Friday, July 23, 2010

10 Jenis Pemikiran Negatif Yang Mesti Dibuang Dari Minda Anda


1. Berfikir hitam-putih
Berfikir secara hitam-putih itu mudah tapi berbahaya, kerana berfikir secara hitam-putih boleh membuat orang sombong atau sebaliknya mudah menjadikannya putus asa.
Yang dimaksudkan berfikir secara hitam-putih adalah menetapkan batasan pemikiran dengan ukuran-ukuran yang sempit. Cara berfikir seperti ini tidak mengandungi nilai toleransi, tiada nilai timbang rasa dan tiada nilai untuk memudahkan sesuatu. Seorang hakim yang bertugas menegakkan undang-undang di mahkamah sekalipun tidak boleh berfikir secara hitam-putih. Pertimbangan-pertimbangan rasa keadilan selalu berada pada bahagian kelabu yang mempunyai kawasan lebih luas dan tidak terbatas.
Contoh orang yang berfikir hitam-putih adalah orang yang memilih untuk tidak melakukan apa-apa bila dalam keadaan keliru, atau seseorang yang terus tidak mahu berkahwin apabila tidak mampu mendapatkan pasangan idaman hatinya. Ada juga orang yang menghukum satu kesalahan secara maksimum. Ketika dia dibohongi sekali oleh seseorang , maka dia tidak mempercayai orang itu selama-lamanya.
2. Mengeneralisasi secara berlebihan
Berfikir secara general bermakna melihat perkara kecil atau sebahagian dari sesuatu dan menganggapnya sebagai keseluruhan.
Kata yang digunakan biasanya, “selalu” dan “tidak pernah”
Cara berfikir dengan mengeneralisasi membuat orang menjadi mudah menyalahkan, menganggap remeh, tapi juga boleh mengandaikan sesuatu secara berlebihan. Sebagai contoh, ketika seorang suami pada suatu hari mendapati isterinya terlambat menyiapkan sarapan dibandingkan hari yang lain, maka dia dengan mudah mengatakan bahawa isterinya “selalu” lambat menyiapkan sarapan, atau “tidak pernah” tepat waktu menyiapkan sarapan.
Begitu juga dengan pemikiran-pemikiran perkauman, seperti misalnya orang “suku” ini begini dan “bangsa” ini begitu adalah juga pemikiran yang mengeneralisasi. Pertikaian dan permusuhan antara kelompok biasanya bersumber dari pemikiran negatif mengeneralisasi.
3. Perkara negatif mengalahkan yang positif
Anda memilih suatu bahagian yang negatif dan memikirkannya secara khusus dan mendalam, sedangkan bahagian yang positif dilupakan.
Sebagai contoh ketika anda menerima banyak komen yang positif tentang hasil pekerjaan anda dari kawan-kawan di pejabat, maka anda merasa bahagia sekali dan terlambung. Tetapi ketika ada satu kritikan dari salah satu kawan yang sampai ke telinga, anda lalu menjadi murung dan memikirkannya berhari-hari dan anda merasa menjadi tidak sempurna. Dan anda melupakan perkara-perkara positif yang sudah anda dengar.

