ISLAM?
Baru-baru ini, aku sempat menghadiri kursus asas kaunseling yang bertujuan nak melatih anggota Jabatan sebagai pembimbing rakan sekerja. Akronimnya AKRAM, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam. Peserta dari pelbagai latarbelakang akademik memang menjadikan kelas berwarna warni dengan soalan, pandangan dan kritikan. Walaupun aku memang punya asas dalam bidang psikologi, almaklumlah dah tinggalkan U lebih 10 tahun, ilmu yang ada dah berkarat dan hampir reput. Ilmu Tanpa Amal Macam Pokok Yang Tak Berbuah.
Antara yang paling hebat ialah kritikan terhadap Sigmund Freud. Bila penceramah menerangkan bahawa menurut doktrin Freud melaui teorinya, memperkenalkan satu konsep psikodinamik dikenali sebagai libido, iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa dilahirkan. Teori libido ini disebut dengan "hakikat (essence) dari doktrin psikoanalisis". Semua kehebatan budaya manusia, seperti seni, perundangan, agama dll. dipandang sebagai perkembangan libido. Pada bayi aktiviti libido itu ialah menghisap susu ibu, mengisap puting dan mengisap jari. Setelah dewasa libido itu terarah dalam hubungan seksual, atau berupa kreativiti seni, sastera, muzik yang disebut dengan "displacement". Naluri seksual libido ini menurut doktrin Freud adalah sumber dari karya kreatif.
Pengaruh libido ini menurut Freud, suatu doktrin spekulatif yang sangat kontroversial dari psikoanalisis, adalah pertumbuhan perasaan seksual anak terhadap orang tuanya. Bermula dari kenikmatan bayi mengisap puting susu ibunya, dalam diri anak laki-laki perasaannya berkembanglah hasrat seksual terhadap ibunya, membenci ayahnya sebagai saingan, yang disebut oleh Freud dengan Komplex Oedipus. Komplex Elektra pula, berlaku pada kanak-kanak perempuan, yang mempunyai perasaan berahi kepada bapa membenci ibunya sebagai saingan namun mereka terpaksa beridentifikasi dengan ibu atau bapanya. Perasaan ini dipendamkan dan di bawa ke tahap dewasa akan mengakibatkan berlakunya hubungan abnormal seperti sumbang mahram dll.
Bagi menenangkan suasana yang semakin panas, aku minta penceramah menjelaskan mengapa kita perlu belajar teori psikoanalisis Freud ini. Seperti biasa rasional mengapa seseorang kaunselor, psikologist, psikoterapist atau psikiatris perlu belajar teori ini ialah kerana Freud dianggap sebagai bapa kepada psikoterapi moden. Beliaulah orang yang mula-mula memperkenalkan teori topograrikal. Topografikal ialah bentuk akal fikiran yang dibahagikan kepada tiga. Iaitu alam sedar, alam separa sedar dan alam tidak sedar. Freud melalui psikoanalisis juga telah membahagikan personaliti manusia itu kepada tiga struktur iaitu Id, Ego dan Superego.
Dunia psikologi yang dipelopori dan dimonopoli oleh Barat telah menjadikan Freud sebagai titik mula kepada psikologi moden yang saintifik. Psikologi yang bermula sebagai disiplin falsafah di era Rene Descartes(1595- 1650). Ahli falsafah dan pakar matematik Perancis yg memperkatakan tentang manusia terdiri drp ‘gabungan pemikiran dan badan’ atau ‘jasad dan roh’. Menentang pendapat dualisme yg menyatakan manusia terdiri drp jasad yg terpisah drp roh, seterusnya John Locke(1632- 1704) dengan konsep ‘tabula rasa’, iaitu jiwa manusia kosong semasa dilahirkan, dan George Berkeley(1685-1753), akhirnya menemui sentuhan empirikal dan saintifik oleh Sigmund Freud. Justeru dunia psikologi sudah punya asas sama ada nak mengikut atau menentang Freud. Pilihan di tangan kita.
