Monday, August 2, 2010
TIPS MENGHILANGKAN FIKIRAN NEGATIF
Perkara yang paling mengganggu dan memberi impak negatif dalam kehidupan kita sebenarnya berasal dari pandangan buruk terhadap diri kita sendiri. Kadang-kadang kita terlalu keras menghukum dan merendahkan diri kita sendiri terhadap kejadian-kejadian buruk yang menimpa diri kita atau pun orang lain.
Berikut ada beberapa Tips menghilangkan sifat negatif tersebut :
HIDUP PADA MASA INI.
Memikirkan masa lalu atau masa depan adalah perkara yang sering membuat kita cemas. Jarang sekali kita panik kerana kejadian masa sekarang. Jika anda mendapati fikiran anda terkurung dalam apa yang telah terjadi atau apa yang belum terjadi, ingatlah bahawa hanya masa kini yang dapat kita kawal.
KATAKAN PERKARA POSITIF PADA DIRI SENDIRI
Katakan pada diri anda bahawa anda kuat, anda mampu. Ucapkan perkara tersebut terus-menerus, bilapun. Terutama, mulakan hari dengan mengatakan perkara positif tentang diri sendiri dan hari tersebut, tidak kisah jika hari padavtersebut anda perlu mengambil keputusan sukar ataupun anda tidak meyakini apa yang telah anda katakan pada diri sendiri.
YAKIN PADA KEKUATAN FIKIRAN POSITIF
Jika anda berfikir positif, perkara-perkara positif akan datang dan kesukaran-kesukaran akan terasa lebih ringan. Sebaliknya, jika anda berfikiran negatif, perkara-perkara negatif akan menimpa anda. Perkara ini adalah hukum universal, seperti hukum graviti atau pertukaran tenaga. Tidak mudah untuk mengubah pola fikir anda, namun usahanya sebanding dengan hasil yang boleh anda petik.
JANGAN BERDIAM DIRI.
Telusuri apa yang membuat anda berfikiran negatif, perbaiki, dan kembali bergerak maju. Jika perkara tersebut tidak boleh diperbaiki lagi, berhenti mengeluh dan menyesal kerana perkara itu hanya akan menghabiskan waktu dan tenaga anda, juga membuat anda merasa tambah buruk. Terimalah apa yang telah terjadi, petik hikmah/pelajaran dari perkara tersebut, dan kembali bergerak maju.
FOKUS PADA PERKARA-PERKARA POSITIF.
Ketika kita sedang sedang berfikiran negatif, seringkali kita lupa akan apa yang kita miliki dan lebih berfokus pada apa yang tidak kita miliki. Buatlah sebuah jurnal rasa syukur. Tidak masalah waktunya, tiap hari tulislah lima enam perkara positif yang terjadi pada hari tersebut. Perkara positif itu boleh berupa perkara-perkara besar ataupun sekadar perkara-perkara kecil seperti 'hari ini cerah' atau 'makan tengah hari ini menakjubkan'. Selagi anda tetap konsisten melakukan kegiatan ini, perkara ini mampu mengubah pemikiran negatif anda menjadi suatu pemikiran positif. Dan ketika anda mulai merasa berfikiran negatif, baca kembali jurnal tersebut.
BERGERAKLAH
Bersenam melepaskan endorphin yang mampu membuat perasaaan anda menjadi lebih baik. Apakah itu sekadar berjalan mengelilingi halangan ataupun berlari sepuluh kilometer, aktiviti fizikal akan membuat diri kita merasa lebih baik. Ketika anda merasa down, aktiviti senaman lima belas minit dapat membuat anda merasa lebih baik.
HADAPI RASA TAKUT
Perasaan negatif muncul dari rasa takut, makin takut anda akan hidup, makin banyak fikiran negatif dalam diri anda. Jika anda takut akan sesuatu, lakukan sesuatu itu. Rasa takut adalah bahagian dari hidup namun kita memiliki pilihan untuk tidak membiarkan rasa takut menghentikan kita.
CUBA PERKARA-PERKARA BARU
Mencuba perkara-perkara baru juga dapat meningkatkan rasa yakin diri. Dengan mengatakan "ya" pada kehidupan anda, membuka lebih banyak kesempatan untuk berkembang. Jauhi fikiran 'ya, tapi...'. Pengalaman baru, kecil atau besar, membuat hidup terasa lebih menyenangkan dan berguna.