4. Diskaun untuk perkara positif
Anda menolak pengalaman-pengalaman positif dan tidak pernah memberikan reaksi. Biasanya orang yang berfikiran negatif seperti ini tidak mudah memuji dan menganggap remeh kebaikan orang lain.
Jika anda melihat orang lain melakukan suatu pekerjaan yang baik, anda katakan kepada diri anda bahawa itu perkara biasa dan siapa pun boleh melakukan perkara seperti itu. Memotong makna positif dari suatu perbuatan baik akan membuat anda orang yang tidak bahagia, kerana selalu merasa tidak cukup dan bersyukur.
5. Terlalu cepat mengambil kesimpulan
Anda menginterpretasikan perkara-perkara secara negatif ketika tidak ada fakta-fakta yang menyokong kesimpulan anda. Fikiran anda secara sewenang-wenangnya, tanpa penyelidikan yang mendalam, menyimpulkan bahawa seseorang sedang melakukan perkara negatif terhadap anda.
Orang dengan mudah meramalkan sesuatu perkara akan berakibat sangat buruk. Contohnya ketika seseorang sedang menghadapi suatu ujian dan merasa belum bersedia, maka dia berfikir bahawa pasti gagal dan tidak akan lulus ujian tersebut. Padahal dia belum mengetahui soalan-soalan yang akan dijawabnya.
6. Pemikiran hiperbola atau melebih-lebihkan.
Anda melebih-lebihkan pentingnya permasalahan dan kelemahan anda, atau anda terlalu memperkecilkan pentingnya kualiti yang dikehendaki.
Keadaan tidak seimbang di dalam pemikiran juga boleh mengakibatkan seseorang melupakan sudut-sudut lain yang semestinya mendapatkan perhatian yang sama. Penyakit jiwa seperti fobia terhadap sesuatu termasuk dalam jenis ini.
7. Penaakulan Secara Emosional
Anda berandaian bahawa emosi anda yang negatif selalu mencerminkan perkara yang benar-benar akan terjadi.
Sebagai contoh ketika anda sedang menaiki kapal terbang dan anda merasa hati anda tidak sedap, maka dalam hati anda berkata, "Aku merasakan ketakutan di dalam kapal terbang ini. Ini pasti menandakan bahawa sangat berbahaya untuk terbang ketika ini." Atau pemikiran seperti, "Aku merasa berdosa bermakna aku adalah orang yang jahat" atau, "Aku berasa marah, ini membuktikan bahawa aku sedang diperlakukan dengan tidak adil."
Penaakulan emosional ini belum tentu benar apabila di dalam kenyataan, fakta dan bukti tidak mengarah kepada perkara itu. Ketika muncul perasaan takut di dalam kapal terbang, bukan bermakna kapal terbang yang anda tumpangi akan benar-benar mengalami kemalangan, mungkin anda memang mengidap fobia ketinggian.
8. Memaksakan suatu keadaan
Penggunaan kata “semestinya”, “perlu” dengan harapan sesuatu menjadi seperti yang anda harapkan, boleh mengakibatkan putus asa dan kekecewaan.
Ketika anak anda yang sedang berlatih bermain alat muzik dengan tekun. Tetapi ketika anda melihat latihannya dia melakukan banyak kesilapan. Anda berkata padanya, “Sepatutnya kamu tidak melakukan banyak kasalahan dengan masa latihan yang sudah berjalan berbulan lamanya ini.” Padahal di hari-hari latihan sebelumnya anak anda sedikit sekali melakukan kesalahan, hanya ketika anda ikut menonton dia menjadi gugup, dan anda sudah mengeluarkan komen yang boleh membuatnya kecewa.
9. Label-label negatif yang menghukum
Label-label yang negatif berupa gelaran atau jolokan buruk atas sesuatu perbuatan adalah sebuah pemikiran negatif yang paling ekstrim.
Ketika seseorang melakukan suatu kesalahan misalnya dia menumpahkan makanan dalam sebuah majlis, lalu beberapa orang menyebutnya, “kalut”, lalu label itu melekat padanya selama-lamanya. Maka dia sudah menjadi pesakit dalam penjara label tersebut. Dia akan sukar untuk menampakkan kebaikannya, kerana tidak diperhatikan oleh orang lain, sedangkan dia sukar menyembunyikan keburukannya kerana selalu dicari-cari oleh orang lain.
Pemberian label seperti “si kalut”, “otak penjenayah”, dan lain-lain hanya akan membuat orang yang diberi label tersebut betul-betul menjadi kecewa dan tidak boleh memperbaiki keadaannya, dan semakin terlekat dalam keburukan sifatnya.
10. Menyalahkan secara personal atau bahagian tertentu
Yang dimaksudkan menyalahkan secara personal adalah meletakkan suatu kesalahan yang menyebabkan keadaan yang buruk kepada satu orang saja, padahal masih ada orang lain yang mungkin menyumbang kepada kesalahan tersebut.
Menyalahkan diri sendiri saja atau menyalahkan orang lain saja, termasuk ke dalam kategori ini. Sebagai contoh seorang ibu yang mendapat berita dari sekolah bahawa anaknya mendapat markah rendah dalam sesuatu matapelajaran. Si ibu, tanpa melihat sebab-musababnya, langsung menyalahkan anaknya, atau dia akan menyalahkan diri sendiri dan menganggap dirinya bukan orang tua yang baik, atau dia akan menyalahkan guru atau sistem di sekolah.
Menyalahkan secara personal hanya akan mengakibatkan kemarahan dan putus asa bagi pihak yang disalahkan dan kelalaian dari pihak yang menyalahkan, kerana tidak menyedari kesalahan diri sendiri. Yang lebih buruk lagi adalah menyalahkan keadaan kerana tidak akan ada pemikiran untuk mencari penyelesaian apabila semua orang menyalahkan keadaan yang bersifat pasif dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Yang perlu diberi perhatian ialah akibat buruk dari pemikiran-pemikiran negatif tersebut. Caranya dengan perlahan menurunkan kadar pemikiran negatif di fikiran anda. Mungkin dengan berdoa kepada Tuhan untuk kebaikan orang yang difikirkan secara negatif oleh anda atau anda melihat kepada diri anda sendiri bahawa anda pun mungkin akan berada pada posisinya.
Namun apabila ternyata akibatnya sukar untuk dirasionalkan dalam fikiran anda, bermakna anda mesti segera menggantikan pemikiran-pemikiran negatif dengan pemikiran-pemikiran positif – lawan terus dari pemikiran-pemikiran negatif itu.
Ingatlah pemikiran-pemikiran negatif yang dipelihara lama di dalam diri anda, akan semakin sukar untuk diseimbangkan atau digantikan dengan pemikiran positif ketika anda semakin menjadi tua.