Wednesday, October 31, 2007

TITANIC REALITI PELAYARAN KEHIDUPAN

Filem Titanic diterbitkan semula dalam bentuk 3D. Sesungguhnya kehidupan adalah satu putaran. Sejarah terus berulang dalam kehidupan, maka kita kembalikan ingatan dan renungan erti sebuah pelayaran kehidupan...
Hidup adalah sebuah perjalanan, bermula dari titik permulaan ke satu destinasi bernama kematian. Umpama pelayaran sebuah kapal yang akan berlabuh di destinasi akhirnya. Pernahkah anda menonton filem Titanic, kisah pelayaran kapal paling gah dan hebat sehingga dianggap sebagai ’unsinkable’ kerana keangkuhan pembinanya. Sesungguhnya hidup penuh dengan ketidakpastian, kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui seluruh perjalanan kehidupan makhlukNya. Sesungguhnya banyak yang boleh kita pelajari dan renungi melalui kisah pelayaran tragis tersebut. Ia adalah gambaran kehidupan manusia yang penuh dengan kelemahan, emosi, kegembiraan, kemegahan, cinta dan kematian yang pasti.

Tepat pada hari kita dilahirkan, kita semua adalah Titanic yang SEDANG tenggelam, memulakan perjalanan menuju kematian. Masalahnya adalah kita tidak pernah tahu berapa banyak bahagian daripada kapal kehidupan kita yang masih berada di atas air. Sudahkah kita merancang cara menyelamatkan diri? Bagaimana caranya kita akan keluar dari kapal itu? Ada sebuah pepatah kuno di India:

"Perkara yang paling menakjubkan di dunia ini adalah kita semua hidup seolah-olah kita masih akan hidup esok pagi."

Pada suatu hari nanti, kita tidak akan hidup lagi dan bahagian yang menakutkan adalah 'esok' itu mungkin saja bererti betul-betul esok! Semoga kita dapat menghargai hidup ini dan sedar betapa pentingnya melampaui hidup dan mati, hari ini. Betul, sedarilah perkara itu hari ini juga! Kerana esok mungkin sudah terlambat.

Ya, kita sudah pernah mendengar nasihat semacam ini ribuan kali. Jadi, apakah yang ini akan menjadi satu nasihat lagi seperti yang sudah-sudah? Kita sendiri yang menentukan. Anda boleh mulai serius memikirkannya ketika ini juga, atau esok...???

Memang Titanic adalah sebuah impian ..impian yang sangat jauh kehadapan .. dan terlalu awal untuk diwujudkan ..
Tetapi ada perkara positif dimana generasi sekarang mengambil dan mendapatkan pelajaran yang berharga tentangnya ..
semua buah pemikiran yang jauh melampaui masanya memang selalu membawa bencana, baik untuk orang lain mahupun pencipta maha karya itu sendiri.
Tapi memang itu diperlukan oleh manusia untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
Perancang Titanic tidak menemukan kelemahan pada rekabentuk kapalnya, tetapi kemampuan fabrikasi bahan logam tidak mampu mengimbanginya ..

Keegoan penciptanya yang menganggap ia sebagai kapal terhebat walaupun telah diketahui laluan kapal tersebut akan merempuh ‘iceberg’. Namun keangkuhan yang mendakwa Titanic ‘unsinkable’ akhirnya membuktikan manusia tidak punya kekuatan dan kesempurnaan mutlak. Ia milik Yang Maha Agung.




Apa yang lebih bermakna daripada kisah cinta dalam filem Titanic, adalah bagaimana watak yang berbeza-beza mendepani wajah kematian yang mendekat:

1. Perancang kapal kelihatan merasa bersalah, dia sedih dan menyesal, merenungkan kesalahan yang telah dibuat, dan membiarkan yang lain berlari ke perahu penyelamat.

2. Nakhoda kelihatan penuh dengan keterikatan, terjebak oleh reputasinya yang rosak dan mimpi indah persaraannya yang hancur. Dia memegang topinya, tidak cuba menyelamatkan diri, berdiam diri menunggu kematian. Terlalu angkuh?

3. Penjahat sungguh tetap tidak bermoral, cuba
menyuap dan menipu untuk menyelamatkan diri sendiri.

4. Petugas tidak sanggup lagi menahan beratnya tekanan ketika cuba mententeramkan keadaan.
Dia terpaksa menembak salah seorang penumpang yang tidak mengikut arahan. Merasa menyesal dan tak berdaya, dia menembak dirinya sendiri!

5. Ada juga orang-orang yang terus terjun ke laut berenang mengejar perahu penyelamat yang sudah bergerak.

6. Ada juga mereka yang berdoa dengan penuh semangat memohon pertolongan.

7. Orang biasa, saling berebut untuk dapat masuk ke dalam perahu penyelamat.

8. Jack dan Rose tidak mahu melepaskan antara satu sama lain, tetap tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka! Betapa egoisnya cinta buta itu.

9. Sekelompok pemain muzik yang membuat sejarah dengan terus memainkan muzik hingga mati di tengah orang-orang yang panik.