UBAH CARA PANDANG
Ketika sesuatu tidak berjalan dengan baik, cari cara untuk melihat perkara tersebut dari sudut pandang yang lebih positif. Dalam setiap cabaran terdapat keuntungan, dalam setiap keuntungan terdapat cabaran.
Friday, July 23, 2010
10 Jenis Pemikiran Negatif Yang Mesti Dibuang Dari Minda Anda
1. Berfikir hitam-putih
Berfikir secara hitam-putih itu mudah tapi berbahaya, kerana berfikir secara hitam-putih boleh membuat orang sombong atau sebaliknya mudah menjadikannya putus asa.
Yang dimaksudkan berfikir secara hitam-putih adalah menetapkan batasan pemikiran dengan ukuran-ukuran yang sempit. Cara berfikir seperti ini tidak mengandungi nilai toleransi, tiada nilai timbang rasa dan tiada nilai untuk memudahkan sesuatu. Seorang hakim yang bertugas menegakkan undang-undang di mahkamah sekalipun tidak boleh berfikir secara hitam-putih. Pertimbangan-pertimbangan rasa keadilan selalu berada pada bahagian kelabu yang mempunyai kawasan lebih luas dan tidak terbatas.
Contoh orang yang berfikir hitam-putih adalah orang yang memilih untuk tidak melakukan apa-apa bila dalam keadaan keliru, atau seseorang yang terus tidak mahu berkahwin apabila tidak mampu mendapatkan pasangan idaman hatinya. Ada juga orang yang menghukum satu kesalahan secara maksimum. Ketika dia dibohongi sekali oleh seseorang , maka dia tidak mempercayai orang itu selama-lamanya.
2. Mengeneralisasi secara berlebihan
Berfikir secara general bermakna melihat perkara kecil atau sebahagian dari sesuatu dan menganggapnya sebagai keseluruhan.
Kata yang digunakan biasanya, “selalu” dan “tidak pernah”
Cara berfikir dengan mengeneralisasi membuat orang menjadi mudah menyalahkan, menganggap remeh, tapi juga boleh mengandaikan sesuatu secara berlebihan. Sebagai contoh, ketika seorang suami pada suatu hari mendapati isterinya terlambat menyiapkan sarapan dibandingkan hari yang lain, maka dia dengan mudah mengatakan bahawa isterinya “selalu” lambat menyiapkan sarapan, atau “tidak pernah” tepat waktu menyiapkan sarapan.
Begitu juga dengan pemikiran-pemikiran perkauman, seperti misalnya orang “suku” ini begini dan “bangsa” ini begitu adalah juga pemikiran yang mengeneralisasi. Pertikaian dan permusuhan antara kelompok biasanya bersumber dari pemikiran negatif mengeneralisasi.
3. Perkara negatif mengalahkan yang positif
Anda memilih suatu bahagian yang negatif dan memikirkannya secara khusus dan mendalam, sedangkan bahagian yang positif dilupakan.
Sebagai contoh ketika anda menerima banyak komen yang positif tentang hasil pekerjaan anda dari kawan-kawan di pejabat, maka anda merasa bahagia sekali dan terlambung. Tetapi ketika ada satu kritikan dari salah satu kawan yang sampai ke telinga, anda lalu menjadi murung dan memikirkannya berhari-hari dan anda merasa menjadi tidak sempurna. Dan anda melupakan perkara-perkara positif yang sudah anda dengar.
4. Diskaun untuk perkara positif
Anda menolak pengalaman-pengalaman positif dan tidak pernah memberikan reaksi. Biasanya orang yang berfikiran negatif seperti ini tidak mudah memuji dan menganggap remeh kebaikan orang lain.
Jika anda melihat orang lain melakukan suatu pekerjaan yang baik, anda katakan kepada diri anda bahawa itu perkara biasa dan siapa pun boleh melakukan perkara seperti itu. Memotong makna positif dari suatu perbuatan baik akan membuat anda orang yang tidak bahagia, kerana selalu merasa tidak cukup dan bersyukur.