Sebagai seorang Islam, inilah masanya kita kembali mengkaji Psikologi Islam Farabi atau menggali Kaunseling Islam Al-Ghazali. Mutakhir, memang tuntutan menjadikan kaunseling Islam sebagai alternatif semakin jelas dan selari dengan fitrah kejadian manusia yang dijadikan oleh Khaliq yang telah pun menyediakan `manual’ untuk makhluknya sebagai panduan dan ikutan iaitu Al-Quran dan kekasihnya Muhammad SAW sebagai `prototaip’ menjadi manusia sebagai khalifah di dunia.
Thursday, April 16, 2009
KERJAYA POLITIK
Menyambung perbincangan tentang politik dalam posting lepas, hari ini akhbar melaporkan suasana di Bangkok yang semakin pulih selepas penguatkuasaan Undang-undang Darurat, di Indonesia pula Pilihanraya Umum(Pemilu) masih berlangsung. Tertarik dengan laporan calon wanita kalah Pemilu bunuh diri dan dua orang lagi calon wanita mati akibat serangan jantung. Nampaknya semakin ramai yang cenderung menjadi ahli politik kerana ia memperuntukkan pendapatan selesa dan mewah disamping kuasa dan pengaruh. Kesimpulannya menjadi ahli politik merupakan antara kerjaya yang menjadi minat ramai dewasa ini.
Persoalannya adakah semua individu sesuai untuk menjadi ahli politik. Dari sudut psikologi, Teori Minat Kerjaya Holland boleh dijadikan panduan untuk individu memilih kerjaya yang sesuai dengan personaliti mereka. Teori Holland yang merupakan salah satu teori kerjaya yang penting. Fokus teori Holland tertumpu kepada dua faktor iaitu faktor personaliti dan faktor persekitaran. Terdapat 6 jenis personaliti yang dikemukakan oleh Holland (1973;1985) iaitu:
1. Personaliti Realisitik
2. Personaliti Investigatif
3. Personaliti Artistik
4. Personaliti Sosial
5. Personaliti Enterprising
6. Personaliti Conventional
Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan Holland, individu daripada Personaliti jenis Enterprising adalah yang paling sesuai menceburkan diri dalam politik. Personaliti jenis Enterprising sukakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk memanipulasikan orang lain untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu atau keuntungan ekonomi. Mereka sangat bencikan aktiviti berbentuk simbolik dan pemerhatian sistematik. Mereka mempunyai kebolehan dalam kepimpinan, interpersonal dan juga daya pujukan tetapi kurang kebolehan di dalam perkara-perkara saintifik. Sifat-sifat menarik yang terdapat pada diri mereka ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi sesuatu, suka mengembara, bercita-cita tinggi, suka berbahas, ingin menguasai orang lain, suka menonjolkan diri dan suka bercakap.
Apakah anda ingin mengetahui jenis personaliti anda? Ambillah ujian Minat Kerjaya Holland untuk mengenalpasti personaliti kerjaya anda. Sekian. Semoga bermanfaat.
Thursday, March 26, 2009
ISU SEMASA
Banyak yang ditulis ttg politik hari ini. Semakin bayak dibaca semakin bingung kepala memikirkannya. Sepatutnya dengan meledaknya era teknologi maklumat kini, ianya semakin menambah kecerdikan, keintektualan dan pemikiran. Namun semuanya bergantung kepada apa maklumat yang diakses, membawa manfaat atau mudarat. Barangkali org Melayu paling suka berpolitik, bukan politik parti saja, malah dalam semua aspek kehidupan mesti ada politiknya. Orang yang tak berparti pun sangat aktif dalam politik pejabat, persatuan atau NGO. Orang agama pun berpolitik nak merendahkan tokoh lain yang menjadi saingannya. Medan siber nampaknya memungkinkan untuk menyatakan apa saja. Betul atau tidak bukan masalah bagi mereka. Jadikanlah panduan dan niatkan bahawa apa yang ditulis untuk membawa manfaat kepada orang lain. Mungkin dengan cara ini kita dapat mengurangkan perselisihan dan permusuhan..
Subscribe to:
Posts (Atom)