Jadi persoalannya adalah: jika anda berada di dalam Titanic pada malam itu, apakah tindakan anda? Adakah anda menganggap tindakan itu tepat? Apanya yang tepat? Titanic merupakan bencana besar yang nyata.
Ia merupakan satu-satunya kapal dalam sejarah yang didakwa tidak boleh tenggelam, namun ia karam dalam pelayarannya yang pertama. Apa hubungannya dengan kita?

Dari kisah nyata itu kita belajar bahawa dalam keadaan normal, setiap orang kelihatan baik, ramah, bersahabat, sukar untuk mengetahui siapa yang sebenarnya berwatak baik atau buruk. Namun ketika krisis melanda, pada ketika itulah, sifat sebenar setiap orang muncul! Ibarat banjir yang menimbulkan semua kotoran, demikian pula kesusahan dan kemalangan akan muncul dengan jelas siapa yang baik dan siapa yang kurang baik. Dalam keadaan krisis, watak sebenar setiap orang akan kelihatan lebih nyata. Ini boleh kita amati dalam kehidupan sehari-hari, orang-orang di sekitar kita, termasuk diri kita sendiri.



Pelajaran penting lainnya adalah banyak di antara kita yang merasa dirinya Titanic: kita seringkali berfikir seolah kita tidak akan mati. Kita merasa tidak dapat dikalahkan oleh usia, penyakit, dan kematian, tidak terkalahkan melawan Hukum Kesementaraan. Kesementaraan tidak untuk dibicarakan tetapi untuk dihayati sampai ke sumsum tulang. Kematian yang mendekat merupakan motivasi paling kuat bagi kita untuk mencapai keadaan yang mengatasi kematian.

Realitinya filem Titanic bukan sekadar paparan sejarah dan kreativiti penerbitnya, malah ia menjangkaui erti kehidupan manusia dalam ruanglingkup yang lebih luas. Pengalaman penulis mendepani kematian mereka yang begitu rapat dan penuh kasih sayang sesungguhnya menimbulkan emosi kesedihan yang meninggalkan parut kekal di hati. Kematian selalu akan berteman dengan air mata. Airmata itu kadangkala laju, adakala perlahan menuruni denai wajah. Bila teringat sejarah lepas bersama si mati, makin terasa longlainya diri, fikiran, rasa dan emosi. Jiwa yang menghargai sebuah ikatan. Ikatan yang terlerai setelah berlakunya kematian.

Bermula dengan kepulangan ibu tercinta pada 30 Mac 2006, diikuti pemergian bapa mertua pada 25 Julai 2007 dan terbaru abah menyahut panggilan PenciptaNya pada 15 Oktober 2007 meninggalkan ruang kosong di jiwa yang pastinya tidak akan terisi sampai bila-bila pun. Semoga Allah menerima mereka dengan penuh kasih, diampun dosa dan dicucuri dengan rahmatNya. ~Al-fatihah~

(Sebahagian tulisan ini diadaptasi daripada http://edy-chandra.blogspot.com)

Monday, October 22, 2007

DUA KEPULANGAN

Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri. Kali terakhir penulis membuat posting ialah pada hari pelancaran Soyuz ke angkasa lepas yang membawa Angkasawan pertama negara, dan hari ini Dr Sheikh Muszaphar telah pun pulang ke bumi dengan selamat dan telah menjayakan misi tersebut dengan cemerlang. Sesungguhnya kepulangan beliau adalah sangat bererti kepada catatan sejarah negara. Pergi dan pulang adalah putaran kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap insan. Begitu juga dengan kehidupan, ketika roh meninggalkan alamnya untuk berkelana di bumi, pengembaraan itu juga pasti akan tiba ke titik penghujungnya dan kita akan pulang semula ke tempat asalnya.

Berapa lama tempoh pengembaraan manusia di bumi telah ditentukan oleh Maha Pencipta, begitulah takdir kehidupan seorang manusia yang kami panggil Abah, manusia yang menjadi penyebab kewujudan kami anak-anaknya di dunia ini telah sampai kepada hari terakhir perjalanan hidupnya di dunia pada 03 Syawal 1428 bersamaan Hari Isnin 15 Oktober 2007. Setelah menderita sakit hampir 4 bulan, beliau telah kembali untuk bersama emak di alam barzah. Hajat beliau untuk dikebumikan bersebelahan pusara emak akhirnya menjadi kenyataan. Bagi pihak seluruh keluarga, penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam urusan pengkebumian serta turut sama berkongsi kesedihan dan kehilangan beliau, marilah kita sama-sama bermohon ke hadrat Allah SWT semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah Amin.

Thursday, October 11, 2007

KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT

Hari ini seluruh media utama negara samada media cetak mahupun elektronik memberikan liputan paling utama di atas kejayaan negara menghantar angkasawan ke angkasalepas. Berikut penulis kutip laporan daripada http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20071011013007/Article/index_html untuk tatapan dan catatan sejarah negara. Sesungguhnya tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan kegembiraan, keharuan, keterujaan seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan ini.