5. Terlalu cepat mengambil kesimpulan
Anda menginterpretasikan perkara-perkara secara negatif ketika tidak ada fakta-fakta yang menyokong kesimpulan anda. Fikiran anda secara sewenang-wenangnya, tanpa penyelidikan yang mendalam, menyimpulkan bahawa seseorang sedang melakukan perkara negatif terhadap anda.
Orang dengan mudah meramalkan sesuatu perkara akan berakibat sangat buruk. Contohnya ketika seseorang sedang menghadapi suatu ujian dan merasa belum bersedia, maka dia berfikir bahawa pasti gagal dan tidak akan lulus ujian tersebut. Padahal dia belum mengetahui soalan-soalan yang akan dijawabnya.
6. Pemikiran hiperbola atau melebih-lebihkan.
Anda melebih-lebihkan pentingnya permasalahan dan kelemahan anda, atau anda terlalu memperkecilkan pentingnya kualiti yang dikehendaki.
Keadaan tidak seimbang di dalam pemikiran juga boleh mengakibatkan seseorang melupakan sudut-sudut lain yang semestinya mendapatkan perhatian yang sama. Penyakit jiwa seperti fobia terhadap sesuatu termasuk dalam jenis ini.
7. Penaakulan Secara Emosional
Anda berandaian bahawa emosi anda yang negatif selalu mencerminkan perkara yang benar-benar akan terjadi.
Sebagai contoh ketika anda sedang menaiki kapal terbang dan anda merasa hati anda tidak sedap, maka dalam hati anda berkata, "Aku merasakan ketakutan di dalam kapal terbang ini. Ini pasti menandakan bahawa sangat berbahaya untuk terbang ketika ini." Atau pemikiran seperti, "Aku merasa berdosa bermakna aku adalah orang yang jahat" atau, "Aku berasa marah, ini membuktikan bahawa aku sedang diperlakukan dengan tidak adil."
Penaakulan emosional ini belum tentu benar apabila di dalam kenyataan, fakta dan bukti tidak mengarah kepada perkara itu. Ketika muncul perasaan takut di dalam kapal terbang, bukan bermakna kapal terbang yang anda tumpangi akan benar-benar mengalami kemalangan, mungkin anda memang mengidap fobia ketinggian.
8. Memaksakan suatu keadaan
Penggunaan kata “semestinya”, “perlu” dengan harapan sesuatu menjadi seperti yang anda harapkan, boleh mengakibatkan putus asa dan kekecewaan.
Ketika anak anda yang sedang berlatih bermain alat muzik dengan tekun. Tetapi ketika anda melihat latihannya dia melakukan banyak kesilapan. Anda berkata padanya, “Sepatutnya kamu tidak melakukan banyak kasalahan dengan masa latihan yang sudah berjalan berbulan lamanya ini.” Padahal di hari-hari latihan sebelumnya anak anda sedikit sekali melakukan kesalahan, hanya ketika anda ikut menonton dia menjadi gugup, dan anda sudah mengeluarkan komen yang boleh membuatnya kecewa.
9. Label-label negatif yang menghukum
Label-label yang negatif berupa gelaran atau jolokan buruk atas sesuatu perbuatan adalah sebuah pemikiran negatif yang paling ekstrim.
Ketika seseorang melakukan suatu kesalahan misalnya dia menumpahkan makanan dalam sebuah majlis, lalu beberapa orang menyebutnya, “kalut”, lalu label itu melekat padanya selama-lamanya. Maka dia sudah menjadi pesakit dalam penjara label tersebut. Dia akan sukar untuk menampakkan kebaikannya, kerana tidak diperhatikan oleh orang lain, sedangkan dia sukar menyembunyikan keburukannya kerana selalu dicari-cari oleh orang lain.
Pemberian label seperti “si kalut”, “otak penjenayah”, dan lain-lain hanya akan membuat orang yang diberi label tersebut betul-betul menjadi kecewa dan tidak boleh memperbaiki keadaannya, dan semakin terlekat dalam keburukan sifatnya.
10. Menyalahkan secara personal atau bahagian tertentu
Yang dimaksudkan menyalahkan secara personal adalah meletakkan suatu kesalahan yang menyebabkan keadaan yang buruk kepada satu orang saja, padahal masih ada orang lain yang mungkin menyumbang kepada kesalahan tersebut.
