Thursday, April 16, 2009

KERJAYA POLITIK


Menyambung perbincangan tentang politik dalam posting lepas, hari ini akhbar melaporkan suasana di Bangkok yang semakin pulih selepas penguatkuasaan Undang-undang Darurat, di Indonesia pula Pilihanraya Umum(Pemilu) masih berlangsung. Tertarik dengan laporan calon wanita kalah Pemilu bunuh diri dan dua orang lagi calon wanita mati akibat serangan jantung. Nampaknya semakin ramai yang cenderung menjadi ahli politik kerana ia memperuntukkan pendapatan selesa dan mewah disamping kuasa dan pengaruh. Kesimpulannya menjadi ahli politik merupakan antara kerjaya yang menjadi minat ramai dewasa ini.
Persoalannya adakah semua individu sesuai untuk menjadi ahli politik. Dari sudut psikologi, Teori Minat Kerjaya Holland boleh dijadikan panduan untuk individu memilih kerjaya yang sesuai dengan personaliti mereka. Teori Holland yang merupakan salah satu teori kerjaya yang penting. Fokus teori Holland tertumpu kepada dua faktor iaitu faktor personaliti dan faktor persekitaran. Terdapat 6 jenis personaliti yang dikemukakan oleh Holland (1973;1985) iaitu:
1. Personaliti Realisitik
2. Personaliti Investigatif
3. Personaliti Artistik
4. Personaliti Sosial
5. Personaliti Enterprising
6. Personaliti Conventional

Berdasarkan ciri-ciri yang dinyatakan Holland, individu daripada Personaliti jenis Enterprising adalah yang paling sesuai menceburkan diri dalam politik. Personaliti jenis Enterprising sukakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk memanipulasikan orang lain untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu atau keuntungan ekonomi. Mereka sangat bencikan aktiviti berbentuk simbolik dan pemerhatian sistematik. Mereka mempunyai kebolehan dalam kepimpinan, interpersonal dan juga daya pujukan tetapi kurang kebolehan di dalam perkara-perkara saintifik. Sifat-sifat menarik yang terdapat pada diri mereka ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi sesuatu, suka mengembara, bercita-cita tinggi, suka berbahas, ingin menguasai orang lain, suka menonjolkan diri dan suka bercakap.
Apakah anda ingin mengetahui jenis personaliti anda? Ambillah ujian Minat Kerjaya Holland untuk mengenalpasti personaliti kerjaya anda. Sekian. Semoga bermanfaat.