Sejarah gemilang Malaysia
Oleh A Halim Yusof di Kazakhstan




SEJARAH NEGARA: Kapal angkasa Soyuz TMA-11 berlepas dari pangkalan Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, malam tadi.



Impian jadi realiti apabila Soyuz 15-S bawa angkasawan pertama negara dilancar malam tadi

IMPIAN Malaysia untuk meneroka angkasa lepas yang dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti apabila kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, selamat dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome di sini, malam tadi.

Pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa kapal angkasa itu ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tepat jam 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia), mencatat satu lagi kegemilangan dalam lipatan sejarah negara di peringkat antarabangsa.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, juga mencatat sejarah sebagai angkasawan Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.

Selain Dr Sheikh Muszaphar Shukor, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Di Malaysia, seluruh rakyat menyaksikan detik bersejarah itu menerusi siaran langsung di semua saluran televisyen utama serta beberapa skrin yang ditempatkan di lokasi strategik di ibu negara dan beberapa bandar besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyaksikan kejayaan yang dicapai anak muda dari Seremban itu pada majlis khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, menteri Kabinet dan 280 pelajar.

MISI ANGKASAWAN: Imej dari NASA TV. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Yuri Malenchenko









Hadir sama ialah bekas angkasawan Amerika Syarikat, Kapten Robert Gibson, yang turut menjelaskan kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek teknikal pelancaran kapal angkasa itu.

Sebelum itu, majlis berbuka puasa, solat tarawih serta solat hajat diadakan bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan misi berkenaan.

Pelancaran bermula dengan pelepasan empat pelonjak utama roket yang dipadankan dengan bendera Malaysia dan 29 saat kemudian SoyuzTMA-11 membelah langit cerah Baikonur dan mempesonakan mereka yang menyaksikannya.

Sembilan minit selepas pelancaran, roket berkenaan mencapai ketinggian 200 kilometer dari bumi dan pegawai di pusat kawalan utama berhampiran Moscow berkata: “Kapal angkasa TMA-11 berada di orbit.”

Kakitangan di pusat kawalan itu berjabat tangan, manakala visual Dr Sheikh Muszaphar dengan Jalur Gemilang di lengannya mula dipancarkan dari kapal angkasa yang bergerak pada kelajuan lapan kilometer sesaat.

Ketiga-tiga angkasawan itu duduk dengan tenang sambil meneliti manual penerbangan. Visual dari kapsul kapal angkasa itu juga ditonton seluruh rakyat Malaysia dengan penuh bangga. Kapal angkasa itu akan berlegar di orbit selama dua hari sebelum bercantum dengan ISS pada ketinggian 360 kilometer.

Tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama 10 hari dengan Dr Sheikh Muszaphar mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi pada 21 Oktober ini.

Pelepasan angkasawan negara itu di tapak pelancaran di sini disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad.

Terdahulu, persediaan akhir untuk pelancaran kapal angkasa itu bermula sejak tujuh jam lebih awal di Baikonur Cosmodrome dengan Dr Sheikh Muszaphar bersama Whitson dan Malenchenko dibawa dari Kosmonaut Hotel menaiki bas ke Tapak Pelancaran 1 pada jam 2 petang.

Selepas melalui proses persediaan terakhir, empat jam sebelum pelancaran, Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos) mula memasang baju angkasa lepas 'Sukol' kepada angkasawan atau Kosmonaut dalam istilah Russia, diikuti upacara tabik hormat sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian angkasawan menempuh cabaran dalam misi itu.

Program angkasawan negara bermula pada 2003 apabila Russia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.42 bilion.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor dipilih untuk misi ini walaupun Roscosmos juga mengiktiraf seorang lagi angkasawan negara, Kapten Dr Faiz Khaleed, 26, yang menjadi angkasawan sokongan bagi misi ini.

Roskosmos juga bersetuju Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009 dan dibenarkan terus menjalani latihan di Pusat Latihan Angkawasan Yuri Gagarin, Star City, Russia. Pada 13 Oktober 2003, kerajaan secara rasmi membuka peluang kepada rakyat Malaysia menjadi calon angkasawan yang pertama.

Seramai 11,267 orang memohon dan selepas menjalani pelbagai ujian, Dr Sheikh Muszaphar yang juga pakar ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Kapten Dr Faiz Shukor, doktor gigi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dipilih menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin sejak September tahun lalu.

Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula pada April 1961 apabila angkasawan pertama Yuri Gagarin membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa 108 minit, menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat lima tan.

Seiring dengan kejayaan tersebut umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia juga akan merayakan kejayaan untuk kembali kepada fitrah. Lusa pada hari Sabtu umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan al Mubarak yang telah mendidik diri dan jiwa kita. Semoga kita benar-benar telah berjaya untuk kembali kepada fitrah yang dilahirkan dalam keadaan suci bersih jiwanya serta cenderung melakukan perkara-perkara kebaikan.