Menyalahkan diri sendiri saja atau menyalahkan orang lain saja, termasuk ke dalam kategori ini. Sebagai contoh seorang ibu yang mendapat berita dari sekolah bahawa anaknya mendapat markah rendah dalam sesuatu matapelajaran. Si ibu, tanpa melihat sebab-musababnya, langsung menyalahkan anaknya, atau dia akan menyalahkan diri sendiri dan menganggap dirinya bukan orang tua yang baik, atau dia akan menyalahkan guru atau sistem di sekolah.
Menyalahkan secara personal hanya akan mengakibatkan kemarahan dan putus asa bagi pihak yang disalahkan dan kelalaian dari pihak yang menyalahkan, kerana tidak menyedari kesalahan diri sendiri. Yang lebih buruk lagi adalah menyalahkan keadaan kerana tidak akan ada pemikiran untuk mencari penyelesaian apabila semua orang menyalahkan keadaan yang bersifat pasif dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Yang perlu diberi perhatian ialah akibat buruk dari pemikiran-pemikiran negatif tersebut. Caranya dengan perlahan menurunkan kadar pemikiran negatif di fikiran anda. Mungkin dengan berdoa kepada Tuhan untuk kebaikan orang yang difikirkan secara negatif oleh anda atau anda melihat kepada diri anda sendiri bahawa anda pun mungkin akan berada pada posisinya.
Namun apabila ternyata akibatnya sukar untuk dirasionalkan dalam fikiran anda, bermakna anda mesti segera menggantikan pemikiran-pemikiran negatif dengan pemikiran-pemikiran positif – lawan terus dari pemikiran-pemikiran negatif itu.
Ingatlah pemikiran-pemikiran negatif yang dipelihara lama di dalam diri anda, akan semakin sukar untuk diseimbangkan atau digantikan dengan pemikiran positif ketika anda semakin menjadi tua.
Monday, May 17, 2010
MACAM MANA NAK KALAHKAN CHINA?
Hebat sungguh team China yang mengalahkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Thomas edisi 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Komen Ketua Jurulatihnya Lee Yong Bo yang terkenal dengan angkuh dan cakap besarnya ialah China pasukan serba sempurna. Betul ke dan susah sangat ke nak kalahkan mereka? Mungkin susah, tapi bukan mustahil. Buktinya pasukan Piala Uber Korea Selatan mampu 'mengajar' team Yong Bo yang kononnya sempurna dengan keputusan hampir-hampir 3-0 kalaulah tidak kerana kecederaan yang dialami oleh perseorangan kedua Korea Selatan, Sung Ji Hyun
Jawapan yang amat mudah kepada kejayaan China dan Korea Selatan ialah pada kata-kata hikmat 'Kami Boleh'. You're what you think. Minda pemain China dan Korea telah disetkan bahawa mereka adalah juara. Penampilan mereka penuh dengan keyakinan dan emosi mereka sungguh fokus. Riak wajah cukup jelas menunjukkan mereka langsung tiada rasa rendah diri atau takut menghadapi lawan. Semangat juang mereka sentiasa membara.
Di sebalik semua itu, rasanya skuad Malaysia masih lagi mengharapkan kudrat zahir semata-mata untuk meraih kemenangan. Sepatutnya aspek psikologi yang dapat memperkuat mental pemain perlu diberi perhatian serius. Dalam gelanggang permainan bukan sekadar berlawan kekuatan fizikal, mental dan emosi sebenarnya yang menentukan kemenangan. Lihatlah bagaimana Lin Dan menganggu emosi dan fokus pihak lawan dengan aksinya. Saya masih ingat sewaktu Lee Yong Bo dan Tian Bing Yi bermain dulu, jika beliau melihat keyakinan lawan amat tinggi, pelbagai taktik digunakan antaranya membuka kasut dan berpura-pura sakit hingga perlawanan tertangguh lebih 10 minit yang akhirnya menghilangkan mood dan fokus pihak lawan.
Kesimpulannya Malaysia perlu berubah untuk melahirkan pemain yang hebat 'luar dan dalam'. Pendekatan Psikologi sukan perlu diberi tempat yang utama di dalam memastikan negara tidak akan berputih mata lagi. Kita juga boleh jika kita berfikir kita adalah Juara!
Subscribe to:
Posts (Atom)