Justeru, sempena Aidil Fitri ini marilah kita sama-sama memperbanyakkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan nikmat Allah yang tidak terhingga kepada kita semua. Sebaik-baik sambutan Hari Raya ialah dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW di mana diantara amalan Baginda menyambut Hariraya ialah seperti berikut. Pada pagi Syawal, Rasulullah menjamah sedikit makanan sebelum keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya. Kebiasaannya, Baginda memakan beberapa tamar dalam bilangan ganjil. Jadi wanita tidak perlu bersusah payah menyediakan juadah yang berlebihan. Disunatkan juga sebelum pergi solat hari raya, kita mandi sunat hari raya, memakai baju baru atau yang lebih elok.

Anas menceritakan: “Pada kedua-dua hari raya, Rasulullah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik daripada apa yang ada pada kami, memakai bauan paling wangi daripada apa yang ada pada kami, dan menyembelih binatang yang paling mahal daripada apa yang ada pada kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim). Maksud paling baik daripada apa yang ada adalah tidak semestinya kita bersusah payah berbelanja secara berlebihan untuk menyediakan pakaian baru. Pilih saja mana yang ada dirasakan lebih baik berbanding lain. Selepas itu, Baginda menuju ke tempat solat hari raya dengan berjalan kaki sambil memperbanyakkan takbir sepanjang perjalanan. Apabila pulang, Baginda akan memilih jalan lain daripada yang dilalui ketika pergi. Di kampung, mungkin sunnah ini masih berterusan tetapi di bandar, penghuninya lebih senang berkereta. Jika mereka dapat mengikuti sunnah ini, pasti sambutan hari raya akan lebih meriah. Baginda mengerahkan seluruh umat Islam keluar ke tempat solat, termasuk kaum wanita.

Ummu ‘Atiyyah Al-Ansoriyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya membawa bersama pada kedua-dua hari raya anak perempuan dan gadis remaja serta wanita yang sedang haid untuk bersama melakukan kebaikan. Wanita yang sedang haid duduk berjauhan dari tempat solat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menggambarkan Rasulullah begitu mengambil berat supaya wanita turut merasakan kemeriahan dan keberkatan hari raya. Bertemu sambil mengucap tahniah serta mendengar wasiat berguna daripada pemimpin secara terus dan langsung. Pada masa ini, kebanyakan wanita kita masih belum merasakan pentingnya keluar menyertai solat sunat hari raya. Ramai beranggapan menyediakan makanan untuk keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung itu adalah lebih penting. Suami pergi bersendirian tanpa membawa isteri. Ayah pergi bersama anak lelaki dan meninggalkan anak perempuan untuk membantu ibu memasak serta menghias rumah. Sedar atau tidak, wanita kita sudah terlepas daripada pahala ibadat menghayati sambutan hari raya yang sebenar kerana kemuncak sambutan hari raya dalam Islam adalah solat Aidilfitri.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mengeluarkan zakat, mengingati dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Sebahagian ulama berkata, maksud solat dalam ayat ini adalah solat hari raya. Jadi orang yang disebut sebagai beruntung ialah mereka yang mengerjakan solat, bukan yang memasak dan menghias rumah. Solat sunat hari raya dilakukan di tanah lapang. Baginda tidak solat di masjid kecuali jika hujan. Selain menambah kemeriahan hari raya, Baginda memilih tempat lain dari masjid untuk memberi peluang kepada wanita haid bersama-sama menyertainya. Jika solat diadakan di masjid, sudah pasti penyertaan wanita terbatas. Pada hari raya, Rasulullah dan sahabat saling mengucap tahniah antara satu sama lain dengan ucapan taqabbalallah minna wa minkum yang bermaksud: “Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kami dan juga anda.” Tiada riwayat yang menyatakan mereka saling bermaafan pada hari raya seperti yang dilakukan oleh umat Islam di tanah air kita. Sesungguhnya sikap bermaafan itu dituntut Islam sepanjang masa bukan pada hari tertentu. Ia wajib disegerakan dan dilakukan sepanjang tahun, bukan pada hari raya saja. Meminta maaf juga tidak memadai dengan bersalam saja. Ia mesti diiringi dengan taubat nasuha dan memulangkan atau menjelaskan hak kepada tuannya. Budaya meminta maaf sambil bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dihentikan kerana ia mencemari kesucian Aidilfitri yang mana pada hari itu, kita kembali kepada fitrah.

Rasulullah membenarkan umat Islam menjamu selera dan berhibur dengan hiburan yang diharuskan. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Bakar mengherdik dua kanak-kanak atau hamba perempuan yang sedang mendendangkan syair di rumah Aisyah pada hari raya. Lalu Rasulullah menegur Abu Bakar dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.” Kesimpulannya, hari raya dalam Islam mempunyai pengertian tersendiri. Ia adalah satu ibadat dan syiar yang murni. Oleh itu sambutannya juga mengandungi adab, etika dan sunnah tersendiri. Sebagai umat yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Rasulullah, kita tidak patut terikut-ikut dengan cara dan budaya orang lain dalam menyambut hari raya. Di sinilah, letaknya peranan wanita dalam menentukan corak sambutan yang terbaik berlandaskan agama. Lantaran itu, hari raya sebagai ibadat tidak seharusnya disambut dengan cara berlebihan, bercampur maksiat atau bercanggah dengan agama Islam. Hal ini kerana seperti ibadat lain, ia adalah satu ibadat syiar Islam yang suci. Perkataan fitri bermaksud ‘berbuka puasa’ iaitu hari di mana umat Islam selesai menjalankan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan. Ada pula yang berpendapat perkataan fitri berasal dari fitrah yang bermaksud naluri atau sifat semula jadi manusia yang bersih suci, tidak dicemari oleh sifat keji seperti syirik dan fasik.

Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam melawan nafsu, membersih diri daripada dosa dan kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37) Takbir ini diamalkan oleh Nabi, sahabat dan umat Islam selepasnya. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong yang bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia yang diciptakan dalam keadaan yang suci. Disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya. (sebahagian artikel ini dipetik daripada tulisan Prof Madya Maznah Daud)

Penulis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SALAM AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada semua pengunjung blog ini.

Wednesday, October 3, 2007

TIDUR BERKUALITI DAN QIAMULLAIL


Hari ini masuk hari ke 21 Ramadan, bermakna kita telah berada pada 10 akhir Ramadhan yang merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam al qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Alqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Maksudnya 10 malam terakhir ini kita perlu mengurangkan tidur dan menghidupkan malam dengan amalan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Persoalannya mampukah kita mengurangkan tidur kerana menurut kajian sains perubatan tidur yang tidak mencukupi akan membawa kepada masalah kesihatan pula.

Berdasarkan kajian tersebut, manusia dewasa memerlukan antara enam hingga lapan jam tidur sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis, seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Untuk itu marilah kita melihat kepada fakta mengenai tidur berdasarkan kajian sains perubatan. Tidur mempunyai beberapa tahap. Umumnya, kajian mendapati tidur terbahagi kepada dua iaitu Peringkat bukan REM (REM adalah Rapid Eye Movement atau pergerakan mata laju) dalam istilah biasa disebut tidur ayam, dan Peringkat REM tidur nyenyak (deep sleep). Tahap tidur ini berputar dalam putaran dan setiap kitaran mengambil masa selama 60 minit hingga 90 minit. Mimpi biasanya berlaku dalam tahap tidur REM. Inilah yang dikatakan tidur berkualiti. Untuk membolehkan kita tidur nyenyak, kita perlu melatih diri supaya mampu mendapatkannya. Tempoh masa maksimum bagi tidur yang berkualiti ini hanyalah selama 2-3 jam sahaja.

Terdapat teknik bagaimana melatih diri untuk mendapat tidur berkualiti ini. Ianya berdasarkan kajian saintifik dan juga berdasarkan daripada amalan Rasulullah SAW.

Melalui kajian didapati, pada permulaan tidur, kita akan menempuhi Peringkat bukan REM(NREM) terlebih dahulu. Peringkat ini terbahagi kepada empat tahap, bergantung kepada tahap kenyenyakan tidur. Tahap 1 dan 2 adalah keadaan dimana proses tidur baru bermula, jantung mula perlahan dan suhu badan mula menurun. Pada ketika ini, bunyi perlahan masih boleh mengejutkan kita daripada tidur. Tahap 3 tidur kita lebih nyenyak. Ketika ini, tiada apa-apa yang kelihatan walaupun kelopak mata dibuka. Bunyi yang kuat sahaja boleh mengejutkan kita. Tahap 4 fungsi badan lebih direhatkan. Pernafasan kita perlahan dan terkawal sehingga kita masuk ke tahap tidur paling nyenyak (REM).


Dalam peringkat permulaan ini, individu yang sedang tidur tidak membuat pergerakan mata yang jelas, anggota badan boleh digerakkan manakala aktiviti otak pula adalah perlahan.

Apabila tidur menjadi lebih nyenyak dan mula memasuki peringkat REM, mata akan mula bergerak-gerak, sedangkan otot-otot kecuali jantung akan menjadi lumpuh untuk sementara dan aktiviti otak menjadi aktif. Mimpi biasanya terjadi di dalam tahap ini. Tahap 5 REM (rapid eye movement) - Tahap inilah dipanggil MIMPI. Mata mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak. Walaupun mata bergerak, badan kita tidak bergerak seolah-olah lumpuh. REM mengambil masa di dalam 10 minit untuk kitaran pertama dan semakin lama setelah beberapa kitaran berlalu. Biasanya seseorang mengambil masa 2 jam untuk keseluruhan tahap REM.

Latihan mengatur waktu tidur dan menggunakan jangkasuhu boleh membiasakan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Secara ringkas latihan untuk tidur malam adalah seperti berikut:

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Makan sedikit dengan kunyahan yang baik akan mengurangkan tugas organ pemerosesan penghadaman bekerja dan ini akan menurangkan rasa mengantuk dan mudah bangun daripada tidur.
2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.
5. Kurangkan masa tidur daripada lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bulan kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Latihan ini mengambil masa hampir lima bulan dan sudah tentu jika kita mahu menghidupkan malam dengan amalan qiamullail pada bulan Ramadhan, kita mesti memulakan langkah melatih tidur bermula daripada bulan Jamadil’awal lagi. Dengan latihan yang bersungguh-sungguh Insya Allah kita tidak akan merasa letih lesu walaupun hanya mendapat tidur selama 2-3 jam sehari.

Satu lagi permasalahan yang sering kita hadapi ialah badan kita sering menjadi letih walaupun kita merasakan tidur kita mencukupi. Kita sebenarnya perlu mempunyai maklumat yang betul agar kesihatan dan akhirnya cara hidup kita menjadi suatu yang paling baik untuk diri kita. Sebenarnya ramai di kalangan kita yang bangun awal setiap hari untuk pergi bekerja. Tetapi pada hujung minggu ataupun pada hari cuti kita tidur berlebihan daripada biasa. Sebahagian kecil daripada kita akan tidur hingga ke tengahari dengan alasan untuk memperolehi kerehatan sepenuhnya yang tidak di perolehi pada hari-hari bekerja.

Sebenarnya tindakan ini adalah salah. Menurut Timothy Rogers, Pengarah Pusat Kajian Masalah Tidur dari Hospital Henry Ford di Detroit, cara tidur sedemikian rupa mengganggu pusingan Biologi ataupun Biological Clock. Pusingan biologi dalam badan kita ini sebenarnya mempengaruhi kesihatan dan kerehatan kita. Lantas andaikata cara tidur kita seperti yang disebutkan tadi iaitu pada hari-hari bekerja kita bangun awal secara rutin tetapi di hujung minggu atau cuti umum kita tidak lagi mengikut jadual itu, kita bangun tidur lewat sebagai contohnya. Maka cara tidur begitu merosakkan jam biologi yang terdapat dalam badan kita. Natijah atau hasilnya ialah badan kita menjadi letih walaupun tidur kita mencukupi.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam diri kita ialah jika kita bangun tidur tidak mengikut rutin biasa, pengeluaran hormon yang bernama Cortisol terganggu. Hormon cortisol ini ialah hormon kecergasan. Bila kita bangun dari tidur kemudian bergerak dan kita aktifkan diri kita, kita sebenarnya di pengaruhi oleh hormon cortisol. Hormon ini di keluarkan oleh badan pada waktu-waktu tertentu sebagai contoh jika kita bangun tidur pada pukul 6 pagi, maka hormon ini akan dikeluarkan oleh badan lebih kurang pada pukul 3 pagi iaitu 3 jam lebih awal sebagai persiapan untuk kita bangun dan aktif.

Jika rutin ini kita hormati insyaAllah kita akan cergas dan tidak akan letih. Sebaliknya andaikata kita tidak bangun tidur pada pukul 6 pagi sedangkan hormon kita menjangkakan kita akan bangun tidur pukul 6 pagi dan ia telah mengeluarkan hormon pada pukul 3 pagi. Apabila kita tidak mengikut rutin itu misalnya kita bangun tidur pada pukul 10 pagi, akan berlaku gangguan pada badan kita. Justeru kita akan rasa keletihan.

Oleh itu marilah kita berusaha mendapatkan tidur yang berkualiti seterusnya mampu menghidupkan malam kita dengan amalan dianjurkan oleh Rasulullah SAW, terutamanya dalam usaha kita mencari malam yang kebaikan menyamai 1000 bulan. Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." (Surah az-Zariyat ayat 15-18 )


Berikut adala tiga amalan Nabi pada 10 malam terakhir untuk menjadi panduan kita bersama:-

DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu.”

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:


Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.


Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”


Memperbanyakkan doa.
Rasulullah bersabda, “Doa adalah otak segala ibadat”. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyakkan doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.” Semoga bermanfaat.

Monday, October 1, 2007

PARAFILIA, PENYIMPANGAN TINGKAHLAKU SEKS


Keghairahan umum untuk mengikuti kesudahan drama mengesan pembunuh adik Nurin Jazlin semakin mendebarkan. Laporan terbaru sentiasa akan diikuti dengan penuh minat dan keterujaan. Apakah hukuman yang nanti bakal dijatuhkan kepada penjenayah 'binatang' sebagaimana label yang diberikan sebahagian besar publik kepadanya? Penulis sendiri masih dalam mood untuk membincangkan isu ini mengenai tingkahlaku penjenayah daripada sudut psikologi. Tulisan ini tidak bertujuan untuk membela penjenayah tetapi lebih kepada untuk memahami mengapa jenayah kejam ini berlaku dan apakah pandangan publik selari dengan kajian psikologi mengenai individu penjenayah yang sebenarnya sakit jiwanya. Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada kita semua.

Perbincangan ini memfokus kepada perkembangan tentang sadisme (sadism) dan masokisme (masochism) yang didefinisikan sebagai parafilia (paraphilia) dalam Sistem klasifikasi kecelaruan psikologi, Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM), terbitan Persatuan Psikiatri Amerika Syarikat yang mengklasifikasikan lebih daripada 230 kecelaruan psikologi kepada 16 kategori. Versi terkini ialah DSM-IV.

Parafilia adalah suatu kelompok tingkahlaku seksual yang agak menyimpang yang dinamakan perversi. Perkataan tersebut berasal daripada bahasa Yunani "para", bermaksud di luar kebiasaan dan "filia" bermaksud cinta.


Parafilia, seringkali bersifat gandaan dan mungkin merupakan suatu aspek daripada kecelaruan mental seperti skizofrenia atau salah satu kecelaruan personaliti. Parafilia hampir keseluruhannya dideritai kaum lelaki berbanding wanita, dengan kadar 20:1.

Penting untuk dicatat bahawa parafilia adalah tingkahlaku, bukan fantasi. Memiliki fantasi seksual yang tidak lazim adalah perkara biasa dan tidak perlu menimbulkan kebimbangan.

Dr. John Money, melalui kajian yang dilakukan di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, telah banyak memberi sumbangan dalam pemahaman parafilia. Parafilia yang paling kerap ditemui adalah mencari kepuasan seksual melalui cara-cara berikut:

• Eksibisionisme - Menunjukkan alat genitalnya kepada individu tertentu tanpa kerelaan/kemahuan individu tersebut.
• Veyourisme - Mengintip orang yang sedang tidak berpakaian atau sedang mengadakan hubungan seksual. Biasanya, orang tersebut tidak tahu jika mereka sedang diintip. Veyourisme sejati tidak terangsang jika melihat secara langsung (tidak mengintip) wanita yang tidak berpakaian dihadapannya.
• Frotteurism - Menggosokkan badan atau memeluk orang lain tanpa kerelaan.
• Paedofilia - Orang dewasa, terutama lelaki, yang mencari kontak fizikal dan seringkali kontak seksual dengan kanak-kanak pra baligh yang tidak mempunyai hubungan dengan mereka.
• Sadisme seksual dan masokisme - Pertukaran rasa sakit dengan kenikmatan seksual. Penderita sadistik menimbulkan rasa sakit dan/hinaan, sementara masokistik menerima rasa sakit dan/hinaan. Tidak seperti parafilia lain, sebahagian penderita sadistik dan masokistik adalah wanita. Walaupun begitu mereka sering bertukar peranan, pengidap masokistik lebih banyak dari pada sadistik.
(Nota: Dalam kes adik Nurin Jazlin, penulis berpendapat, penjenayah mungkin tergolong di dalam kategori parafilia paedofilia, sadisme seksual dan masokisme)
• Skatologi telefon - Membuat hubungan telefon yang lucah dengan orang dewasa yang tidak menghendakinya.
• Transvestisme - Juga dinamakan cross-dressing (berpakaian lawan jenis). Seorang lelaki menjadi terangsang secara seksual dengan mengenakan pakaian wanita. Penderita mungkin tampil di depan umum dengan berpakaian seperti wanita atau mungkin hanya terbatas di rumah. Sebahagian besar penderitanya adalah heteroseksual.
• Incest (sumbang mahram). Hubungan seksual antara keluarga dekat dimana perkahwinan diantara mereka dilarang oleh hukum agama. Incest merupakan salah satu taboo sosial yang utama.

Kejam Serta Menakutkan
Jenis-jenis parafilia di atas tadi tidak melibatkan kontak seksual yang membahayakan lawan jenis. Tetapi tidak demikian dengan sadomasokisme dan paedofilia. Pada sadomasokisme terdapat penggabungan unsur sadistik dan masokistik ketika melakukan hubungan seksual. Dikatakan sadistik kalau ianya melukai atau menyakiti orang lain secara sengaja atau ancaman demi kepuasan seksual.
Dikatakan masokistik jika rangsangan seksual diperolehi ketika menjadi sasaran rasa sakit atau ancaman rasa sakit. Yang lebih menyedihkan bila kelainan itu berupa paedofilia. Sebab, sasaran kepuasan seksualnya diarahkan pada kanak-kanak yang belum baligh. Sekitar dua pertiga mangsa kecelaruan ini adalah kanak-kanak berusia 8-11 tahun.

Kebanyakan paedofilia dihidapi kaum lelaki, tetapi ada juga kes wanita mengadakan hubungan seks secara berulang dengan kanak-kanak. Banyak pelaku paedofilia mengenali mangsanya, seperti saudara, jiran, atau kenalan. Pelaku paedofila dikategorikan kepada tiga golongan, iaitu lebih 50 tahun, 20-an hingga 30 tahun dan golongan remaja. Sebahagian besar mereka adalah para heteroseksual dan banyak juga terdiri daripada kaum bapa.


Istilah masokisme berasal dari seorang novelis Austria bernama Leopold vonSacher-Masoch. Lahir di Lemberg pada 27 Januari 1836 dan meninggal pada 9 Mac 1895. Freud menggunakan istilah ini untuk menunjukkan kelainan seksual. Tetapi Fromm memandang masokisme dengan cara berbeza. Menurutnya, masokisme merupakan mekanisme melarikan diri dari kebebasan yang di dalamnya wujud jalinan hubungan yang menjanjikan pembebasan dari ketidakpastian.

Ketidakberdayaan untuk menyatakan keinginan diri dan eksistensi diri membuat individu lantas mengikatkan diri pada ikatan-ikatan sekunder. Masokisme, pada pendapat Fromm, menampung ketidakberdayaan ini. Sebagai akibat, individu perlu rela ketika ikatan-ikatan sekunder yang meminta balasan untuk ketenangan yang telah diperolehi daripadanya. Pada tingkat ekstrem, rasa sakit, penderitaan secara fizikal atau mental menjadi bentuk perhambaan pada ikatan sekunder.

Penyebab parafilia
Para pengkaji belum secara pasti mengetahui penyebab khusus parafilia. Tetapi ada dua teori tentang penyebab tekanan terhadap seksual lelaki:
Pemaparan seks pramatang, atau traumatik, dalam bentuk penyiksan seksual semasa kanak-kanak. Kira-kira 75 peratus lelaki yang diterapi di National Institute for Study, Prevention, and Treatment Sexual di Baltimore, adalah mangsa penyiksaan seksual pada masa kanak-kanaknya. Kerana alasan yang masih belum difahami, jika seorang kanak-kanak wanita disiksa, mereka lebih kerap cenderung menolak tingkahlaku seksual. Sedangkan kanak-kanak lelaki yang disiksa cenderung mewujudkan tingkahlaku parafilia.

Menyembunyikan secara berlebihan (suppression) terhadap sifat ingin tahu semulajadi tentang seks, kerana alasan agama atau alasan lain. Kanak-kanak lelaki yang diajar bahawa seks adalah taboo, kotor dan akan dihukum jika mereka cenderung terhadap seks, mungkin menjadi kan lelaki dengan tingkahlaku fetihisme atau obsesi. Represi parah tidak dianggap sebagi suatu bentuk penyiksaan seksual, tetapi boleh jadi demikian.

Seorang penderita parafilia memerlukan bantuan profesional tetapi mungkin mereka tidak mencari bantuan tersebut, kecuali pasangan atau keluarga memaksanya. Selama pasangannya dapat menerima tingkahlaku penderita, ia mungkin tidak cuba berubah kerana perubahan itu mungkin sangat sukar dan secara emosional ianya menyakitkan.
Terapi kadang-kadang mencakupi pemberian ubatan untuk menghilangkan gejala obsesif/kompulsif, atau terapi ubat lain yang menurunkan dorongan seksual lelaki. Sayangnya, ahli terapi yang berpengalaman dalam mengubati parafilia masih sukar ditemui.

Menangani parafilia
Tidak mudah untuk menangani para penderita parafilia. Kerana mereka sering menolak atau merasa tidak perlu mendapat terapi. Namun demikian, ada beberapa terapi psikiatrik yang boleh dicuba.

Pertama, melakukan pendekatan psikodinamik dan psikoanalitik (menggali pengalaman masa lalu yang menyebabkan kecelaruan kejiwaan).

Kedua, Melakukan terapi tingkahlaku yang terdiri daripada aversif conditioning, iaitu conditioning untuk menimbulkan rangsangan (stimulus) terhadap lawan jenis, atau mengukur tingkat berahi dengan pletismometris penis. Bagi kaedah ini terapi aversi diperlukan untuk menghilangkan conditioning yang ada atau aspek-aspek yang menyebabkan kelainan psikoseksual, penderita diberi kejutan elektrik pada masa yang sama ditayangkan gambar-gambar atau filem mengenai penyimpangan seksual. Khususnya pada voyeurisme dan ekshibisionisme, penderita perlu dibimbing secara halus untuk lebih berani berkomunikasi secara terus terang dengan lawan jenisnya, sehingga diharapkan lambat laun mereka akan berani melakukan kontak badan secara langsung. Atau penderita diajar mengatasi rasa takut dan malu untuk mengungkapkan keinginan seks yang benar.

Ketiga, secara umumnya penderita mempunyai sifat asas kekurangan social skill (kemahiran sosial), maka mereka perlu dimasukkkan dalam program terapi yang mengajar kemahiran sosial serta empati terhadap dunia sekelilingnya. Ditambah pula dengan terapi tingkahlaku secara individu.

Keempat, terapi farmakologi yang meliputi pemberian hormon wanita, anti androgen, dan ubat-ubatan kumpulan inhibitor, pusingan ulangan serotonin yang biasanya digunakan untuk mengubati penderita depresi tetapi kejayaan terapi ini kelihatan lebih disebabkan oleh penurunan nafsu berahinya. Terapi ini mungkin lebih efektif pada penderita parafilia bersifat hiperseks.

Kelima, tidak kurang pentingnya perhatian masyarakat terhadap penderita. Mereka sebaiknya tidak dicemuh secara melulu tetapi perlu diberi pendidikan agar berusaha menghilangkan kebiasaan yang memalukan tersebut.

Penderita parafilia sebenarnya adalah suatu kecelaruan psikologi yang memerlukan bantuan untuk dipulihkan, malangnya dalam masyarakat kita yang masih terikat kuat dengan taboo dan hukum agama, agak sukar bagi mereka untuk tampil meminta bantuan. Kita bimbang jika fenomena ini tidak ditangani dengan betul kemungkinan kes adik Nurin akan berulang. Mampukah kita menghadapinya lagi?